- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sapan Puloh Simpan Khazanah Warisan

Must read

Sapan Puloh merupakan sebuah Muzium Mini Melanau yang terletak di kampung Tellian Tengah Mukah dan diusahakan sendiri oleh Encik Tommy Black sekeluarga.

Berdasarkan mitosnya, Sapan adalah sebuah rumah kecil yang didirikan di hadapan rumah-rumah besar (rumah ibu) bagi kaum Melanau pada suatu ketika dahulu.

Sapan mempunyai pelbagai kegunaan, antaranya digunakan sebagai tempat “memarut balau” iaitu cara tradisional untuk menghasilkan hampas rumbia (proses pertama sebelum mendapatkan tepung sagu).

Pemilik Muzium Mini Sapan Puloh, Encik Tommy Black akan menjelaskan kepada pengunjung tentang maksud dan fungsi setiap artifak yang dipamerkan

Sementara di suatu sudut pula, dibina tempat khas untuk memproses tepung sagu yang dinamakan “nyanan” di mana cara memprosesnya dinamakan “menyak”.

Sapan juga digunakan sebagai dapur, malah turut dijadikan sebagai tempat kediaman dan tempat membuat kraf tangan.

Manakala, Puloh merupakan sebuah pulau di mana Kampung Tellian Tengah ketika itu mempunyai tiga nama iaitu Kampung Puloh, Kampung Megow (hangus/terbakar) dan Kampung Tellian Tengah.

Kampung Puloh terletak di sekitar Sungai Teloh yang mempunyai tiga simpang iaitu muara sungai pertama berdekatan dengan Lamin Dana, muara sungai kedua (tengah) terletak di seberang Muzium Mini Sapan Puloh dan muara sungai yang ketiga pula terletak tidak jauh dari Sungai Genai.

Muara-muara sungai ini telah membentuk satu batang sungai yang dikenali sebagai Sungai Teloh menuju ke hutan.

Ketiga-tiga muara sungai ini membentuk satu batang sungai yang dikenali sebagai Sungai Teloh menuju ke hutan dan ketiganya bersemuka atau bertemu dengan Sungai Tellian, maka terbentuklah dua (2) buah pulau iaitu “Puloh” dalam Bahasa Melanau.

Di pulau pertama iaitu seberang Sapan Puloh terletaknya Rumah Tinggi Melanau (Abok Alow) di mana suatu ketika dahulu ianya telah musnah akibat kebakaran manakala di Pulau kedua terletaknya Tiang Jerunei kampung Puloh.

Maka, di sebalik kisah kebakaran rumah tinggi Melanau tersebutlah Kampung Tellian Tengah dan Kampung Puloh yang juga dikenali sebagai Kampung Megow (kampung hangus/kebakaran).

Sebagai kesimpulan, Kampung Tellian Tengah, Kampung Puloh dan Kampung Megow, tiga nama yang berbeza tetapi merupakan kampung yang sama, di mana setiap nama-nama tersebut mengandungi kisah sejarah yang indah dan tersendiri.

Maka dari kisah inilah telah wujudnya nama ‘Muzium Mini Sapan Puloh’, kata Encik Tommy Black (pemilik Mini Muzium Sapan Puloh) ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak di kampung Tellian Tengah Mukah pada Khamis (30 Mac 2023).

Encik Tommy Black menjelaskan, matlamat penubuhan Muzium Mini Melanau Sapan Puloh sebenarnya adalah untuk memelihara khazanah warisan kaum Melanau sekali gus untuk memberi kesedaran kepada generasi muda Melanau tentang sejarah dan leluhur moyang Melanau.

Jenis-jenis busana kaum Melanau yang dipamerkan di Muzium Mini Sapan Puloh
Busana yang digunakan oleh pengantin lelaki dan pengantin perempuan masyarakat Melanau

Menurut beliau, Muzium ini telah diwujudkan pada 14 Julai 2012, dan sebelum tertubuhnya muzium ini, kerjaya beliau adalah sebagai seorang penari dan pemuzik yang bernaung di bawah berberapa persatuan kebudayaan Melanau di Daerah Mukah.

Pada tahun 1988, sempena 25 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia, bertemakan “Tahun warisan Budaya Sarawak”, dari situlah persatuan mereka lebih dikenali.

