- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Penyelidikan di Institut Pengajian Borneo, UNIMAS Memelihara Budaya & Warisan Sarawak

Must read

Institut Pengajian Borneo (IPB), UNIMAS ini mulanya dikenali sebagai Institut Pengajian Asia Timur (IPAT), bertujuan untuk mempromosikan pengetahuan Borneo dan berperanan sebagai pusat penyelidikan Borneo kerana Borneo ini kaya dengan pelbagai sumber, terutama sekali di dalam Sains Sosial (budaya dan warisan).

IPB juga amat mementingkan penyelidikan kontemporari terhadap budaya dan warisan di Borneo demi kelestarian yang mampan dalam membantu menyokong pembangunan ekonomi dan globalisasi yang drastik bagi mengekalkan warisan Borneo.

Kini, Institut Pengajian Borneo sedang menjalankan pelbagai penyelidikan terutama sekali tentang penempatan semula di bawah Pelan Induk Kerajaan Negeri

Justeru, IPB ini telah memainkan peranan yang penting dalam Penyelidikan dan Pembangunan (P&P) berkaitan penelitian sosiopolitik dinamik serta budaya dan warisan dari pelbagai sudut.

Menerusi satu sesi temu bual bersama Pengarah, IPB, Profesor Dr Poline Bala, beliau mengatakan bahawa Borneo adalah tempat yang sangat penting bila berbincang tentang kepelbagaian budaya (multiculturalism).

Profesor Madya Dr. Poline Bala berasal dari Bario dari keturunan Kelabit dan amat berpengalaman dalam penyelidikan beliau tentang kepulauan Borneo

Tambah beliau, kepelbagaian budaya bukan sahaja dari segi teori, malah ianya juga dititikberatkan dalam tindakan kehidupan seharian, di mana budaya hidup ini adalah suatu amalan dalam kehidupan masing-masing tanpa sebarang perbalahan. Itulah perkara yang menunjukkan warisan orang Sarawak.

Dalam keadaan Sarawak yang kini sedang pesat membangun ianya pasti memberi sebuah kejutan dalam kalangan masyarakat Sarawak dan penghijrahan berlaku ekoran perluasan pembangunan yang berlaku.

Dengan kemajuan ekonomi digital dan ekonomi baharu, pastinya tenaga kerja yang diperlukan adalah daripada kalangan generasi baharu dan secara langsung terjadinya pertumbuhan penempatan baharu dan perluasan pembangunan di sesebuah kawasan, terutama di kawasan pedalaman Sarawak.

Ini dapat dilihat melalui lawatan Profesor Dr. Poline Bala ke Sungai Asap, salah sebuah tempat IPB sedang menjalankan projek penyelidikan bertajuk, “Kawasan Penempatan Semula di Sg. Asap, Bengoh, Batang Ai.”

Penyelidikan di Sungai Asap ini merupakan Pelan Induk Kerajaan Negeri untuk penempatan semula, ekoran pembangunan yang berlaku di kawasan-kawasan tersebut dan kajian ini meninjau implikasi penempatan semula serta bagaimana masyarakat di situ bertahan.

Apa yang didapati menarik dari penyelidikan ini bagi Profesor Dr. Poline Bala ialah bagaimana masyarakat di sini masih mengekalkan budaya dan warisan mereka walaupun perkampungan mereka telah dipindahkan ke tempat yang baharu.

Profesor Madya Dr. Poline Bala merupakan Pengarah Institut Pengajian Borneo, UNIMAS sejak tahun 2020

Melalui sesi temu bual beliau bersama penduduk di 15 buah perkampungan di Sungai Asap, rata-rata penduduk di situ menyatakan “tradisi adalah sesuatu yang perlu dibawa bersama”.

Maksudnya disini, walaupun pelbagai cabaran dilalui, pemeliharaan budaya dan warisan di Sarawak ini adalah penting kerana mereka memikirkan segala faktor yang perlu dititikberatkan adalah untuk masa kini dan masa depan.

