- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Inisiatif Kelestarian Alam Sekitar UiTM Sarawak

Must read

Kebanyakan kampus universiti di serata dunia kini mula membangunkan inisiatif hijau dan kelestarian sebagai usaha menangani isu alam sekitar seperti perubahan iklim, pencemaran, kemusnahan habitat dan pelupusan sampah.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak misalnya membangunkan inisiatif kelestarian alam sekitar melalui penubuhan UiTM Green Campus (UGC) Sarawak dan Jawatankuasa Pelestarian Kampus.

Usaha tersebut telah diiktiraf apabila UiTM Sarawak merangkul Anugerah Emas dalam Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) 2021/2022 Ke-10.

Menurut Rektor, YBhg Profesor Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali, inisiatif alam sekitar UiTM Sarawak merupakan satu manifestasi yang menyokong Rangka Tindakan Sarawak Lestari (Sarawak Sustainability Blueprint) yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Rektor UiTM Sarawak YBhg Profesor Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali

Jelas beliau, kejayaan UiTM Sarawak yang pertama kali menyertai PSEA begitu signifikan kerana apa yang dicapai boleh dijadikan motivasi kepada ketiga-tiga kampus cawangan merangkumi kampus Samarahan, Samarahan 2 dan kampus Mukah untuk bersama-sama membantu Kerajaan Sarawak dalam inisiatif hijau serta menyokong SDG.

“Pencapaian tersebut adalah berkat usaha jawatankuasa terlibat yang begitu komited dan tahu apa yang mereka lakukan dalam inisiatif alam sekitar sejajar dengan visi menjadikan UiTM sebagai Universiti Terkenal di Peringkat Global menjelang tahun 2025.

UiTM Sarawak Kampus Samarahan
UiTM Sarawak Kampus Samarahan 2
UiTM Sarawak Kampus Mukah

“Jika UiTM Sarawak mampu memenangi PSEA, kita juga mahu memenangi UN SDG Action Awards dan saya yakin ia dapat dicapai memandangkan Sarawak terkenal dengan inisiatif hijau dan kita sedang berusaha ke arah itu,” tambah beliau.

Penubuhan UGC di peringkat cawangan Sarawak melalui lantikan Bahagian Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur telah bermula sejak tahun 2021 manakala Jawatankuasa Pelestarian Kampus pula telah ditubuhkan di bawah portfolio Unit Kualiti.

Sebagai pemacu utama usaha kelestarian kampus, jawatankuasa berkenaan mensinergikan inisiatif daripada semua pihak termasuklah tadbir urus, operasi, pendidikan dan penyelidikan ke arah agenda SDG 2030.

Beberapa inisiatif kelestarian alam sekitar yang dibangunkan oleh UGC dan Jawatankuasa Pelestarian Kampus UiTM Sarawak adalah seperti berikut:

