- Advertisement -spot_img
4,841
published news
and counting

710 Penjawat Awam Dikurniakan Pingat Perkhidmatan Setia

Must read

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Kuching bertempat di Pusat Konvensyen Hotel Raia, Kuching pada 20 Mac 2023.

Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Kuching itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, YB Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak, YB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Seramai 710 orang penjawat awam telah dikurniakan Pingat Perkhidmatan Setia bagi menghargai sumbangan mereka terhadap pembangunan Sarawak.

Penerima bakti setia paling lama dalam perkhidmatan iaitu Linda Lio Vun Fah @ Winfah dari Majlis Bandaraya Kuching Selatan yang telah berkhidmat selama 43 tahun (Foto : Jabatan Penerangan Sarawak)
Antara penerima pingat dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sarawak, Bedindang Aseng yang telah berbakti selama 40 tahun (Foto : Jabatan Penerangan Sarawak)

Antara yang menerima Pingat Perkhidmatan Setia tersebut ialah Peguam Besar Negeri Sarawak, YBhg Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid yang telah berkhidmat selama 34 tahun.

Turut dalam senarai ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, YBhg. Datu Ken Leben dan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.

Menurut Premier Sarawak, penjawat awam memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pelaksanaan pelbagai dasar, strategi dan inisiatif yang telah dirancang oleh kerajaan Sarawak. 

Dalam usaha untuk menjayakan Strategi Pelan Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030), penjawat awam perlu bersedia melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang relevan.

Langkah ini penting kerana ia mampu menangani perubahan yang bakal berlaku serta dapat menghasilkan kualiti tugas yang berinovasi.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan isu-isu salah laku penjawat awam yang dipaparkan dalam media massa mampu menjejaskan imej dan kredibiliti penjawat awam.

Oleh itu, setiap penjawat awam perlu menjunjung tinggi budaya etika dan integriti serta komited dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan. 

Tambah beliau, perkara ini amat penting bagi memastikan perkhidmatan awam akan terus mendapat kepercayaan dan menjadi harapan kepada rakyat.

Berdasarkan kenyataan media, para penerima Pingat Perkhidmatan Setia itu terdiri daripada 35 buah jabatan dan agensi yang merangkumi 29 daripada Kerajaan Sarawak dan enam (6) dari Kerajaan Persekutuan.

Penganugerahan pingat perkhidmatan setia yang diadakan pada setiap tahun ini merupakan penghargaan kepada anggota Perkhidmatan Awam Sarawak dan Persekutuan yang telah memberi sumbangan kepada pembangunan Sarawak.

Selain itu, mereka juga telah memberikan perkhidmatan yang berkualiti serta berintegriti sepanjang tempoh perkhidmatan.

Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia diberikan kepada penjawat awam yang bertaraf tetap dalam perkhidmatan awam di Sarawak yang telah berkhidmat selama 20 tahun terus-menerus atau 25 tahun perkhidmatan terkumpul.

Selain itu, mereka juga perlu bebas dari siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tiada rekod pelanggaran tatatertib.

Menelusuri sejarah dalam pentadbiran moden di Sarawak yang diperkenalkan pada era pemerintahan Brooke, sebagai penghargaan dan pengiktirafan ke atas ketaatsetiaan pegawai-pegawai kerajaan, pemerintahan Brooke telah menganugerahkan pingat Long Service Decoration.

Pingat Long Service Decoration diberikan kepada pegawai-pegawai yang telah lama berkhidmat serta menunjukkan mutu perkhidmatan yang cemerlang.

Seterusnya, mulai tahun 1950-an dalam era koloni British, gelaran kurniaan itu telah ditukar kepada Long Service Badge tetapi tujuan penganugerahannya tidak berubah.

Bersesuaian dengan perubahan zaman, gelaran Long Service Medal ataupun Pingat Perkhidmatan Lama telah mula digunakan semenjak 1963.

Berikutan perubahan semasa, pingat berkenaan telah ditukar lagi namanya kepada Pingat Perkhidmatan Setia selaras dengan arahan yang terdapat di dalam Surat Pekeliling (Bil. Peri. 19/96) bertarikh 24 Mei 1996.

Walaupun istilah yang diguna pakai adalah berbeza dari tahun ke tahun, namun intipati yang ingin disampaikan adalah pengiktirafan serta penghargaan Kerajaan Sarawak kepada para penjawat awam yang berjaya mempamerkan kesetiaan dalam melaksanakan perkhidmatan yang cemerlang.

Mulai 2 Disember 2008, sempena Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia oleh Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Miri, Sarawak, kerajaan telah membuat pembaharuan bagi pingat untuk penerima wanita dengan penggunaan reben berbeza daripada penerima lelaki.

Jaafar Jantan (lima kiri) bersama 13 penerima Pingat Perkhidmatan Setia terdiri daripada Sutina Bujang, Nurie Botik, Hamzah Bohari, Jua Daud, Mosin Ujap, Mohiden Bojeng, Roselee Hashim, Shamshul Keram, Talip Inggol, Abang Zamhary Abang Zaini, Zaidi Ili, Juni Amin dan Hasbi Ismail (Foto : Jabatan Penerangan Sarawak)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article