- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Anggota PANS Perlu Bekerja Sebagai Satu Pasukan

Must read

Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Bin Marzuki menyeru kepada semua anggota perkhidmatan awam untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan perkhidmatan Kerajaan Negeri berjalan dengan lancar dan berkesan.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua anggota perkhidmatan awam agar segera mengetepikan perbezaan pangkat, latar belakang, etnik, budaya, agama dan sebagainya kerana perkara penting yang perlu difikirkan ialah, semua harus bekerjasama sesama diri seperti sebuah pasukan bola sepak.

Setiausaha Kerajaan Sarawak menyampaikan ucaptama pada sesi Townhall sempena Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Perkhidmatan Awam Sarawak Tahun 2023 di Sibu

Misalnya beliau sendiri yang berbangsa Melayu masih dapat bekerjasama dengan orang yang berbangsa Cina, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan sebagainya, begitu juga sepatutnya dengan anggota-anggota perkhidmatan awam yang lain.

Hal ini kerana beliau tidak melihat bahawa perbezaan pangkat, etnik, budaya dan bangsa itu sebagai satu halangan yang boleh menyebabkan anggota perkhidmatan awam tidak boleh bekerjasama.

Tambah beliau, dalam memupuk semangat bekerja sebagai satu pasukan ini, beliau seboleh-bolehnya tidak mahu terlalu terikat dengan protokol, dalam konteks hubungan di antara anggota-anggota perkhidmatan awam.

Kita harus ada kerjasama yang baik dan jangan sampai ke peringkat di mana anggota-anggota biasa tidak boleh ‘bercakap’ dengan Pegawai Daerah atau Penolong Pegawai Daerah kalau tidak melalui Residen.

Suasana semasa berlangsungnya Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Perkhidmatan Awam Sarawak Tahun 2023 di Sibu

Begitu juga dalam konteks jabatan, di mana tidak ada satu pun jabatan yang boleh mengatakan bahawa jabatan mereka lebih berkuasa dan penting daripada jabatan-jabatan yang lain.

Kerana itu, beliau selalu mengingatkan anggota-anggota PANS bahawa, semua mereka mempunyai peranan yang berbeza namun tetap saling bergantung di antara satu-sama lain.

Beliau juga sering mengingatkan pegawai-pegawai atasan agar sentiasa menghormati pekerja-pekerja bawahan mereka seperti kerani, pemandu, pekerja am, pengawal keselamatan dan sebagainya kerana di kemudian hari, merekalah yang kita perlukan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua anggota perkhidmatan awam Sarawak agar tidak gentar berdepan dengan sebarang perubahan.

Sebab itu, beliau telah memberi penekanan terhadap konsep 3R iaitu Revisit, Rethink dan Recharge  seperti yang telah diperkenalkan semasa Program High Performance Team (HPT) Retreat di Langkawi pada tahun lepas untuk memastikan segala tugas dan proses kerja masih relevan untuk dilaksanakan.

Mengulas perkara tersebut, beliau menjelaskan kenapa konsep 3R itu perlu ditekankan adalah kerana anggota-anggota perkhidmatan awam perlu sentiasa memikirkan sama ada apa yang sedang dilakukan sekarang ini masih relevan ataupun tidak.

Misalnya, revisit yang mendorong anggota-anggota perkhidmatan awam untuk sentiasa melihat atau menilai semula prosedur-prosedur, cara bekerja, cara berinteraksi dengan rakyat dan sebagainya kerana mungkin ada diantaranya yang sudah tidak relevan lagi dengan cara bekerja.

Jelas beliau, mungkin ada pekeliling yang diwujudkan semasa pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri pertama tidak lagi relevan dengan corak pentadbiran pada masa kini.

Pada masa yang sama, beliau juga selalu memberi penekanan kepada anggota perkhidmatan awam untuk rethink atau memikirkan apakah idea-idea baharu yang dapat digunakan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat sentiasa relevan.

Begitu pula dengan recharge dalam erti kata, di mana setiap anggota perkhidmatan awam perlu ‘upgrade’ diri mereka agar dapat berjalan seiring dengan kepimpinan politik kita pada hari ini.

Kita sedia maklum bahawa, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg sentiasa tampil dengan idea-idea baharu.

Maka itulah sebabnya beliau meminta Puan Mildred Voon Hian Ya dari Unit Perancang Ekonomi Sarawak memberi taklimat mengenai Strategi Pembangunan Pasca COVID (PCDS) 2030 kerana mungkin ada di antara mereka yang belum betul-betul faham akan inisiatif tersebut.

Begitu juga dengan idea-idea lain yang diilhamkan oleh YAB Premier seperti tenaga hidrogen, penyimpanan karbon, perdagangan karbon, perubahan iklim dan sebagainya perlu difahami oleh semua pegawai kerajaan terutama Pegawai-pegawai Daerah.

Hal ini kerana mereka adalah individu yang lebih dekat dengan rakyat justeru, apabila mereka memahami inisiatif-inisiatif tersebut, maka dengan mudah mereka akan dapat dan boleh memanjangkan fakta tersebut kepada masyarakat.

Beliau menyatakan perkara ini pada sesi Townhall sempena Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Perkhidmatan Awam Sarawak Tahun 2023 di Sibu pada 17 Mac 2023.

Penyerahan cendere hati kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki
Sesi bergambar bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Bin Marzuki selepas tamat sesi Townhall

Persidangan Pegawai Daerah Perkhidmatan Awam Sarawak 2023 telah memberi tumpuan terhadap tiga (3) topik iaitu PCDS 2030, Perubahan Iklim dan Tenaga Boleh Diperbaharui.

Seramai kira-kira 160 pegawai Perkhidmatan Awam Sarawak yang melibatkan Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah dan Pegawai Tadbir menghadiri persidangan tersebut.

Suasana semasa berlangsungnya Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Perkhidmatan Awam Sarawak Tahun 2023 di Sibu

Persidangan yang bertemakan ‘Mempercepatkan Kejayaan’ itu dimulakan dengan ucapan perasmian daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) YBhg. Datu Buckland Bangik.

Kemudiannya, ia diteruskan dengan taklimat mengenai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang disampaikan oleh Puan Mildred Voon Hian Ya dari Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Jabatan Premier Sarawak.

Topik berkenaan PCDS 2030 oleh Puan Mildred Voon Hian Ya dari Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Jabatan Premier Sarawak
Topik berkenaan perubahan iklim disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Encik Abang Ahmad Abang Morni

Dalam program sama, turut diadakan taklimat mengenai Perubahan Iklim yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Encik Abang Ahmad Abang Morni.

Seterusnya ialah taklimat mengenai Tenaga Diperbaharui oleh Pengarah Institut Tenaga Lestari dan Diperbaharui oleh Pengarah Institut Tenaga Lestari dan Diperbaharui Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Ts. Dr Shanti Faridah Salleh.

Topik berkenaan Tenaga Diperbaharui disampaikan oleh Pengarah Institut Tenaga Lestari dan Diperbaharui Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Ts. Dr Shanti Faridah Salleh

Hadir sama dalam persidangan tersebut ialah Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak,  YBhg. Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel (Perancang Ekonomi dan Pembangunan), YBhg. Datu Hii Chang Kee (Operasi), Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, YBhg. Datu Ismail Mohamad Hanis, Residen Bahagian Sibu, Encik Wong Heng Sieng dan Ketua-Ketua Jabatan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article