- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Akses Mudah Kepada Perkhidmatan Digital Kerajaan Sarawak

Must read

Sarawak ID adalah satu sistem identiti dalam talian tunggal yang menyediakan pengguna akses yang lebih mudah dan selamat dalam mendapatkan perkhidmatan digital Kerajaan Sarawak.

Pengguna hanya perlu mendaftar masuk sekali sahaja untuk mencapai semua perkhidmatan dalam talian Kerajaan Sarawak, contohnya e-Recruitment untuk permohonan pekerjaan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, memohon Biasiswa Pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak (BPKNS), membuat permohonan kursus pra perkahwinan melalui portal eMunakahat Sarawak dan sebagainya.

Selepas mendaftar, pengguna mempunyai akses kepada pelbagai perkhidmatan dalam talian yang tersedia tanpa perlu mendaftar semula atau log masuk semula untuk perkhidmatan yang berbeza.

Sistem tersebut juga boleh digunakan oleh pengguna untuk membuat pelbagai transaksi seperti pembayaran melalui aplikasi S Pay Global (dahulu Sarawak Pay), portal PayBills Sarawak, portal Service Sarawak dan lain-lain lagi.

Sarawak ID membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkhidmatan digital Kerajaan Sarawak dengan hanya satu identiti tunggal

Rakyat Sarawak digalakkan untuk memiliki Sarawak ID masing-masing kerana mereka yang sudah mendaftar secara automatiknya akan didaftarkan sebagai pengguna S Pay Global manakala mereka yang sudah mendaftar di e-Recruitment Kerajaan Sarawak pula akan dikira sudah memiliki Sarawak ID.

Secara ringkasnya, Sarawak ID diperkenalkan bagi memudahkan akses dan transaksi perkhidmatan dalam talian yang telah disediakan oleh Kerajaan Sarawak dengan satu identiti (ID).

Setakat ini, Sarawak ID mencatatkan lebih 800,000 pengguna berdaftar dengan kira-kira 60 aplikasi dalam talian yang tersedia untuk para pengguna.

Pelaksanaan sistem ID tunggal seperti Sarawak ID sangat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak, iaitu Kerajaan Sarawak dan rakyat dalam aspek menyokong perkhidmatan digital yang lebih efisien, selamat dan dipercayai.

Maklumat yang menerangkan cara-cara untuk mendaftar Sarawak ID

Selain itu, pelaksanaan sistem digital seumpama ini juga dijangka akan menggalakkan lebih banyak inovasi dicipta dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan bagi tujuan peningkatan kualiti hidup rakyat.

Sarawak ID juga dilihat mampu memberi nilai tambah kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi digital yang merentasi pelbagai sektor perkhidmatan seperti perkhidmatan awam, kewangan, e-dagang, e-dompet, e-kesihatan dan sebagainya.

Lebih daripada itu, Sarawak ID boleh meningkatkan pengalaman pengguna berdasarkan pada proses yang diperincikan selain konsisten dengan capaian yang lebih mudah kepada perkhidmatan kerajaan dan perniagaan seperti pengguna S Pay Global, e-Recruitment, Service Sarawak, PayBills Sarawak dan sebagainya.

Pada dasarnya, sistem identiti digital telah pun dilaksanakan di negara-negara maju seperti United Kingdom, Estonia, Amerika Syarikat dan Kanada, malah juga telah dilaksanakan di India.

Di Estonia misalnya, identiti digital membolehkan pengguna membuka akaun secara dalam talian tanpa perlu hadir secara fizikal di bank untuk membuktikan identiti mereka.

Identiti digital yang dimiliki juga sangat bermanfaat untuk pengguna di negara tersebut mendapatkan konsultasi perubatan dengan doktor serta mendapatkan preskripsi ubat-ubatan dalam talian melalui akses kepada rekod kesihatan.

Antara urusan-urusan dalam talian lain yang juga boleh dilakukan oleh pengguna identiti digital di Estonia termasuklah membuat transaksi penyewaan hartanah, mengundi dalam talian, mengikuti e-pembelajaran dan pelbagai lagi urusan.

Berbalik kepada perspektif di Sarawak, Sarawak ID telah terbukti memberi banyak manfaat kepada kerajaan dan rakyat di negeri ini, misalnya dari segi meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, penjimatan kos, masa dan tenaga selain menggalakkan suasana kerja dan urusan tanpa kertas.

Di peringkat pengguna, pengesahan identiti menjadi lebih mudah kerana pengguna tidak perlu lagi mengingati pelbagai nama pengguna dan kata laluan yang berbeza sebagai pengesahan untuk mendapatkan akses sistem dalam talian kerajaan.

Paparan masuk Sarawak ID
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article