- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kaedah Sejuk Beku Inisitiaf Sediakan Bekalan Dabai Berterusan

Must read

Kapit dan Song sememangnya terkenal dengan buah dabai dan kebanyakan buah dabai yang dijual di pasar Sibu berasal dari Kapit dan Song, bahkan sentiasa mendapat permintaan tinggi kerana kelunakan isi dan rasanya yang lebih sedap berbanding dengan dabai dari tempat lain.

Tidak dinafikan, buah dabai mempunyai potensi yang sangat besar untuk dijadikan tanaman ekonomi masa depan bagi Sarawak dan ia biasanya dijual dengan harga RM30 hingga RM60 sekilogram (kg).

Buah dabai selalunya dimakan segar memandangkan pembangunan produk berasaskan dabai masih belum diterokai sepenuhnya.

Sebagai buah bermusim, dabai hanya dapat dijual pada harga premium pada awal musim, namun semasa puncak musim berbuah, bekalan yang berlebihan akan menyebabkan penurunan harga pasaran yang drastik.

Buah dabai adalah antara spesies buah nadir bermusim yang telah diberi keutamaan untuk dibangunkan oleh kerajaan Sarawak

Malah, disebabkan dabai bukanlah buah-buahan jenis bermusim, jadi sudah tentu apabila sudah melepasi musim dabai, adalah sukar untuk kita mendapatkan buah dabai.

Oleh itu, teknik penambahan nilai amat diperlukan sebagai langkah penyelesaian penurunan nilai di samping meningkatkan penggunaan dabai.

Salah satu pendekatan yang telah diambil oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bahagian Kapit untuk memastikan bekalan dabai akan berterusan sepanjang tahun adalah menggunakan kaedah sejuk beku (frozen).

Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bahagian Kapit

Kaedah sejuk beku dapat menjadikan buah dabai dapat bertahan lebih lama, membolehkan ia dipasarkan dengan sumber bekalan berterusan sepanjang tahun walaupun di luar musim.

Produk tersebut juga berpotensi untuk dikomersialkan di pasaran tempatan kerana potensi yang cerah sebagai bahan utama dalam sektor pengeluaran makanan dan kosmetik.

Perkara ini dikongsikan oleh Pengurus Besar PPK Kapit, Encik Anthony Nyaweng ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak.

Pengurus Besar PPK Kapit, Encik Anthony Nyaweng menerangkan proses pembekuan buah dabai

Menurut beliau, secara dasarnya, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bahagian Kapit memberi keutamaan terhadap bidang perniagaan seperti jualan input ladang, keperluan barang pengguna, projek PPK bersama ahli dan pembangunan ahli dari aspek kemahiran dan latihan.

Berkenaan produk dabai beku pula, ia sebenarnya baru bermula pada tahun 2022 apabila terdapatnya permintaan dabai yang tinggi semasa bukan musim dabai.

Walau bagaimanapun, pengendalian dan pengurusan produk dabai beku belum lagi melibatkan ahli-ahli PPK Kapit kerana buat masa ini, PPK Kapit hanya mengguna pakai tenaga kerja yang sedia ada iaitu enam (6) orang kakitangan PPK termasuk beliau sendiri.

Sebagai langkah awal dalam mengusahakan produk dabai beku ini, pihak PPK Kapit telah memohon bimbingan dan khidmat nasihat terlebih dahulu daripada pihak Ibu Pejabat Jabatan Pertanian Sarawak, iaitu Bahagian Institusi Peladang, Bahagian Agromakanan dan Bahagian Penyelidikan.

Hal ini kerana, walaupun ia kelihatan mudah, namun banyak cabaran yang perlu didepani antaranya ialah dari segi mendapatkan bekalan buah dabai dari para pembekal.

Tidak semua pembekal buah dabai mahu menjual dabai mereka dengan harga yang rendah kepada PPK kerana ia bukanlah jenis buah yang sentiasa ada malah, untuk mendapatkan buah dari pokoknya juga sudah menjadi cabaran yang besar buat pembekal.