  1. Rawatan Biologi Untuk Air Sisa. Rawatan bertujuan untuk mengenal pasti proses pembekuan biologi menggunakan dos rendah koagulan berasaskan tumbuhan untuk menghilangkan Permintaan Oksigen Kimia (COD) dan kekeruhan yang tinggi. Selain itu, kaedah rawatan yang dijalankan juga bertujuan untuk menilai dan mengenal pasti keadaan dan masalah semua Suhu dan Tekanan Piawai (STP) di UiTM Sarawak dan pada masa yang sama mengeluarkan garis panduan untuk operasi STP.
  2. Rawatan Air Mudah Alih dan Kos Rendah. Di bawah inisiatif ini, UiTM Kampus Samarahan telah membangunkan sistem rawatan air mudah alih dengan kos yang rendah untuk komuniti setempat. Kajian rintis telah dijalankan di UiTM Kampus Samarahan dan sistem rawatan air yang dihasilkan telah diaplikasikan di kawasan luar bandar, iaitu di Kampung Belimbing Besi, Sebuyau.
  3. Pengurusan Sisa. UiTM Sarawak juga menerapkan amalan kitar semula berasaskan 3R, iaitu reduce (kurangkan), reuse (guna semula) dan recycle (kitar semula) dengan menyediakan tong sampah kitar semula dalam kawasan kampus, menjalankan pengurusan pembuangan sisa barangan elektronik serta menetapkan jadual pengumpulan sisa oleh pihak kontraktor.
    • Baja Organik Daripada Ayam Ternakan. Makanan untuk ayam ternakan dibekalkan dengan nutrien untuk memastikan pertumbuhan optimum ayam dan sisa buangan ayam digunakan sebagai baja untuk menyuburkan tanaman di Unit Ladang seperti sayur-sayuran dan jagung tempatan.
    • Projek Akuaponik. Projek pemeliharaan ikan tilapia ini dijalankan oleh UiTM Kampus Mukah yang menggunakan sistem hidroponik yang juga dilengkapi dengan unit kitaran air untuk digunakan semula. Sisa buangan daripada ikan tilapia yang dipelihara di dalam tangki melalui sistem akuaponik akan dipam ke tapak tumbuhan yang dipenuhi batu kerikil.
    • Taman Buluh. Taman Buluh di kampus UiTM Samarahan telah dijadikan sebagai model dan pusat rujukan maklumat untuk perkongsian warga kampus dan orang awam dalam memupuk pendidikan dan kesedaran tentang peranan dan kepentingan tanaman buluh kepada masyarakat.
    • Inisiatif Digital. Pendigitalan proses kerja dan pengoperasian melalui pendekatan Operational Excellence (OE) merupakan salah satu lagi inisiatif kelestarian alam sekitar UiTM Sarawak dalam membantu mengurangkan jejak karbon dengan mengurangkan penggunaan kertas. UiTM Sarawak telah membangunkan beberapa sistem dalam talian untuk pengurusan mesyuarat, sumber manusia seperti sistem HR2U, UIStrategic Management System, FinEportal, EKolej, UFuture Learning Management System dan banyak lagi. Melalui sistem HR2U, kad perakam waktu tidak lagi digunakan oleh tenaga pengajar dan kakitangan UiTM Sarawak untuk mencatat kehadiran. Kaedah pengajaran dan pembelajaran juga dijalankan secara hybrid, iaitu secara dalam talian dan bersemuka.

    Antara inisiatif lain berkaitan kelestarian alam sekitar yang dilaksanakan UiTM Sarawak termasuklah Sistem Pertanian Pintar Automatik Berpatutan (AASAS) yang menyediakan penyelesaian dan pakej pertanian pintar dengan kos yang berpatutan dan praktikal, program pendidikan alam sekitar anjuran para pelajar Diploma Kesihatan Persekitaran bersama pelajar sekolah SK Atas, Singai, Bau dan program E-Kasih Tani (B40) Kolaborasi Komuniti bersama Pejabat Residen Samarahan dan Jabatan Pertanian Sarawak (DOA).

    Pensyarah Kanan, Ts. Dr. Nurzawani binti Md Sofwan merangkap Koordinator UGC Sarawak dan Jawatankuasa Pelestarian Kampus memaklumkan, UiTM Sarawak adalah satu-satunya kampus UiTM yang menubuhkan Jawatankuasa Pelestarian Kampus.

    Pensyarah Kanan UiTM Sarawak Ts. Dr. Nurzawani binti Md Sofwan

    Dalam menjalankan inisiatif kelestarian, jawatankuasa berkenaan tidak hanya melihat pada aspek alam sekitar, malah juga melihat pada SDG secara keseluruhan melalui Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang terdiri daripada 17 orang yang dilantik dari Bahagian Akademik, Pentadbiran, Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Fasiliti termasuk pensyarah dalam bidang berkaitan.

    PTJ berperanan membantu dan memantau pelaksanaan inisiatif alam sekitar yang dibangunkan dan disampaikan ke pengetahuan pihak pengurusan untuk dipersetujui.

    Dr. Nurzawani menjelaskan, secara dasarnya, polisi kelestarian UiTM telah lama diperkenalkan di peringkat kampus induk Shah Alam.

    “Sebahagian daripada polisi berkaitan SDG dibangunkan di UiTM Sarawak, contohnya kecekapan tenaga yang berkait rapat dengan operasi Bahagian Fasiliti,” tambah beliau.

