- Advertisement -spot_img
4,813
published news
and counting

Inovasi Memacu Pembangunan Industri Pertanian

Must read

Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) merupakan salah satu agensi yang amat menggalakkan budaya inovasi dan kreativiti untuk menjana inovasi pertanian sama ada dalam teknologi kejuruteraan, agronomi, pelindungan tanaman, pengurusan tanah, pengembangan mahupun pengurusan projek.

Untuk menjana sesuatu inovasi, ia bukanlah satu perkara yang mudah kerana perlu melibatkan perubahan pada cara berfikir, pembaikan kepada sistem nilai dan usaha pengukuhan kepada gerak kerja.

Banyak program dan aktiviti berkaitan inovasi telah dilaksanakan oleh JPS seperti menganjurkan konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan Aktiviti Fokus Utama (KFA) bagi memastikan inovasi dapat memacu pembangunan industri pertanian.

Melalui platform KIK misalnya, ia memberi ruang kepada warga JPS berinovasi dan berkreativiti dalam menerbitkan idea-idea baharu tanpa perlu menunggu tercetusnya sesuatu isu atau masalah dalam jabatan.

Selain itu, ia juga membantu dalam penyelesaian masalah di tempat kerja yang menjurus kepada kepuasan pelanggan, menyemai budaya penambahbaikan serta penciptaan idea baharu dalam penghasilan kerja yang optimum secara berterusan.

Melalui platform KFA pula, warga JPS berpeluang mengambil tindakan penambahbaikan proses utama yang akan mewujudkan impak dalam perkhidmatan penyampaian, membangun model-model baharu, mengkaji semula serta menambah baik proses yang sedia ada.

Justeru, untuk mencipta sesuatu inovasi, warga JPS harus berupaya mencari penyelesaian melalui pendekatan baharu, sentiasa peka, prihatin dan proaktif dalam persekitaran kerja masing-masing sejajar dengan hasrat untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Pada dasarnya, inovasi bukan hanya satu penjanaan idea dari keadaan sedia ada tetapi ia merupakan satu pendekatan strategik perancangan dan pelaksanaan tugas harian dan dilihat sebagai gagasan baharu dalam mengurus dan mentadbir sesebuah organisasi ke arah transformasi.

Setakat ini, JPS telah mencipta pelbagai inovasi yang terdiri daripada produk makanan, sistem penanaman, alatan pertanian, mesin, jentera dan sebagainya.

Misalnya, inovasi daripada buah dabai telah menghasilkan produk-produk makanan seperti mayonis dabai, pes dabai, kek lapis dabai, keropok dabai malah turut dijadikan sebagai bahan utama untuk membuat sabun.

Antara produk makanan daripada buah jambu batu dan terung asam

Selain itu, JPS juga telah berjaya mencipta inovasi teknologi sejuk beku yang membolehkan buah dabai disimpan selama setahun sekali gus membolehkan ia dipasarkan dengan sumber bekalan berterusan sepanjang tahun walaupun di luar musim.

Selain dabai, terung asam juga telah dapat dikomersialkan dengan setiap penambahbaikan yang dilakukan hasil daripada usaha para penyelidik yang inovatif.

Antara produk yang telah dibangunkan daripada terung asam ialah Terung Asam Kering, Jus Terung Asam, Kek Gubahan Tiung, Kek Tiung, Kek Keju Tiung, Biskut Cip Tiung, Jem Terung Asam, Aiskrim Terung Asam, Keropok Terung Asam dan sebagainya.

Inovasi dalam sistem penanaman pula ialah, pelaksanaan sistem Internet Untuk Segalanya (IoT) di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Rampangi yang dilengkapi dengan ‘sensor’.

Inovasi dalam sistem penanaman (Sistem fertigasi dan Sistem Internet Untuk Segalanya (IoT))
Kaedah Penanaman hidroponik mempunyai banyak kelebihan
Inovasi alat pemetik buah lada

Sistem ini telah memudahkan petani memantau serta mengawal input baja, suhu dan kelembapan dari mana saja menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi yang dicipta khas.

Contoh seterusnya ialah inovasi alat ‘penghela pukat’ yang telah membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan mereka dengan cepat dan mudah.

Alat ini mempunyai banyak kelebihan selain harganya yang berpatutan dan mudah dibaiki kerana ia dibuat daripada gantian kaca dan bahan tempatan, nelayan juga kini boleh menangkap ikan tanpa ‘awak-awak’ kerana alat tersebut boleh dikendalikan seorang diri.

Banyak lagi inovasi yang telah dicipta oleh JPS dan semua kejayaan ini telah membuktikan bahawa inovasi yang tercipta telah menampilkan lebih banyak penyelesaian kreatif dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Justeru, pihak Jabatan wajar untuk terus memartabatkan dan memperkasakan inovasi dan kreativiti dalam setiap organisasi bagi menyuntik semangat baharu kepada warga Jabatan untuk terus meningkatkan amalan budaya inovasi dan kreativiti.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article