- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

‘Serao Melanau’ Perlu Dipelihara, Diwarisi dan Dipelajari

Must read

‘Serao Melanau’ atau dalam Bahasa Melayu Sarawak disebut ‘Terendak’ merupakan warisan masyarakat Melanau yang berpotensi besar untuk dikomersialkan kepada masyarakat dari seluruh negara.

Terendak masyarakat Melanau Mukah mempunyai corak anyaman yang sama pada asasnya dan bahan yang digunakan juga sama iaitu diperbuat daripada daun biruk, buluh dan rotan, cat, benang dan kadbod namun setiap daerah di Mukah mempunyai gaya pembuatan yang berbeza.

Kini, terendak Melanau lebih banyak dihasilkan dalam bentuk yang kecil untuk dijadikan sebagai cenderahati atau barang perhiasan.

Puan Julan bt Ajus, yang kini sudah menjangkau usia 65 tahun, merupakan salah seorang pengusaha terendak yang terkenal di Kampung Tanam, Daerah Oya dan beliau lebih banyak menghabiskan masa lapangnya dengan membuat terendak.

Puan Julan bt Ajus merupakan salah seorang pengusaha terendak dari Kampung Tanam, Oya

Semasa ditemu ramah RAKAN Sarawak, Puan Julan memberitahu, beliau telah mula berkecimpung dalam bidang seni anyaman terendak sejak berumur 18 tahun apabila mendapat dorongan, tunjuk ajar dan bimbingan daripada ibu beliau.

Beliau memilih untuk mengikuti jejak ibunya mengusahakan terendak Melanau kerana telah membesar dan dikelilingi saudara mara yang mahir dalam pembuatan terendak selain dijadikan sebagai punca pendapatan sampingan.

Suatu ketika dulu, beliau dapat menghasilkan lebih banyak terendak dalam tempoh masa yang singkat, namun pada usianya yang sekarang ini, beliau mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk menyiapkan satu terendak yang berkualiti.

‘Serao Melanau’ merupakan warisan yang menjadi ikonik masyarakat Melanau

Beliau juga turut berdepan dengan kesukaran untuk menjahit bahagian yang halus disebabkan daya penglihatan yang tidak lagi sebaik dahulu malah, beliau juga tidak dapat duduk menjahit untuk tempoh masa yang lama disebabkan faktor usia dan kesihatan.

Menurut beliau, pada masa kini, terendak Dalat yang dikenali dengan nama ‘Tapo Ateng’ mendapat permintaan yang paling tinggi dan harga untuk satu terendak boleh mencecah RM200 sehingga RM300.

Berkongsi tentang proses membuat terendak, jelas beliau, ianya terbahagi kepada dua (2) peringkat iaitu peringkat pertama adalah menyediakan semua bahan-bahan termasuk meraut, mengering dan mengecat buluh serta rotan, meluruskan daun dan sebagainya.

Peringkat kedua pula adalah proses menganyam dan menjahit bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan terendak seperti daun biruk, buluh dan rotan untuk membentuk sebuah terendak.

Dalam mengusahakan sesuatu perkara, ia bukanlah satu perkara yang mudah kerana hakikatnya, jika kita tidak mahu mencuba atau berani menempuh cabaran, belum pasti kejayaan akan dikecapi.

Menurut anak beliau, Encik Fidelis Michael, sebagai pengusaha terendak, mereka berdepan dengan pelbagai cabaran dan salah satunya ialah kekurangan bahan mentah dan ada kalanya, bekalan bahan mentah yang dibeli seperti rotan, buluh dan daun tidak menepati kualiti yang sepatutnya.

Encik Fidelis Michael adalah satu-satunya belia di Mukah yang komited meneruskan pembuatan terendak

Selain itu, mereka juga turut berdepan dengan cabaran untuk memenuhi permintaan yang melebihi pengeluaran.

Hal ini adalah kerana, beliau yang bekerja sebagai seorang chef pastri dengan sebuah syarikat carigali minyak di Aruba, Kepulauan Carribean hanya dapat membantu ibunya menghasilkan terendak ketika beliau pulang bercuti ke kampung halamannya.

Encik Fidelis adalah salah seorang pemuda yang dapat dijadikan inspirasi kerana beliau adalah satu-satunya belia di Mukah yang komited untuk meneruskan pembuatan terendak.