    Secara khususnya, Polisi Pengurusan Tenaga UiTM komited untuk melaksanakan tindakan-tindakan seperti berikut:

    Polisi Pengurusan Tenaga UiTM
    Salah satu blok kediaman pelajar UiTM Sarawak Samarahan yang telah dinaik taraf dan ditambah dengan ciri-ciri hijau seperti penggunaan lampu LED
    • Menggunakan tenaga dengan cekap secara berterusan dan menyeluruh;
    • Memastikan projek pembangunan fizikal baharu, ubah suai dan naik taraf dijalankan secara kos efektif dengan penggunaan tenaga dan kos penyelenggaraan yang rendah;
    • Mengarus perdanakan teknologi hijau dalam semua aspek pembangunan fizikal, penjanaan tenaga, penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran;
    • Mengukuhkan kesedaran di kalangan warga universiti mengenai keperluan pemuliharaan dan penjimatan tenaga serta kelestarian alam sekitar.

    Menurut Ketua Unit Kualiti, Encik Yussri bin Sawani, UiTM Sarawak merupakan kampus pertama yang mempunyai polisi SDG untuk kampus yang menekankan pada Research (Penyelidikan), Teaching and Learning (Pengajaran dan Pembelajaran), External Leadership (Kepimpinan Luaran) dan Governance (Tadbir Urus).

    Ketua Unit Kualiti UiTM Sarawak Encik Yussri bin Sawani

    Jelas Encik Yussri, UiTM Sarawak sebagai institut pengajian tinggi perlu membantu mencapai matlamat SDG melalui empat (4) aspek tersebut kerana ia adalah perkhidmatan teras universiti dan pihak beliau menjadikannya sebagai satu polisi SDG untuk UiTM Sarawak dalam mencapai matlamat keseluruhan SDG.

    Penerapan Elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)

    Universiti dan institut pengajian tinggi global kini juga mula memberi perhatian kepada elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

    Hal tersebut dikatakan demikian kerana sektor pendidikan merupakan wadah yang paling ampuh untuk mendukung matlamat pembangunan mampan.

    UiTM Sarawak sebagai penyedia perkhidmatan pendidikan tinggi (HEP) mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk dan melahirkan cendekiawan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah juga mempunyai nilai sosial yang baik.

    Oleh sebab itu, elemen ESG yang dijadikan penarafan bagi mengurus risiko dan peluang berkaitan isu kemampanan (SDG) turut diterapkan oleh UiTM Sarawak.

    Di sinilah UGC dan Jawatankuasa Pelestarian Kampus memainkan peranan dan tanggungjawab dengan mengambil pendekatan dalam memastikan supaya pengoperasian organisasi peka terhadap kepentingan alam sekitar.

    Jelas Encik Yussri, dari segi inisiatif pengoperasian, UiTM Sarawak bergerak dalam mekanisme yang boleh menghasilkan penjimatan dari segi kos, masa dan juga sumber.

    “Dalam hal ini, elemen alam sekitar memang kami terangkan, sebagai contoh Bahagian Fasiliti amat menekankan tentang penjimatan tenaga dan utiliti yang telah menunjukkan trend penurunan dan penjimatan,” tambah beliau.

    Dari segi kelestarian sosial, UiTM Sarawak menekankan pada kebajikan kakitangan yang bukan hanya melihat pada output daripada pekerja, malah juga melihat pada kepentingan Indeks Kebahagiaan (Happiness Index) kakitangan.

    Lebih daripada itu, kelestarian sosial pelajar juga diambil perhatian dengan menyediakan wakaf makanan kepada para pelajar yang kurang berkemampuan dan dalam kumpulan isi rumah B40.

    Beberapa program bersama komuniti yang bertujuan membantu komuniti setempat meningkatkan sosioekonomi seperti Jom Berambeh turut diadakan.

    Encik Yussri menambah, UiTM Sarawak sedang membangunkan inisiatif untuk tadbir urus yang lebih cekap, mesra pengguna dengan menerapkan kelestarian dari segi pengurusan sumber dan operasi berasaskan teknologi dan digital bagi membantu mengurangkan jejak karbon.

    Pembangunan Fizikal

    Dalam aspek pembangunan fizikal, UiTM Sarawak sedang mengorak langkah untuk menerapkan elemen hijau pada struktur binaan dan kemudahan di kampus.

    Menurut Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Infrostruktur, Encik Hamzah bin Mohamad, ciri-ciri hijau akan ditambah pada bangunan sedia ada yang belum mempunyai ciri-ciri tersebut.

    Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Infrostruktur UiTM Sarawak Encik Hamzah bin Mohamad

    “Bangunan Blok K kampus Samarahan misalnya yang kini mengalami masalah bumbung bocor akan dinaik taraf dengan sistem bumbung yang mampu menadah air hujan dan beberapa ciri hijau yang lain,” tambah beliau.