Malah, ianya inisiatif rakyat sendiri untuk mengekalkan budaya dan warisan kerana ianya merupakan identiti yang menunjukkan asal usul mereka.

Maka itulah pentingnya mempromosikan budaya dan warisan di Sarawak kerana ia melambangkan identiti mereka sebagai orang Sarawak yang perlu diketengahkan bagi mengekalkan keharmonian di kalangan masyarakat majmuk Sarawak.

Justeru, dalam memelihara dan memulihara perkara ini, IPB juga memainkan peranan besar terutama sekali di dalam kemasukan pelajar-pelajar baharu ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mahupun UiTM Sarawak yang telah menjadi suatu tarikan kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke Sarawak bagi menikmati pengalaman kepelbagaian budaya di Sarawak.

Beliau juga turut menjelaskan kepelbagaian budaya ini juga berperanan penting dalam pembangunan di Sarawak khasnya dari segi pembangunan sosial di mana kepelbagaian budaya ini sudah serasi dalam masyarakat Sarawak selain menentu dan mencerminkan asal usul mereka.

Selain itu, IPB juga menitikberatkan penyelidikan tentang “Ilmu Masyarakat” iaitu Indigenous Knowledge atau lebih dikenali sebagai “Ilmu Masyarakat Peribumi”. Ilmu ini kini sedang mendapat perhatian di peringkat antarabangsa setelah wujudnya kesedaran bahawa ilmu masyarakat peribumi ini adalah penting demi pemeliharaan alam sekitar.

Ilmu ini bukan sahaja berkaitan dengan ilmu saintifik sahaja, malah ilmu sains sosial juga penting dan kedua-dua ilmu ini dikaitkan dalam isu perubahan iklim dan sebagainya yang tengah hangat diperkatakan pada masa kini demi mengekalkan alam sekitar yang mampan.

Hal ini demikian kerana, ilmu masyarakat peribumi ini adalah amalan mesra persekitaran yang mereka terapkannya di dalam budaya dan warisan mereka. Kita dapat lihat ini dalam kalangan kaum-kaum di Sarawak seperti infrastruktur tradisional di Sarawak.

Contohnya, rumah panjang atau rumah tradisi setiap kaum di Sarawak ini memerlukan ilmu masyarakat yang mana mereka menitikberatkan kegunaan suatu tempoh jangka yang lama untuk mengekalkan infrastruktur untuk generasi akan datang serta menampung keluarga yang besar secara mampan.

Tambahan pula, hasil dan bentuk infrastruktur yang dibina oleh setiap kaum adalah daripada “semangat kekitaan” yang mereka terapkan dalam diri mereka.

Perkara ini yang dimaksudkan oleh Profesor Dr. Poline Bala di mana perkara yang semakin menghilang di dalam pemeliharaan budaya dan warisan ialah, Intangible Culture.

Hal ini demikian kerana, Intangible Culture ini merupakan perkara asas yang penting untuk komuniti yang sihat dan pembangunan yang mampan di mana ianya mampu mengekspresikan kemanusiaan dengan jati diri dan kesinambungan; bukannya sekadar kekayaan pengetahuan dan kemahiran untuk generasi seterusnya.

Penelitian kepada pemeliharaan dan pemuliharaan budaya dan warisan ini bukan hanya dilihat dari sekadar tradisi makanan, pakaian atau adat.

Namun, ianya juga perlu dipandang dari pelbagai sudut serta pemeliharaan dan pemuliharaan budaya dan warisan ini juga mampu memiliki kestabilan dan kelestarian yang mampan.

Oleh itu, IPB adalah sebuah Institut yang mampu menjadi sebuah pusat Penyelidikan & Pembangunan yang kontemporari selaras keperluan kerajaan Negeri dalam mencapai Post-COVID Development Strategy (PCDS) 2030.

Institut Pengajian Borneo, UNIMAS terletak di sebelah fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan serta tujuan IPB ini adalah untuk mempromosikan pengetahuan Borneo
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article