- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Polisi Sifar Projek Sakit JKR Sarawak Untuk Elakkan Pembaziran

Must read

Sejak ditubuhkan pada tahun 1882, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berperanan sebagai peneraju pembangunan fizikal dan infrastruktur di Sarawak.

Peranan dan fungsi JKR Sarawak yang kini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak (MIPD) meliputi proses pengurusan dan perancangan projek, pengurusan belanjawan, reka bentuk, pentadbiran pra kontrak dan pasca kontrak, penyeliaan projek, pemantauan dan penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam serta perkhidmatan perunding kejuruteraan.

Tahun 2022 menyaksikan sebanyak 782 buah projek secara keseluruhan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh JKR Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang merangkumi 426 projek Kerajaan Sarawak dan 356 projek Kerajaan Persekutuan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 162 projek telah disiapkan manakala 215 buah projek lagi masih dalam peringkat pelaksanaan.

Selebihnya, sebanyak 405 projek masih dalam fasa pra kontrak yang termasuk fasa perancangan, reka bentuk, dokumentasi dan proses tender.

Bagi projek yang sedang dalam pelaksanaan dan pra kontrak, JKR Sarawak menjangkakan kesemua projek tersebut siap dalam tahun 2023 hingga 2024.

Mengikut pecahan, sebanyak 109 buah projek dilaksanakan di Bahagian Kuching, diikuti Serian (24), Samarahan (86), Sri Aman (55), Betong (70), Sarikei (34), Sibu (48), Mukah (78), Kapit (80), Bintulu (51), Miri (91), Limbang (40), dan lain-lain (16) menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 782 projek.

Dalam melaksanakan tanggungjawab membangunkan projek-projek fizikal, JKR Sarawak tidak dapat mengelak daripada berdepan cabaran yang boleh merencatkan rancangan pembangunan, terutama dari segi penyediaan infrastruktur kepada rakyat.

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tiga (3) tahun lalu telah memberi impak yang sangat ketara kepada industri pembinaan tempatan.

Hal ini diakui sendiri oleh Pengarah JKR Sarawak, Encik (Ir.) Richard anak Tajan dalam temu bual bersama RAKAN Sarawak.

Pengarah JKR Sarawak, Ir. Richard anak Tajan

Menurut beliau, kemunculan COVID-19 telah mengganggu pelaksanaan projek kerajaan yang dikendalikan JKR Sarawak, terutama dari segi sumber bahan mentah dan tenaga kerja.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan kilang-kilang terpaksa menghentikan operasi buat sementara dan para pekerja yang majoritinya terdiri daripada pekerja asing juga terpaksa kembali ke negara masing-masing.

Kesan lain termasuklah kenaikan mendadak harga bahan binaan ketika pasca pandemik akibat daripada sumber bahan binaan yang terhad hingga menyebabkan sebilangan besar kontraktor tidak dapat melaksanakan projek dengan kos yang terlalu tinggi.

Kesan-kesan tersebut telah menyebabkan kelewatan pelaksanaan dan penyiapan projek kendalian JKR Sarawak.

Selain berdepan cabaran impak pandemik dan endemik COVID-19, JKR Sarawak juga berdepan cabaran dari segi logistik dan topografi tapak pembinaan yang mencabar, kos penggunaan teknologi bagi kerja-kerja pembinaan di kawasan tanah gambut serta cabaran memperbaiki kemudahan infrastruktur seperti jalan raya yang rosak akibat daripada kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan kemudahan utiliti dan telekomunikasi daripada pihak-pihak lain.

Sungguh pun begitu, melihat pada tindakan menyeluruh yang diambil oleh Kerajaan Sarawak dalam mengurangkan beban rakyat termasuk pihak kontraktor impak daripada COVID-19, JKR Sarawak turut sama mengambil bahagian dalam merancang dan melaksanakan polisi-polisi kerajaan dalam hal tersebut.

Langkah-langkah yang diambil adalah seperti berikut:

  • Melaksanakan Perubahan Harga (Variation of Price (VOP)) melalui BKSS 7.0 dan BKSS 9.0 dalam usaha kerajaan meringankan beban perubahan kos dan melanjutkan tempoh pelaksanaan kontrak.
  • Melaksanakan penstrukturan semula dengan mengarahkan semua jurutera memantau dan menyelia projek di tapak dengan lebih kerap.
  • Meningkatkan kemahiran melalui latihan kompetensi semua jurutera, arkitek dan juruukur supaya mendapat pentauliahan profesional.
  • Menyelaras semula struktur organisasi (Pejabat JKR Wilayah digabungkan dengan JKR Bahagian), iaitu projek-projek yang dikendalikan oleh pejabat JKR Wilayah digabung dengan pejabat JKR Bahagian. Ini dilaksanakan bagi mencapai prestasi guna sama tenaga kerja dan kos kepada lebih optimum di peringkat setiap JKR Bahagian mengikut kelulusan projek-projek kerajaan.
  • Pelaksanaan kontrak kerja pembinaan juga diperketatkan dari segi keberkesanan kontraktor menjalankan kerja binaan.

