Pesta Irau Aco Lun Bawang merupakan perhimpunan terbesar dalam perayaan bagi penduduk dari masyarakat suku kaum Lun Bawang di Sarawak yang turut disertai kumpulan etnik Lun Bawang lain seperti dari Sabah, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
Jika dulu, secara tradisinya merupakan perayaan musim menuai padi yang di sambut setiap 1 Jun, tetapi kini ia mempamerkan pelbagai budaya Lun Bawang termasuk muzik ngiup suling (persembahan alat muzik buluh) dan tarian serta kraf tangan tradisional tradisi Lun Bawang di samping Ruran Ulung (pertandingan ratu cantik).
Mengikut catatan sejarah, Pesta Irau Aco Lun Bawang mula diadakan pada 1987 sehinggalah kini sudah memasuki penganjuran ke-35 (2022), telah pun dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak.
Suku kaum Lun Bawang bermaksud orang tempatan atau orang peribumi, dikategorikan di bawah orang Orang Ulu serta diiktiraf secara rasmi oleh Perlembagaan sebagai anak Sarawak.
Suku kaum Lun Bawang yang dahulu dikenali sebagai Murut yang terdapat di sepanjang pesisiran Sungai Lawas, Trusan dan Limbang.
Mereka berasal dari tanah tinggi Kalimantan Utara (Krayan, Malinau dan Long Bawan), Brunei (Daerah Temburong), barat daya Sabah (Bahagian Dalaman) dan wilayah utara Sarawak (Bahagian Limbang).
Di Sabah dan Krayan di Kalimantan, mereka kadangkala dinamakan Lundayeh atau Lun Daye manakala di Brunei, mereka juga dikenal pasti sebagai salah satu daripada tujuh (7) etnik orang asli Brunei dengan menggunakan nama lain seperti Lun Lod, Lun Baa’ dan Lun Tana Luun.
Namun begitu istilah Lun Bawang cukup popular sebagai lambang penyatuan bagi etnik ini yang diterima di di Sabah, Kalimantan dan Brunei.
Kebanyakan mereka ini tinggal di kawasan pedalaman di tanah tinggi serta secara tradisinya adalah petani dan mengamalkan penternakan seperti ayam, khinzir dan kerbau.
Mereka terkenal dengan penanaman padi bukit (tana luun) dengan produk istimewa dan penghasilan garam bukit (mendapat sumber garam dari telaga air masin).
Makanan tradisional yang popular seperti Nuba’ Laya (nasi yang menjadi makanan mereka dibungkus dengan daun pisang atau Itip), “Pinaram” dan “Nunu” (kuih tradisional), Telu (daging atau ikan yang telah diperam dengan garam serta disimpan di dalam buluh selama lebih sebulan serta rasanya akan menjadi masam-masam masin yang sangat digemari suku kaum Lun Bawang) dan Narar (Salai).
Dari segi pakaian tradisional pula, dahulu kala, pakaian lelaki masyarakat ini diperbuat daripada kulit kayu yang dipanggil ‘kuyu talun’ dengan kain lilitan di kepala (sigar) dan parang panjang (pelepet) yang diikat di pinggang untuk berperang.
Bagi perempuan Lun Bawang pula, mereka mengenakan Pata di kepala, Beret di pinggang, Bane di leher dan Gileng atau Pakel di tangan serta lengan.
Suku kaum Lun Bawang juga sangat terkenal dengan alat muzik yang diperbuat daripada buluh dan mereka memainkan ini dalam kumpulan. Perempuan meniup suling dan lelaki meniup bass.
Pada zaman dahulu sebelum kedatangan agama di dalam masyarakat Lun Bawang, hampir setiap aspek penghidupan contohnya seperti membina rumah hendaklah diadakan satu upacara bagi memastikan bahawa setiap yang dilakukan tidak akan bertentangan dengan dunia spiritual tetapi kini tidak lagi diamalkan.
Penganjuran Pesta Irau Aco dari aspek ekonominya membuka ruang dan peluang bagi masyarakat setempat untuk berniaga serta meluaskan pasaran dan jualan hasil produk tempatan selain dapat menarik orang luar untuk datang berkunjung dan singgah menginap serta berbelanja di Lawas.
Pada tahun 2022, sejumlah lebih 10,000 orang pengunjung melawat tiga (3) lokasi utama Pesta Irau Aco Lun Bawang ke-35 yang diadakan di Dataran Bandar Lawas, Arena Lawas, dan Hotel Seri Malaysia Lawas.
Bukan setakat itu sahaja, edisi ke-35 turut menyaksikan 3,000 orang peserta menyertai pelbagai acara kebudayaan dan aktiviti sukan seperti bola sepak, bola tampar, badminton, Zumba dan permainan tradisional di mana peserta daripada komuniti Lun Bawang dari tiga (3) negara melibatkan Malaysia, Brunei dan Indonesia berhimpun.
Pesta Irau Aco Lun Bawang ke-35, 2022 disempurnakan secara rasmi oleh YB Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Kementerian Pengangkutan Malaysia (ketika itu) dan Ahli Parlimen Lawas yang juga penaung persatuan.
Pesta Irau Aco ditangguhkan selama dua (2) tahun pada 2020 dan 2021 akibat pandemic COVID-19.
Seni muzik tradisional, seni pakaian tradisi, seni perhiasan manik menggunakan tanah liat terpilih dan banyak lagi budaya lama perlu ditonjolkan kepada generasi muda melalui pendidikan yang lebih praktikal.
Dato Henry Sum Agong menggesa agar Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) memainkan peranan lebih aktif membawa kembali seni budaya tarian lama, gurindam mahupun puisi Lun Bawang yang kini semakin terpinggir.
Keadaan ini disebabkan semakin banyak yang hilang seiring dengan perubahan zaman dan peningkatan taraf pendidikan.
Sambutan yang diadakan kini juga telah mengalami banyak perubahan dengan tumpuan lebih kepada acara sukan moden, nyanyian dan tarian moden.
Amat penting, untuk PLBS bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk belia Lun Bawang di Lawas untuk memelihara dan mengekalkan seni budaya masyarakat berkenaan melalui pendidikan budaya Lun Bawang kepada generasi muda.