- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Taman Aman, Selamat Dan Kondusif

Must read

Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak untuk “mencorak wajah” Sri Aman sehingga ia kini telah menjadi sebuah bahagian yang maju bukan saja daripada segi pembangunan infrastruktur tetapi lengkap dengan kemudahan-kemudahan sosial dan produk-produk pelancongan.

Malah satu lagi kelebihan Sri Aman, ia turut dilengkapi dengan jalan raya baharu Pan Borneo, juga akan dapat dihubungi melalui jalan pesisir pantai secara tidak langsung akan memberi impak besar terhadap ekonomi penduduk sekitarnya.

Pekan Simanggang

Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan berjumlah kira-kira RM20 juta bagi membangunkan Taman Aman atau lebih dikenali sebagai Taman Hijau seluas 15 hektar di kawasan tapak Astana lama bertujuan untuk menjadikan Sri Aman sebagai sebuah kawasan yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk didiami mahupun dikunjungi.

Di bawah projek tersebut, rumah residen sebelum ini akan dibangunkan menjadi muzium mini selain menaik taraf Jalan Astana, Jalan Main Bazaar, Jalan Abang Aing dan Jalan Resak yang akan menghubungkan Tebingan Sri Aman.

Di Sri Aman, industri pelancongan yang berteraskan alam semula jadi dikenal pasti sebagai satu daripada sektor penting kerana ia dilihat berupaya menjadi pemacu ekonomi dengan menyemarakkan perniagaan yang berkaitan seperti sektor pengangkutan, perhotelan dan kawasan rekreasi.

Taman Panorama Benak, Sri Aman
Tebingan Sri Aman akan dihubungkan dengan Jalan Astana, Jalan Main Bazaar, Jalan Abang Aing dan Jalan Resak

Justeru, pembinaan Taman Hijau ini akan memperkasakan lagi industri pelancongan di Sri Aman kerana ia dilihat sebagai satu projek yang berimpak besar dan berpotensi tinggi dalam membantu meningkatkan tahap ekonomi Sri Aman sekaligus akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

Jika dilihat dari sudut pandang yang lebih luas, Taman Hijau ini akan memainkan peranan yang sangat penting dalam perancangan pekan Simanggang yang sihat dan berdaya huni serta membawa kepada sifat bandar yang lestari.

Saban tahun, jumlah penduduk dan pengunjung yang datang ke Sri Aman kian bertambah sehingga membawa kesan terhadap perubahan iklim justeru inilah masa yang sesuai untuk kerajaan melakukan perubahan menuju ke tahap kawasan yang lebih selesa, selamat, dan kondusif.  

Melihat kepada konsep-konsep pembangunan Taman Hijau di tempat-tempat yang lain, biasanya ia melibatkan semua prasarana semula jadi, separa semula jadi, jaringan sistem ekologi pelbagai fungsi yang terdapat di dalam, di sekeliling atau di antara kawasan bandar.

Bayangkan, dengan adanya Taman Hijau ini, penduduk tempatan akan mempunyai tempat yang sesuai untuk beriadah dan berinteraksi dalam kalangan mereka sekaligus akan dapat mengeratkan silaturahim di kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Taman Hijau yang dihiasi dengan kepelbagaian landskap melalui pelbagai jenis warna, tekstur, bentuk dan kepadatan pokok akan menyebabkan masyarakat berinteraksi dengan penuh rasa gembira di samping menghirup udara segar yang datangnya daripada pokok-pokok yang ditanam di sekitarnya.

Selain Taman Hijau, Tebingan Simanggang yang akan berwajah baharu dan beberapa projek lain juga diyakini akan menukar landskap bandar Simanggang antaranya pembinaan Dataran Bandar Baharu Simanggang yang menyaksikan pembangunan bangunan moden dan bersepadu, termasuk pasar baharu.

Turut dibangunkan di sini ialah muzium baharu di Rumah Sri Aman iaitu premis yang menjadi saksi tamatnya penyerahan kalah komunis Paraku kepada Kerajaan Negeri dan di sinilah Tun Abdul Rahman Yaakub dan Bong Kee Chok menamatkan sengketa mereka.

Oleh itu, sangat wajar untuk kerajaan membangunkan Sri Aman dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan agar dapat menarik perhatian pelancong dan pengunjung luar untuk mengangkat nilai ekonominya.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, Bahagian Sri Aman dijangka akan menjadi sebuah kawasan yang sesak dan meriah dengan pelbagai aktiviti sosial dan ekonomi tidak kira siang ataupun malam serta mempunyai lebih daya tarikan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article