- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Ketengah Budaya dan Warisan Kaum Melanau Oya Dan Dalat

Must read

Galeri Warisan Melanau Oya telah dirasmikan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada 28 Mei 2022.

Galeri ini dibangunkan sebagai satu usaha untuk mengetengahkan budaya dan warisan kaum Melanau Oya dan Dalat kepada semua masyarakat dan pengunjung.

Selain itu, kewujudan galeri ini juga dapat membantu usaha kerajaan dalam mempromosikan Daerah Kecil Oya terutamanya dari segi pelancongan.

Pada masa yang sama, ia juga turut membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk meningkatkan ekonomi mereka.

Galeri ini telah menjadi mercu tanda baharu Daerah Kecil Oya sekali gus menjadi kebanggaan masyarakat Melanau Oya dan Dalat.

Galeri 2 mempamerkan kegiatan ekonomi masyarakat Melanau dan industri hiliran
Pameran tentang amalan atau adat penyembuhan yang diamalkan oleh kaum Melanau

Pembinaan galeri ini adalah hasil kerjasama daripada pelbagai pihak terutamanya LAKMO, Jabatan Muzium Sarawak, Pejabat Residen Mukah, Pejabat Daerah Dalat, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Jabatan Kerja Raya Sarawak; Jabatan Saliran dan Pengairan Sarawak (DID), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Sarawak Energy Berhad (SEB), Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum.

Dengan menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM3,721, 200.00, pembinaan galeri ini serta pengisiannya telah bermula pada tahun 2019.

Bangunan seluas 0.39 meter persegi itu mempunyai dua tingkat; tingkat bawah menempatkan Galeri 1 dan Galeri 2 manakala tingkat atas menempatkan beberapa buah pejabat yang terdiri daripada pejabat LAKMO, PERKIM, Bilik Persidangan Gunasama, Musalla, Bilik Persalinan dan Pantri.

Barangan tembaga (talem tembagak, kedau dedian, senduk tembagak, batel) yang biasa digunakan oleh etnik Melanau suatu ketika dulhuu
Artifak; Biteng Kayou disumbang oleh Haji Sleamat bin Haji Saibi; Suleng Tembagak dan Suleng Bei Iteng disumbang oleh Encik Haji Mohd Wahid bin Halpi

Bangunan galeri ini terletak di tempat yang amat strategik kerana berada berhampiran dengan tebingan Sungai Oya di mana Oya merupakan sebuah daerah kecil yang berada di bawah pentadbiran pejabat Daerah Dalat seperti yang terdapat pada peta daerah Dalat.

Galeri ini terdiri daripada dua bahagian utama di mana Galeri 1 memaparkan sejarah awal penempatan di Oya, sejarah sewaktu zaman kesultanan Brunei, Zaman Brooke, Kependudukan Jepun, pemerintahan Kolonial British dan zaman kemerdekaan dan juga artifak-artifak berkaitan budaya dan warisan masyarakat Melanau Dalat serta Oya.

Manakala, Galeri 2 pula mempamerkan ekonomi, industri hiliran, amalan kebudayaan, busana, perayaan, tempat-tempat menarik dan tokoh-tokoh tempatan masyarakat Melanau.

Galeri 2 ini juga turut mempamerkan artifak-artifak yang berkaitan dengan budaya dan warisan masyarakat Melanau Oya dan Dalat selain menyediakan pakaian tradisional untuk kegunaan para pengunjung mengambil gambar sebagai kenangan.

Artifak atau bahan pameran ini merupakan koleksi bahan budaya atau warisan yang telah disumbangkan oleh penduduk yang mendiami kawasan Oya dan Dalat.

Demikian menurut Penyelia Galeri, Cik Eva Gerard yang ditemu ramah RAKAN Sarawak pada 20 Mac 2023.

Penyelia Galeri Warisan Melanau Oya, Cik Eva Gerard

Cik Eva Gerard, 25, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kewangan di Universiti Malaysia Sarawak dan berasal dari Kampung Hilir Dalat memainkan peranan penting bagi memastikan pentadbiran dan pengoperasian galeri berjalan dengan lancar serta memastikan pelawat mendapat pengalaman yang baik sewaktu lawatan.

Selain itu, beliau juga memastikan setiap artifak yang terdapat di dalam Galeri Warisan Melanau sentiasa berada dalam keadaan yang tersusun rapi selain bertanggungjawab dalam tugas-tugas pendokumentasian.

Menurut beliau, Galeri Warisan Melanau banyak menyimpan artifak Melanau seperti, suleng, tumok, jaluk, maluku, bangau dan pedang yang amat berkait rapat dengan adat tradisi perkahwinan kaum Melanau.

Antara peralatan yang diperbuat daripada buluh dan rotan yang digunakan oleh kaum Melanau dan dan sekarang untuk menjalankan aktiviti harian

Pameran seperti teks panel dan artifak di dalam Galeri Warisan Melanau pula berkaitan dengan cara hidup, budaya dan tradisi orang Melanau contohnya, parang tebung yang digunakan dalam Industri Sago atau Rumbia.

Selain itu, terdapat juga pameran cara perubatan tradisional Melanau dan barangan artifak yang digunakan sewaktu adat tradisi perkahwinan kaum Melanau.

Jelas beliau, objektif penubuhan Galeri Warisan Melanau adalah untuk dijadikan sebagai galeri komuniti yang menempatkan warisan budaya, adat  tradisi dan sejarah kaum  Melanau yang melibatkan  komuniti sekitar Oya dan  Dalat.

Kegiatan ekonomi dan industri hiliran yang dipamerkan di galeri 2
Pameran tokoh-tokoh tempatan masyarakat Melanau

Bagi beliau, apa yang paling menarik mengenai galeri ini selain daripada pameran di dalamnya adalah, kedudukannya galeri ini di tempat yang strategik kerana ia dibina di tepi Batang Sungai Oya yang mempunyai pemandangan sungai yang cantik pada waktu pagi dan waktu petang.

Untuk memelihara barangan seperti tembaga, pihak galeri mempunyai alat penyahlembap yang digunakan untuk memastikan barangan tembaga tidak cepat berlumut.

Cara pameran di dalam galeri adalah mengikut standard dan pameran di Borneo Cultures Museum kerana pameran di galeri ini dikendalikan oleh pihak dari jabatan muzium Sarawak.

Sesungguhnya, beliau menyifatkan pemeliharaan adat resam dan budaya etnik Melanau ini sangat penting kerana kita tidak mahu warisan kaum Melanau lenyap di muka bumi dan ia juga adalah satu-satunya cara untuk membolehkan anak-anak muda mengenali warisan kaum Melanau.

Justeru, pewujudan Galeri Warisan Melanau, Oya ini adalah satu usaha yang sangat baik dalam mengetengahkan adat budaya kaum Melanau terutama kepada generasi muda kerana tidak semua mereka memahami atau belum tahu secara keseluruhan berkaitan adat budaya kaum Melanau.

Galeri Warisan Melanau Oya telah dirasmikan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article