- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Tumpu Kuasa Siber dan Kuasa Kognitif Untuk Majukan Sarawak

Must read

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menegaskan amat penting masyarakat di Sarawak memberikan penekanan kepada betapa pentingnya membaca, belajar dan mencatat ilmu untuk mengembangkan pengetahuan mereka. 

Ini kerana sikap malas membaca dan menuntut ilmu akan membawa kemudaratan iaitu masyarakat akan menjadi tidak kreatif, tidak inovatif, tidak kritikal dan pasif atau tidak responsif dengan keadaan semasa yang pada suatu tahap akan menjadikan kita mudah terpengaruh   dengan   perkara   yang   sia-sia sehingga menyebabkan kerugian atas diri sendiri.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran 1444H bersamaan 2023M di Masjid Besar Darul Mamur Lawas, pada 7 April 2023.

Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari seterusnya menyatakan bahawa suasana masa kini memerlukan kita (masyarakat Sarawak) perlu memberi tumpuan kepada kuasa siber dan kuasa kognitif atau “cyberpower and brain power”  bagi menggerakkan Sarawak ke hadapan.

Tumpu kepada kuasa siber dan kuasa kognitif untuk bangunkan Sarawak – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg. Foto : Astro Awani

 “Di bawah ekonomi digital, ilmu pengetahuan, kemahiran, rangkaian, inovasi, serta segala cabang ilmu pengetahuan adalah perlu dikuasai kerana teknologi bukan sahaja telah mengubah cara kita bekerja tetapi juga pencapaian dan produktiviti kita,” jelas Premier Sarawak.

“Kita merancang pembangunan mengikut acuan sendiri. Namun, dalam masa yang sama penekanan kita ialah pembangunan secara lestari,” kata beliau lagi.

Premier Sarawak menambah, tahun 2023 menandakan tahun ketiga pelaksanaan PCDS 2030.

Tahun 2023 juga merupakan tahun untuk menjalankan kajian separuh penggal bagi Rancangan Malaysia Ke-12.

Tahun ini ini penting sebagai tempoh menilai prestasi untuk memastikan perancangan Sarawak berada di landasan yang betul ke arah mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Dalam kajian semula ini, adalah penting bagi kami (kerajaan) untuk mengutamakan projek berimpak tinggi yang bersifat segera dalam PCDS 2030, yang akan mempercepatkan pertumbuhan Sarawak untuk menjadi sebuah negeri maju. Sehubungan itu, kita mesti menumpukan usaha kepada projek keutamaan, yang akan menyebabkan Sarawak mencapai matlamat kita iaitu Kemakmuran Ekonomi, Keterlibatan Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar.”

Premier Sarawak juga mengingatkan masyarakat di Sarawak untuk tidak terjerumus ke lembah kegagalan gaya hidup barat.

“Barat tidak lagi dianggap satu-satunya model negara maju dan membangun. Apa yang jelas kelihatan sekarang kepada dunia ialah tamadun dan kebudayaan barat kini sedang di dalam proses penurunan. Mahu tidak mahu barat terpaksa menerima hakikat bahawa asas-asas kemajuan sains dan teknologinya beserta dengan paradigma yang mendokong perkembangannya suatu masa lalu, mula dilihat sebagai obsolete (lapuk) dan ketinggalan zaman. Ini ialah kerana kemuncak kemajuan sains dan teknologi barat telah mengakibatkan berlakunya krisis yang bersifat global, terutamanya yang berkaitan dengan moral dan alam sekitar,” jelas Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari.

Tahun ini Daerah Lawas menjadi tuan rumah sambutan Peringkat Sarawak yang diadakan di Masjid Besar Darul Mamur Lawas.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article