Berkuat kuasa 1 Januari 2023, JKR Sarawak distrukturkan semula dengan kesemua pegawai dan jurutera yang selama ini berkhidmat di tiga (3) pejabat JKR Wilayah, iaitu Pejabat JKR Wilayah Selatan, Wilayah Tengah dan Wilayah Utara ditempatkan untuk berkhidmat di pejabat-pejabat JKR Bahagian.

Berkuatkuasa 1 Januari 2023, kesemua jurutera yang berkhidmat di tiga (3) Pejabat JKR Wilayah sebelum ini ditempatkan di Pejabat JKR Bahagian

Penstrukturan semula tersebut menurut Encik Richard bertujuan untuk meningkatkan kapasiti setiap pejabat JKR Bahagian selain lebih fokus untuk memantau dan melaksanakan projek di bahagian masing-masing dengan lebih berkesan.

Dalam melaksanakan sesuatu projek pembangunan, banyak elemen yang perlu diselaraskan dan dipantau dengan baik seperti keselamatan di tapak projek.

Sebagai sebuah agensi teknikal, JKR Sarawak perlu melaksanakan projek-projek kerajaan berasaskan pada piawaian-piawaian teknikal dan keperluan tadbir urus organisasi kerajaan.

Secara asasnya, JKR Sarawak mengguna pakai spesifikasi piawaian yang dikeluarkan oleh JKR Persekutuan serta tertakluk pada undang-undang, peraturan dan arahan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dan standard reka bentuk yang mengikut piawaian antarabangsa.

Selain itu, JKR Sarawak juga mempunyai manual kerja dalaman atau MOI (Manual of Instruction) dengan menekankan aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar serta semua perintah tetap berkaitan pelaksanaan projek.

Dari segi pemantauan projek, JKR Sarawak telah pun mengguna pakai sistem pelaporan dan pemantauan projek yang dipanggil ‘JKRDash’ (JKR Sarawak Project Dashboard).

Sistem bersepadu ini boleh dipantau secara dalam talian pada masa sebenar (real time) dan memudahkan pihak pengurusan memantau status pelaksanaan sesuatu projek termasuk permasalahan di tapak.

Untuk mendapatkan status terkini pelaksanaan setiap projek, pihak jabatan juga sering mengadakan mesyuarat pemantauan bulanan.

Jelas Encik Richard, melalui penstrukturan semula jabatan, jurutera diarahkan untuk sentiasa berada di tapak bagi memantau pelaksanaan projek.

Beliau menekankan bahawa tugas jurutera adalah menyelia projek di tapak, bukannya di pejabat. Jurutera disediakan dengan ‘Site Diary’ yang dikendalikan secara digital dan bersepadu dengan sistem PIMU (Project Implementation Monitoring Unit) yang turut membolehkan jurutera yang berada di tapak dapat dipantau melalui peranti mudah alih atau telefon pintar.

Antara inisiatif lain yang diambil dalam usaha ini ialah menghantar jurutera, arkitek dan jurutera mekanikal mengikuti kursus pentauliahan profesional dalam bidang masing-masing bertujuan menambah keyakinan para pegawai mengendalikan projek.

JKR Sarawak juga menurut Encik Richard telah menubuhkan cawangan perkhidmatan konsultasi dalaman yang melibatkan kerja-kerja reka bentuk bangunan, jalan raya, jambatan dan juga kerja-kerja tinjauan termasuklah melaksanakan penyiasatan tapak menggunakan kapasiti tenaga jabatan sendiri.

Kesemua inisiatif baharu yang dilaksanakan jelas beliau adalah untuk meningkatkan keyakinan dan kapasiti jabatan dengan menerapkan amalan kerja berpasukan yang beliau percaya mampu menjadikan pelaksanaan projek lebih berkesan.

Dalam melaksanakan tanggungjawabnya, JKR Sarawak turut tidak terkecuali menerapkan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), iaitu rangka kerja yang kini menjadi fokus amalan baik bagi menangani isu kemampanan pembangunan di peringkat global.

