- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

JKR Komited Sedia Perkhidmatan Berkesan Dan Berfokus

Must read

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah menyusun semula fungsi setiap pejabat untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan dan berfokus.

Dengan itu, Ibu Pejabat telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan fasa pra kontrak, manakala Pejabat Wilayah berperanan melaksanakan projek pembangunan bernilai melebihi RM2 juta.

Bengkel Pelan Strategik 2023 dan AP 182 Sektor Pembangunan dan Pakar, JKR pada 7 Februari 2023 (foto : FB JKR Sarawak)

Pejabat Bahagian pula memainkan peranan dalam penyelenggaraan aset serta perlaksanaan projek pembangunan kecil berimpak tinggi yang bernilai kurang daripada RM2 juta.

Beberapa cawangan, pejabat dan unit baharu juga telah ditubuhkan di peringkat Ibu Pejabat seperti Cawangan Perancangan Korporat dan Pengurusan Maklumat; Cawangan Komunikasi Korporat; Cawangan Pematuhan; Pejabat Ketua Projek; Pejabat Ketua Aset; Cawangan Front End Engineering; Unit Integriti; Unit Lebuhraya Pan Borneo; Unit Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua; Unit Perkhidmatan Merin; Unit Geoteknikal dan Cerun serta Cawangan Audit.

Sehubungan itu, peranan teras JKR Sarawak yang kini berada di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) adalah meliputi;

Projek Pembinaan Jambatan Krian di Bahagian Betong sepanjang 690 meter berserta jalan tuju sepanjang 1.9 km (foto : FB JKR Sarawak)
  • Proses pengurusan projek termasuk perancangan, pengurusan belanjawan, reka bentuk, pentadbiran pra-kontrak dan pos-kontrak, penyeliaan projek, pemantauan dan penyelenggaraan infrastruktur serta kemudahan awam dan
  • Menyediakan perkhidmatan perunding kejuruteraan kepada badan-badan luar.

Tidak dinafikan, dalam tempoh tiga (3) tahun kebelakangan ini, banyak penambahbaikan kepada proses kerja dan polisi telah dilakukan oleh JKR Sarawak dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan mereka.

Antara penambahbaikan atau pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh JKR Sarawak adalah seperti  menambahbaik proses pemilihan kontraktor (contractor selection process), semakan semula dokumen kontrak (Contract document review), melaksanakan Front End Engineering (FEE), meningkatkan perancangan projek, semua pihak berkenaan dikehendaki menandatangani Ikrar Akauntabiliti (Accountability Pledge) di peringkat penyerahan surat setuju terima projek dan Polisi Projek Sakit Sifar (Zero Sick Project Policy).

Dalam perkembangan lain, Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah memaklumkan bahawa JKR Sarawak telah menjalankan semakan dalaman mengenai struktur fungsi mereka untuk penyampaian perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan ucapan penggulungan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak semasa hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada 1 Disember 2022.

Lawatan tapak Pengarah Kerja Raya Sarawak ke tapak projek pembinaan “Cable Stayed Bridge Sejingkat” pada 10 Februari 2023 (foto : FB JKR Sarawak)

Menurut beliau, terdapat dua (2) perubahan utama yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023 iaitu  penutupan ketiga-tiga Pejabat Wilayah Projek JKR dan pengagihan/penempatan semula kakitangan di Pejabat Wilayah kepada Pejabat Bahagian mengikut struktur pengurusan JKR yang disemak semula.

Sesi libat urus Pengarah Kerja Raya Sarawak bersama pasukan projek pejabat Bahagian Miri dan Limbang pada 7 Februari 2023 (foto : FB JKR Sarawak)

Beliau mengeluarkan kenyataan ini bagi mengulas isu mengenai perpindahan kakitangan JKR Sarawak dan autonomi kepada pejabat JKR Bahagian.

Sebelum ini, wakil-wakil rakyat telah membangkitkan isu berkenaan autonomi yang perlu diberikan kepada pejabat JKR Bahagian bagi memastikan pelaksanaan projek infrastruktur berteraskan rakyat lebih cekap.

Ibu Pejabat JKR mesti mewakilkan tanggungjawabnya kepada JKR Bahagian malah mereka harus diberi kuasa yang lebih daripada sekadar menjadi “pemberita” kepada Ibu Pejabat JKR.

Wakil-wakil rakyat juga berharap akan ada bajet yang membolehkan mereka melaksanakan projek-projek infrastruktur dan pembangunan untuk mempercepat dan memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan masing-masing.

Mereka mahu agar agensi pelaksana terus komited meningkatkan diri mereka dengan kapasiti dan keupayaan yang diperlukan untuk memastikan semua projek yang diluluskan dihantar mengikut jadual.

