Sebagai sebahagian daripada rancangan pelancongannya, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan mengembangkan pembangunan Semenanjung Damai menjadi bandar peranginan.
Usaha Ini akan menjadikan kawasan ini menjadi tarikan utama pelancong Sarawak.
Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain dalam sidang media semasa melakukan tinjauan jelajah mesra di Kampung Budaya Sarawak pada November 2020.
Projek Damai Resort City yang akan melibatkan kos pembinaan sekitar RM4 bilion akan merangkumi pusat peranginan baharu, taman tema, kereta kabel, laluan hutan dan kemudahan aktiviti merentas hutan, kawasan kesihatan dan kesejahteraan, marina dan harta tanah komersial dan kediaman.
Projek pembangunan ini selari dengan rancangan strategi SEDC untuk mengubah kawasan tepi laut yang popular ini menjadi destinasi pelancongan yang diminati.
Juga termasuk dalam rancangan pembangunan ini adalah kajian alam sekitar yang merangkumi manfaat menyeluruh ke atas alam sekitar, warisan, sosial dan masyarakat khasnya di kawasan sekitarnya.
Kajian ini menurut Tan Sri Abdul Aziz adalah keprihatinan pihak SEDC terhadap kesan projek yang dicadangkan bagi mengetahui apakah projek yang dicadangkan dalam rancangan pembangunan SEDC itu akan bermanfaat bagi industri pelancongan Sarawak atau akan membawa kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kepada persekitaran di sana.
Selain dari projek Damai Resort City, SEDC turut bercadang membuat pelaburan besar untuk pengubahsuaian dan pembesaran Damai Lagoon Resort yang menelan belanja sekitar RM100 juta.
Proses pengubahsuaian dan pembesaran Damai Lagoon Resort akan dilakukan dalam dua tahap.
Tan Sri Abdul Aziz mengatakan bahawa Ketua Menteri Sarawak telah mengumumkan pada bulan November tahun lalu bahawa SEDC akan menjadi peneraju dalam pengembangan produk pelancongan, termasuk pembinaan hotel baharu dan memperbaiki yang sedia ada.
Beliau menambahkan bahawa ini selari dengan usaha Kerajaan Negeri berkolaborasi dengan sektor swasta dalam pembangunan sektor pelancongan yang merupakan salah satu daripada empat (4) keutamaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12.
Sejak 2019, SEDC telah melakukan beberapa kerja penambahbaikan yang meliputi kerja-kerja pengubahsuaian dan peningkatan untuk 239 bilik dan koridor, ruang fungsi tingkat tiga, dan pengubahsuaian lain pada Sayap Puteri di Hotel Riverside Majestic di Kuching.
Selain itu, SEDC juga melakukan kerja-kerja pengubahsuaian ke atas Hotel Grand Margherita dan Kompleks Beli-Belah Sarawak Plaza, ruang legar Dewan Sunset di Damai Beach Resort, dan juga ke Damai Lagoon Resort and Spa.