- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Program GERAK Membantu Graduan Memulakan Perniagaan

Must read

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED) telah merancang serta melaksanakan pelbagai program, projek dan aktiviti pembangunan keusahawanan secara berterusan sebagai galakan dan pendedahan kepada golongan belia Sarawak menceburi bidang keusahawanan.

Antaranya ialah Program Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK) yang telah dilaksanakan sejak 2018 bagi membantu para graduan yang berminat dan cenderung untuk berniaga.

Program yang dilaksanakan secara usahasama di antara MINTRED dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Komuniti (ECD) adalah usaha murni Kerajaan Sarawak bagi membantu para graduan yang ingin menceburi bidang perniagaan untuk memulakan, memperbesar serta mempelbagaikan perniagaan mereka.

Antara objektif program GERAK ialah untuk memudahkan graduan memulakan atau mengembangkan perniagaan, pada masa yang sama bermatlamat untuk meningkatkan penyertaan graduan dalam bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Pelan dan rancangan perniagaan penting dalam membangun sesebuah perniagaan

Selain itu, program ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan graduan untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam atau bekerja makan gaji serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui penubuhan perniagaan oleh peserta program GERAK.

Bagi membantu peserta program GERAK memulakan perniagaan, peserta yang memenuhi terma dan syarat akan diberikan bantuan yang bersesuaian seperti bantuan pendaftaran perniagaan, bantuan inkubator atau ruangan pejabat, bantuan mesin atau peralatan dan bantuan modal kerja.

Bagi usahawan yang belum memulakan perniagaan, mereka boleh memohon bantuan pendaftaran perniagaan program GERAK seperti kos mendaftarkan perniagaan, kos perkhidmatan pendaftaran perniagaan, kos sewaan alamat inkubator usahawan bagi pendaftaran perniagaan dan kos perkhidmatan setiausaha syarikat (bagi Syarikat Sendirian Berhad.)

Bengkel Pengenalan Rancangan Perniagaan di Politeknik METro Betong memberi pendedahan kepada pelajar untuk terlibat dalam program keusahawanan

Sehubungan itu, peserta program GERAK juga boleh memilih untuk mendaftarkan perniagaan berbentuk Milikan Tunggal, Perkongsian, Perkongsian Berhad atau Sendirian Berhad.

Bagi peserta yang memerlukan kemudahan inkubator atau ruang pejabat, mereka boleh memohon kemudahan tersebut melalui MINTRED, agensi kerajaan yang lain atau pihak yang berkolaborasi dengan MINTRED dan kos sewaan inkubator tersebut akan dibiayai oleh MIED bagi tempoh maksimum 12 bulan.

Bantuan berbentuk mesin atau peralatan pula adalah untuk membolehkan peserta memulakan atau meningkatkan pengeluaran produk atau perkhidmatan manakala bantuan modal kerja adalah bagi membantu peserta memulakan atau memperbesarkan perniagaan.

Pada tahun lepas, MINTRED telah menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM2.4 juta kepada 205 usahawan di bawah program GERAK dan Program Usahawan Graduan Dalam Bidang Teknikal dan Vokasional (USTEV).

Program Siswapreneurs Showcase 2019 anjuran KPM, Politeknik dan Kolej Komuniti
Kewujudan GERAK akan meningkatkan penyertaan graduan vokasional dalam bidang

Pada tahun 2020, bilangan penerima faedah menerusi program ini adalah seramai 26 orang dengan nilai bantuan sebanyak RM350,000.

Sejak dilaksanakan pada 2018 sehingga 31 Ogos 2020, seramai 81 orang telah menerima faedah di Bawah program GERAK dengan nilai bantuan sebanyak RM1,447,454

Syarat-syarat permohonan bagi program GERAK dan USTEV adalah seperti berikut;

  • Warga Sarawak yang bermastautin di Sarawak;
  • Graduan yang memiliki Ijazah Sarjana / Ijazah Sarjana Muda / Sijil Diploma / Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia /  atau bakal graduan dari institusi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia;
  • Bagi bakal graduan, permohonan hanya boleh dikemukakan melalui institusi latihan masing-masing dan bantuan yang dipohon adalah terhad kepada Latihan Keusahawanan dan bantuan pendaftaran perniagaan sahaja;
  • Berusia dalam lingkungan 18 hingga 40 tahun;
  • Tidak pernah menerima mana-mana bantuan yang serupa dari mana-mana agensi kerajaan
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article