- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

RT Serlahkan Kebersamaan Komuniti

Must read

Pembentukan komuniti adalah berkait rapat dengan lokasi atau penempatan di mana seseorang itu akan dibesarkan atau disosialisasikan dengan persekitaran sekeliling.

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang merupakan agensi pelaksana polisi dan dasar dalam komuniti kejiranan. Antara program utama JPNIN ialah program Rukun Tetangga (RT).

Dapatan Prof. Dr. Mohd Taib Dora dalam Kajian Keberkesanan Program Rukun Tetangga Dalam Memupuk Perpaduan dan Integrasi Nasional, 2007 mendapati dari segi penglibatan masyarakat, tahap pengetahuan mereka terhadap RT masih sangat sinonim sekadar tugas rondaan malam yang dijalankan.

Keadaan yang sama juga didapati dari segi penglibatan dan penerimaan mereka terhadap aktiviti yang agak sederhana berbanding tahap dan persepsi mereka terhadap aktiviti RT.

Kini fungsi RT telah menjadi semakin meluas dan tidak lagi tertumpu pada aspek keselamatan malah pada aspek jenayah, masalah sosial, isu-isu perkauman dan sebagainya.

Sejarah Rukun Tetangga

Skim Rukun Tetangga telah diperkenalkan pada tahun 1975 berikutan dengan berkuat kuasanya Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 di bawah Ordinan Darurat 1969. Skim ini telah dilancarkan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri pada 29 Ogos 1975 dalam Sektor Rukun Tetangga Kampung Kasipillay, Kuala Lumpur.

Pada peringkat awalnya, Skim Rukun Tetangga ini berfungsi bagi mengawal keselamatan kawasan kediaman. Skim ini merupakan suatu langkah yang membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka berikutan dengan beberapa kejadian yang mengancam keselamatan negara pada waktu itu. Dengan itu, tumpuan telah diberi kepada tugas rondaan yang diwajibkan kepada penduduk yang berumur di antara 18 hingga 55 tahun yang menetap dalam kawasan Sektor Rukun Tetangga.

Peranan RT tidak boleh lagi dilihat sebagai pasukan rondaan sukarela semata-mata, tetapi mampu menjadi pengurus serta pemimpin komuniti yang berkesan

Mulai 1 Januari 1983, kerajaan telah menyusun semula Skim Rukun Tetangga berkonsepkan semangat kejiranan untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan komuniti setempat. Pelaksanaan skim ini dibuat mengikut 3 kategori iaitu Kawasan Rukun Tetangga, Sektor Pendaftaran, Sektor Keselamatan dan undang-undang berkaitan Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 telah pun dipinda bagi tujuan tersebut. Skim ini telah diperluaskan ke negeri Sarawak pada tahun 1985.

Pada tahun 2001, Kerajaan telah memperkenalkan konsep pembangunan komuniti kepada Rukun Tetangga. Konsep ini bertujuan memperkasakan komuniti untuk berhadapan dengan cabaran dan perubahan gaya hidup semasa.

Seiring dengan perubahan semasa, Model Transformasi Rukun Tetangga telah diperkenalkan pada tahun 2010. Model ini berpaksikan kepada lima (5) teras utama iaitu perpaduan, ekonomi, keselamatan, pendidikan dan kualiti hidup melalui pelaksanaan program dan aktiviti Rukun Tetangga.

Berdasarkan keperluan semasa, Ordinan Darurat telah dimansuhkan pada tahun 2011. Satu undang-undang telah digubal dan dinamakan Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751) berkuat kuasa pada 22 Jun 2012. Akta ini memperuntukkan kuasa kepada Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga sebagai peneraju keharmonian, keselamatan dan perkhidmatan kepada komuniti.

Pada 10 Mac 2020, Kementerian Perpaduan Negara telah ditubuhkan dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) diletakkan sebagai salah satu agensi di bawah kementerian ini.

Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751)

Berikutan pemansuhan Ordinan Darurat pada tahun 2011, maka Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751) telah digubal dan dikuatkuasakan mulai 22 Jun 2012. Akta ini menetapkan fungsi Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga sebagai peneraju keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian dalam komuniti.