JKR Sarawak melaksanakan inisiatif yang berkait rapat dengan rangka kerja ESG melalui tindakan-tindakan berikut:

  1. Alam Sekitar
  2. Penerapan teknologi hijau pada reka bentuk bangunan melalui Building Information Modelling (BIM) yang telah banyak membantu mengurangkan kerugian dalam pembinaan, mampu mengenal pasti kesilapan dalam reka bentuk di peringkat awal perancangan seterusnya dapat menjimatkan kos bahan binaan.
  3. Projek Lebuh Raya Pan Borneo juga mengguna pakai teknologi Highway Information Modelling (HIM).
  4. Ekonomi Kitaran (Circular Economy) – aset bangunan sedia ada diguna semula dan diperbaharui untuk penggunaan baharu.
  5. Sosial
  6. Penglibatan komuniti dan JKR Bahagian melalui perolehan input untuk sesuatu projek seperti projek RTP (Program Transformasi Luar Bandar).
  7. Mengadakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama komuniti tempatan yang kurang bernasib baik. Sebanyak 36 aktiviti CSR telah dijalankan pada tahun 2022.
  8. Tadbir Urus
  9. Melancarkan Pelan Anti Rasuah Organisasi JKR Sarawak (JKRS OACP) 2021-2025.
  10. Unit Integriti memantau, menyiasat dan melapor insiden pelanggaran integriti dalam kalangan warga jabatan.

Sebagai ketua, Encik Richard berpegang dengan prinsip ‘satu hati’ yang beliau ambil sebagai gagasan dan amalan untuk warga kerja JKR Sarawak menjalankan tugas di mana saja mereka berada.

Penerapan amalan tersebut telah beliau tekankan sejurus beliau dilantik sebagai Pengarah JKR Sarawak.

Dalam tempoh tiga (3) tahun kebelakangan ini, JKR Sarawak juga telah melaksanakan penambahbaikan dan pembaharuan dalam proses kerja bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

Langkah-langkah yang diambil termasuklah menambah baik proses pemilihan kontraktor, membuat semakan semula dokumen kontrak, melaksanakan Front-End Engineering (FEE) di peringkat perancangan projek, memastikan Ikrar Akauntabiliti ditandatangani di peringkat penyerahan Surat Setuju Terima Projek oleh semua pihak yang terlibat dan melaksanakan polisi Sifar Projek Sakit.

JKR Sarawak komited memastikan polisi Sifar Projek Sakit dapat dilaksanakan

Jelas Encik Richard, polisi Sifar Projek Sakit telah dilaksanakan sejak akhir 2022 dan kesemua pegawai dan jurutera yang terlibat dalam sesuatu projek harus memastikan projek berkenaan dapat dijalankan mengikut perancangan dari mula hingga akhir.

JKR Sarawak komited dalam memastikan polisi tersebut dilaksanakan supaya tidak timbul masalah yang dihadapi rakyat impak daripada projek yang gagal dijalankan selain dapat mengelak daripada berlakunya pembaziran.

Encik Ir. Richard bersama pegawai-pegawai JKR Sarawak meninjau salah satu tapak projek kendalian JKR Sarawak di Sejingkat, Kuching (Foto Facebook JKR Sarawak)

Penggunaan Big Data menjadi fokus inovasi JKR Sarawak yang diyakini memberi kesan besar dalam pengurusan dan pelaksanaan projek pembangunan.

Menerusi Big Data, pemantauan projek lebih mudah dan lebih telus untuk dilaksanakan. Menurut Encik Richard, maklumat yang telus melalui Big Data membolehkan projek dikawal selia dengan rapi.

Sebagai contoh, pangkalan data GIS yang terkumpul dalam tempoh lebih 10 tahun lalu dengan kebolehan capaian digital membolehkan JKR Sarawak membuat perancangan awal untuk melaksanakan sesuatu projek dengan konsep FEE.

Penggabungan data kejuruteraan dengan data penempatan jelas beliau juga membolehkan perancangan rapi dibuat di antara agensi-agensi pembangunan tempatan yang lain.

Selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, JKR Sarawak komited dalam usaha mencapai rangkaian hubungan jalan raya 100 peratus di seluruh Sarawak seperti yang digariskan dalam PCDS 2030.

Untuk mencapai objektif tersebut, JKR Sarawak bekerjasama dengan MIPD dengan merangka jadual pelaksanaan induk (Master Implementation Schedule) bagi memastikan semua komuniti dapat dihubungkan dengan jalan raya.

Bermodalkan data GIS serta pengetahuan tempatan JKR Bahagian, pihak jabatan telah menghasilkan Rural Connectivity Map yang meliputi seluruh Sarawak.

Berdasarkan rekod jabatan, sebanyak 310 buah kampung di kawasan luar bandar di seluruh Sarawak belum dapat dihubungi melalui jalan raya.

Sumber data berkenaan merupakan asas kepada JKR Sarawak dalam melaksanakan fungsinya untuk mencapai PCDS 2030.

Sebanyak 782 projek RMKe-12 dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dikendalikan oleh JKR Sarawak
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article