    Pihak UiTM Sarawak juga merancang untuk memasang lampu jenis LED yang lebih jimat tenaga di semua kolej kediaman pelajar dan lampu jalan di sekitar kampus dan buat masa sekarang, lampu sedia ada yang rosak akan digantikan dengan LED.

    Selain itu, pihak UiTM Sarawak juga merancang untuk membangunkan laporan dan penilaian penyelenggaraan bangunan secara digital melalui penggunaan Kod QR.

    Program Kitar Semula (3R) UiTM Sarawak

    Menjunjung Aspirasi PCDS 2030

    Bagi mencapai aspirasi Sarawak maju melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, UiTM Sarawak menjalankan tanggungjawabnya dengan mewujudkan dasar mampan dalam tadbir urus berteraskan penggunaan tenaga yang lebih cekap, seterusnya mengurangkan impak pencemaran dan meningkatkan kualiti hidup sosial.

    UGC dan Jawatankuasa Pelestarian Kampus telah diamanahkan untuk memacu aspirasi PCDS 2030 agar keterampilan UiTM Sarawak dalam meningkatkan daya saing, mengekalkan kelestarian dan penggerak inovasi dan inklusiviti masyarakat setempat dan antarabangsa dapat digerakkan dengan lebih efisien.

    Antara usaha UGC adalah memastikan keupayaan kampus menjadi hab pendidikan lestari dengan kesedaran dan penggunaan sumber alam sekitar yang lebih terancang dan optimum.

    Projek Akuaponik UiTM Sarawak Kampus Mukah dilengkapi dengan sistem kitaran air guna semula termasuk sistem yang mengepam sisa buangan ikan tilapia ke tapak tumbuhan
    Projek Baja Organik daripada sisa buangan ayam ternakan yang digunakan untuk menyuburkan tanaman
    Jawatankuasa Pelestarian Kampus UiTM Sarawak menjalankan inisiatif kelestarian alam sekitar dengan melihat pada SDG secara keseluruhan melalui Pusat Tanggungjawab (PTJ)
    Projek Taman Buluh di UiTM Sarawak Kampus Samarahan

    Langkah kesedaran telah dimulakan pada 2021 dengan mengenal pasti projek berpotensi menyumbang kepada kemampanan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

    Seterusnya, pada 2022, penglibatan komuniti dalam projek lestari dan ekonomi serta pembudayaan teras PCDS telah dijalankan melalui aktiviti pembelajaran dan inovasi.

    Bermula pada tahun ini, UiTM Sarawak berhasrat meningkatkan usaha pembudayaan kampus lestari, kampus digital dan mesra pengguna dengan memperkenalkan penggunaan skuter elektrik bagi mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor di dalam kampus, menghapuskan penggunaan plastik menerusi kempen ‘Bring Your Own Container (BYOC)’ dan memanfaatkan kurikulum dalam aktiviti lestari seperti mewujudkan hab kitaran minyak masak terpakai untuk pengguna domestik.

    Segala usaha yang diambil dapat menjadi penggerak kepada pelaksanaan aspirasi PCDS 2030 dan UiTM Sarawak dapat menyumbang kepada merealisasikan hasrat murni Kerajaan Sarawak.

    Mengenai Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA)

    Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) yang dahulu dinamakan sebagai Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak (CMEA) telah diperkenalkan sejak 2001 oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) dengan kerjasama Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).

    Acara penganugerahan yang diadakan setiap dua (2) tahun sekali bertujuan untuk mengiktiraf, menggalakkan sektor perniagaan, perindustrian, sektor awam serta swasta di Sarawak agar mencapai kemajuan di samping mengutamakan pengurusan alam sekitar yang baik.

    PSEA 2021/2022 Ke-10 telah diadakan pada Disember 2022 dengan tema ‘Redefining Sustainability in Environmental Stewardship’.

    Rujukan :

    https://kenyalang.uitm.edu.my/SDG/

    https://veritrove.com/esg-in-higher education/#:~:text=Many%20colleges%20and%20universities%20are,support%20sustainability%20and%20social%20responsibility.

    Click to rate this post!
    [Total: 0 Average: 0]
    - Advertisement -spot_img

    More articles

    - Advertisement -spot_img

    Latest article