Sementara itu, Timbalan Premier, YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan juga pernah mengutarakan pandangan beliau bahawa Sarawak amat memerlukan pembiayaan tambahan untuk melaksanakan projek-projek pembinaan jalan, jambatan, bekalan air dan elektrik dan telekomunikasi.

Jelas beliau, projek-projek seperti pembinaan jalan, jambatan, bekalan air dan elektrik perlu dilaksanakan demi merangsang ekonomi tempatan dan merangsang pertumbuhan yang lebih besar.

Justeru, Sarawak perlu mewujudkan lebih banyak kawasan perindustrian dan premis perniagaan untuk menyokong golongan kecil dan industri bersaiz sederhana, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar kerana ia adalah antara sektor yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19.

Sarawak juga memerlukan lebih banyak pembiayaan untuk melaksanakan program yang boleh merangsang ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat yang akan meningkatkan kesejahteraan dan mata pencarian mereka kepada akhirnya membasmi kemiskinan di Sarawak.

Sehubungan itu, pada awal Januari 2023, Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan telah menyerahkan kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada pentadbiran Sabah dan Sarawak.

Tujuan kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta itu diberikan kepada pentadbiran Sabah dan Sarawak adalah bagi memastikan keputusan segera dapat dibuat tanpa perlu kata putus peringkat Persekutuan.

Walau bagaimanapun, kelulusan oleh pentadbiran di kedua-dua wilayah itu perlu mematuhi peraturan kewangan sedia ada tetapi keputusan itu boleh dibuat di Kuching atau Kota Kinabalu tanpa dilengahkan kerana akur kepada peraturan lama.

Jelas beliau, walaupun peruntukan besar diberikan tetapi peruntukan itu tidak dapat dipenuhi kerana kerenah pentadbiran mengikut peraturan biasa yang terpaksa merujuk kepada Persekutuan.

Beliau berkata, keputusan yang selaras dengan perjanjian MA63 itu adalah bagi memastikan projek yang tertangguh kerana keputusan berkaitan perlu dibuat oleh agensi Persekutuan, dapat dilaksanakan dengan segera.

Sebagai maklum balas terhadap langkah yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan itu, Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyifatkan projek RM50 juta itu akan membantu dalam memakmurkan Sarawak sekali gus membolehkan pembangunan lebih progresif pada masa hadapan.

Lawatan Pemantauan Menteri Kerja Raya Ke Seksyen Bukit Bengunan, WPC04 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (foto : FB JKR Sarawak)

Jelas beliau, langkah Perdana Menteri mengumumkan Sarawak dan Sabah dibenarkan untuk melaksanakan projek di bawah RM50 juta tanpa perlu merujuk kepada Putrajaya merupakan satu perkembangan baik buat pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Hal ini kerana, ia akan mempercepatkan lagi proses pelaksanaan sesebuah projek pembangunan dan mengurangkan karenah birokrasi serta kelewatan projek.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri Majlis Kesyukuran Pelantikan Sebagai Menteri yang diadakan bertempat di Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam Sebauh pada 28 Januari 2023.

Dalam perkembangan lain, JKR telah mendapat pengiktirafan sebagai agensi teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 dan pengiktirafan ini adalah sangat penting agar JKR Sarawak dapat melaksanakan projek-projek Persekutuan di Sarawak dengan lebih efisien.

Kecekapan penyampaian projek adalah penting bahkan projek yang mengutamakan rakyat mesti diberi keutamaan manakala penyampaian mesti dipercepatkan.

Justeru, dalam pelaksanaan sesuatu projek pembangunan, banyak elemen yang perlu diselaraskan dan dipantau dengan baik, antaranya ialah elemen keselamatan di tapak projek.

Sudah tentu, JKR Sarawak sebagai jabatan teknikal perlu melaksanakan projek-projek kerajaan berasaskan kepada piawaian-piawaian teknikal dan keperluan tadbir urus  jabatan kerajaan.

JKR Sarawak terima kunjungan rasmi daripada JKR Pulau Pinang sempena lawatan teknikal ke Kuching (foto : FB JKR Sarawak)

Secara asasnya, piawaian teknikal yang diguna pakai oleh JKR Sarawak adalah seperti; Spesifikasi piawai yang dikeluarkan oleh JKR Malaysia dan JKR Sarawak; Standard reka bentuk piawai antarabangsa; Federal and State regulations, instructions and laws; JKR Manual of Instruction; ISO9001 Quality Management System  dan JKR Health, Safety and Environment.

JKR Sarawak terima kunjungan rasmi daripada JKR Pulau Pinang sempena lawatan teknikal ke Kuching (foto : FB JKR Sarawak)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article