Ketika itu, telah tertubuhnya Dewan Suarah di setiap bahagian Negeri Sarawak, dan pada masa itu, persatuan mereka telah bernaung di bawah Dewan Suarah Mesra Mukah.

Kalau diikutkan, beliau telah berkecimpung dalam bidang kebudayaan sebelum tahun 1988, di mana ketika itu mereka bernaung dibawah Kementerian Belia Dan Sukan, Bahagian Mukah.

Namun, apabila bulan berganti tahun, beliau mula menetapkan visi dan misi dalam rancangan masa depan beliau kerana mahu mempunyai hala tuju yang jelas di mana beliau tidak berharap akan menjadi penari seumur hidup.

Tambahan pula, sejak di bangku sekolah lagi, beliau sememangnya bercita-cita hendak memiliki sebuah muzium walaupun setakat ‘sekengkang kera’ kerana di minda dan hati, beliau mesti boleh melakukannya dengan berbekalkan barangan antik dan khazanah warisan Melanau.

Akhirnya, berbekalkan visi, misi dan semangat yang kental, beliau telah berjaya mendirikan sebuah muzium yang dikenali sebagai Muzium Mini Sapan Puloh.

Barangan yang disimpan atau dipamerkan di muzium ini merupakan barang-barang hantaran pertunangan dari darjat Sembilan (9) Pikoul, Tujuh (7) Pikoul dan Tujuh (7) Pikoul Bertirih.

Barang-barang hantaran pertunangan dan perkhawinan dari darjat Sembilan (9) Pikoul, Tujuh (7) Pikoul dan Tujuh (7) Pikoul Bertirih

Terdapat juga bilik tidur pengantin khususnya kaum Melanau Kampung Tellian yang dipanggil “Gatak”; busana pengantin dan jenis-jenis busana kaum Melanau yang lain khususnya kaum Melanau Kampung Tellian; pameran upacara atau adat memipih dahi bayi perempuan yang disebut sebagai “Mejak”;

Pameran adat kematian; barangan-barangan seramik, tembaga (sistem batter) suatu ketika dulu, lebih-lebih lagi Melanau dikenali sebagai penanam rumbia, pembuat kapal, pelayar, pedagang dan nelayan; dan seterusnya ialah pameran perubatan (patung-patung perubatan atau “Dakan”).

Sememangnya, setiap barangan atau artifak yang terdapat di Muzium Mini Sapan Puluh ini berkaitan dengan kehidupan, adat resam kaum Melanau Kampung Tellian di mana beliau hanya tekankan kaum Melanau Kampung Tellian kerana bahasa dan adat resam dari kawasan lain adalah berbeza.

Pameran adat kematian kaum Melanau yang diamalkan suatu ketika dulu

Sehubungan itu, beliau menjelaskan matlamat penubuhan muzium mini ini adalah untuk memelihara khazanah dan warisan kaum Melanau sekali gus untuk memberi kesedaran kepada generasi muda Melanau akan sejarah dan leluhur moyang Melanau.

Bagi beliau, antara keistimewaan dan keunikan adat resam kaum Melanau adalah, darjat-darjat atau “rangking” tertentu yang sehingga kini masih diamalkan.

Pameran perubatan (patung-patung perubatan atau “Dakan”)
‘Jengayak nyat atau ayang’ untuk diletak di atas dada atau badan seseorang yang telah meninggal dunia bagi kaum Melanau suatu ketika dulu

Misalnya, amalan adat dan pantang larang yang sangat unik khususnya dari adat perkahwinan dan kematian.

Satu lagi keunikan etnik Melanau adalah dari segi penempatan mereka iaitu, mereka yang tinggal di kawasan pesisir pantai kebanyakan bekerja sebagai nelayan; mereka yang tinggal di kawasan kampung bekerja sebagai pekebun rumbia dan penebang rumbia; manakala mereka yang tinggal di kawasan bandar bekerja dengan sektor awam dan sektor swasta.

Bagi memelihara warisan budaya etnik Melanau ini, Encik Tommy Black komited untuk terus mempromosi Mini Muzium Melanau Sapan Puloh menerusi media sosial dan sebagainya. Beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak-pihak tertentu terutama pihak media yang sentiasa membantu mempromosikan Muzium Mini Sapan Puloh kepada orang ramai.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article