Bagi beliau, sebagai seorang pengusaha terendak, untuk mengekalkan kualiti terendak yang halus dan baik, mereka perlukan masa yang agak lama untuk menghasilkan terendak tersebut.

Encik Fidelis Michael berharap akan lebih banyak generasi-generasi baharu berminat mempelajari seni anyaman terendak

Sebagai tulang belakang ibunya, beliau memainkan peranan yang sangat penting dari segi mempromosikan terendak yang dihasilkan kepada orang ramai menerusi media sosial seperti Facebook (FB) dan Whatsapp.

Beliau akan memuat naik setiap perincian hasil kraf mereka di FB kerana dengan cara itu, orang ramai akan dapat menilai produk mereka dengan terperinci dari setiap gambar yang dimuat naik.

Selain membantu dari segi pemasaran, beliau juga turut membantu dari segi penyediaan bungkusan yang lebih kreatif dan menarik untuk memastikan pelanggan mereka akan sentiasa berpuas hati.

Setakat ini, beliau sangat bersyukur dengan maklum balas yang diterima daripada pelanggan kerana semasa mengambil tempahan, beliau akan bertanya secara terperinci tentang ciri-ciri, corak, warna dan saiz yang pelanggan mahukan.

Sebagai seorang pengusaha, pastinya kita sentiasa mencari sumber inspirasi sebagai perangsang untuk terus bermotivasi dan mengekalkan momentum yang ada sekarang.

Tidak dinafikan, ramai di kalangan usahawan atau para peniaga menjadikan usahawan berjaya dari luar negara sebagai idola seperti Bill Gates, Steve Jobs, dan Mark Zuckemberg.

Namun, bagi encik Fidelis, beliau menjadikan Puan Diana Rose (usahawan Lamin Dana dan Batik Linut) dan Encik Lawrence Dan (usahawan hasil kerja kayu) sebagai idola dalam bidang keusahawanan kerana mereka telah berjaya memartabatkan hasil kraf yang berkaitan dengan kaum Melanau.

Beliau mengakui dirinya banyak belajar dari mereka cara-cara hendak memikat hati pelanggan, berinteraksi dengan pelanggan dan paling penting adalah cara untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan terhadap produk yang dihasilkan.

Beliau amat menitikberatkan komunikasi dengan pelanggan sebab beliau percaya, dari adab dan sikap kita, ia akan dapat memberi gambaran terhadap apa yang kita usahakan.

Selain itu, kualiti juga adalah satu aspek yang paling penting untuk diberi perhatian, justeru ada masanya mereka akan menghadkan jumlah pemesanan sekiranya ia lebih dari kemampuan mereka kerana mahu menjaga kualiti terendak yang dihasilkan.

Puan Julan dan Encik Fidelis sangat berharap agar ada generasi-generasi baharu berminat untuk mempelajari setiap proses seni anyaman terendak ini supaya ikon etnik Melanau ini kekal ada dan dapat dijadikan tatapan untuk generasi akan datang.

Apa yang dapat diperhatikan ialah, ramai generasi sekarang kurang mengenali seni anyaman terendak Melanau ini dan buat masa sekarang, terendak Melanau hanya dihasilkan oleh golongan-golongan ‘veteran’ sahaja.

Sebagai contohnya, “The Tapow Ladies of Kampung Tanam” gelaran yang diberikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, YB YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah adalah bukti menunjukkan semua pembuat terendak berusia 60 tahun dan ke atas.

Oleh itu, mereka sangat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin belajar membuat terendak Melanau, boleh mencari mereka di Kampung Tanam di Daerah Oya, Mukah.

Setakat ini, beliau telah membantu Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Kampus Mukah mengajar para peserta kursus dalam pembuatan terendak.

Terendak hasil tangan Puan Julan dan Encik Fidelis turut dipamerkan di Galeri Muzium Melanau, Oya

Beliau akan terus komited untuk memberikan khidmat terbaik kepada CENTEXS agar para peserta kursus memperoleh ilmu menganyam terendak dengan bagus.

Pada masa akan datang, beliau berharap agar Kerajaan akan dapat mewujudkan premis untuk bengkel dan galeri serta mencari langkah terbaik untuk membantu pengusaha mendapatkan bahan-bahan mentah yang berkualiti agar warisan etnik Melanau ini akan terus dijulang sampai bila-bila masa.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article