Fungsi Dan Tugas Rukun Tetangga

Di bawah Seksyen 8 Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751), fungsi dan tugas Rukun Tetangga adalah seperti berikut:

1.  Menjalankan apa-apa aktiviti bagi meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, muhibah, keharmonian, keselesaan, keamanan, kerjasama, keselamatan, kebajikan, kesihatan, kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup di kalangan anggota masyarakat.

2. Menerima maklumat mengenai, untuk memerhati dan menyiasat, semua isu mengenai konflik masyarakat di dalam kawasan dan melaporkan maklumat, pemerhatian dan penyiasatan itu kepada Pengarah.

3. Mengambil apa-apa langkah yang perlu atau wajar untuk membolehkan pemastautin melindungi diri mereka terhadap apa-apa aktiviti jenayah atau bencana.

4. Menyediakan pengantaraan dalam masyarakat bagi maksud pendamaian atau selainnya menyelesaikan apa-apa pertikaian atau perselisihan di kalangan anggota masyarakat.

5. Menjalankan apa-apa fungsi atau tugas lain yang diarahkan oleh Ketua Pengarah dari semasa ke semasa.

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Di Sarawak

Kawasan Rukun Tetangga mula ditubuhkan di Sarawak pada 12 Jun 1985 di Sibu iaitu KRT yang pertama adalah KRT Perumahan SEDC Sukun, Sibu di bawah Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 pada ketika itu. Perluasan penubuhan KRT ini meningkat dari tahun ke tahun dan tersebar luas ke seluruh pelosok negeri Sarawak. Jumlah KRT terkini negeri Sarawak 1,062 unit.

Senarai KRT-KRT Cemerlang Negeri Sarawak Tahun 2022

1.     Kuching       – KRT Kampung Sinar Budi Lama

2.     Samarahan –   KRT Tambirat Lot

3.     Serian          – KRT Kampung Hilir

4.     Sri Aman      – KRT Tg Engkabang

5.     Betong         – KRT Kampung. Debak Laut Hulu

6.     Sarikei          – KRT BDC Industri

7.     Sibu             – KRT Kampung Datu Baru, Sibu

8.     Kapit            – KRT Nanga Banyau, Kapit

9.     Mukah         – KRT Petanak Seri

10.   Bintulu         – KRT Kampung Jabai

11.   Miri             – KRT Kampung Pujut Tg. Batu

12.   Limbang      – KRT Pabahanan, Limbang

13.   Lawas          – KRT Pertarikan, Merapok, Lawas

RT secara tidak langsung membantu pembangunan komuniti ke arah menjamin kesejahteraan sosial dalam kalangan rakyat supaya terus berkekalan. Justeru itu, tugas RT tidak hanya pada aspek rondaan dan keselamatan malahan juga pelbagai aktiviti lain merangkumi sosial, pendidikan, sukan, rekreasi, alam sekitar dan sebagainya.

Aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar dapat membantu dalam menangani permasalahan yang berlaku misalnya peningkatan kes demam denggi (foto Kejiranan Mesra Pintar Kampung Bintangor)

Aktiviti-aktiviti yang dibentuk adalah berkonsepkan pelbagai aspek termasuk pendidikan sepanjang hayat dan memperkasakan komuniti ke arah meningkatkan keupayaan masyarakat terhadap perubahan sosial dan gaya hidup.

Melalui pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan, integrasi komuniti dan nasional dapat dipupuk. Kesannya, bilangan RT semakin meningkat dan memperlihatkan masyarakat Malaysia prihatin terhadap pentingnya pemupukan perpaduan di semua peringkat komuniti.

RT adalah sebuah organisasi penting yang menggerakkan aktiviti kemasyarakatan dengan penglibatan komuniti daripada pelbagai latar belakang.

RT memberikan peluang komuniti berada dalam keadaan kebersamaan.

RAKAN Sarawak mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak atas maklumat yang dikongsikan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article