Sungguhpun begitu, masih ada di kalangan petani atau pembekal yang mahu menjual dabai mereka kepada PPK dengan harga yang tidak terlalu tinggi iaitu antara RM30 hingga RM40 sekilo.

Sebagai modal permulaan, PPK Kapit telah mengeluarkan modal sebanyak RM10,000 untuk pembelian buah dabai, manakala pembelian peralatan seperti mesin vakum plastik, peti sejuk beku dan sebagainya menggunakan geran kerajaan melalui Jabatan Pertanian.

Buah dabai yang sudah dibungkus disimpan di dalam peti sejuk beku (freezer)

Beliau memberitahu, setakat ini, PPK Kapit belum lagi mempunyai kepakaran sepenuhnya dalam bidang perniagaan, namun beliau percaya setiap ilmu terutamanya dalam bidang perniagaan boleh ditimba serta dipelajari sekiranya kita ada kemahuan untuk menguasai sesuatu perkara tersebut.

Faktor utama yang mendorong PPK Kapit cenderung untuk menghasilkan produk dabai beku selain berpotensinya untuk dikomersialkan ialah kerana PPK Kapit kini dalam usaha untuk mempelbagaikan pengeluaran produk berasaskan dabai, seperti keropok dabai.

Setakat ini, PPK Kapit hanya memasarkan produk dabai beku di sekitar Kapit sahaja kerana stok yang terhad, namun pada masa akan datang, PPK Kapit akan usahakan agar ia dapat dipasarkan di seluruh Sarawak dan seterusnya di luar Sarawak.

Dabai sejuk beku yang sudah siap untuk dipasarkan

Bagi menjamin kualiti produk, PPK Kapit akan sentiasa memastikan proses pengeluaran hingga kepada pengedaran berada dalam keadaan selamat, bersih dan mengikut standard serta piawaian yang ditetapkan.

Sehubungan itu, PPK Kapit berharap agar ahli-ahli PPK dapat bersama-sama menyokong usaha ini kerana, pendapatan yang diperoleh oleh PPK akan memberi pulangan atau keuntungan kepada ahli-ahli dalam bentuk dividen.

Kedai input ladang berada di bangunan pejabat PPK Kapit untuk memudahkan ahli PPK membeli input ladang

Dalam perkembangan yang baharu, beliau memaklumkan bahawa PPK Kapit sekarang dalam proses mewujudkan tempat khas untuk memproses dabai beku di mana ia dijangka siap dalam tahun ini (2023).

Setelah siap premis itu nanti, maka PPK Kapit akan mempunyai tempat yang lebih baik dan mempunyai kapasiti yang besar untuk memproses dabai beku selain adanya tempat untuk menyimpan peralatan seperti peti sejuk beku (freezer) dan lain-lain.

Dengan mengusahakan produk dabai beku, PPK Kapit dapat memanfaatkan buah dabai daripada terbazir begitu sahaja kerana ia dapat menyimpan buah dabai dalam tempoh masa yang lama dan memenuhi keperluan orang ramai terutamanya buah yang sukar diperolehi (buah bermusim).

Selain itu, PPK Kapit juga dapat mempelajari cara-cara pemprosesan produk berasaskan dabai dan seterusnya membantu dalam menambah pendapatan PPK Kapit.

Kini, terdapat usaha mengkomersialkannya produk yang berasaskan dabai seperti sabun dabai, mayonis dabai, pes dabai, kek lapis dabai dan banyak lagi penemuan dan kejayaan demi kejayaan menggalakkan pembangunan produk ini hasil daripada penyelidikan yang dijalankan.

Antara pengembangan produk yang dihasilkan daripada buah dabai
Infografik menunjukkan proses penyediaan dabai sejuk beku

PPK Bahagian Kapit telah ditubuhkan pada 24 Mac 1987, di bawah Peraturan 7 (Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983) di bawah Akta Pertubuhan Peladang 1973 dan setakat 31 Disember 2022, PPK Bahagian Kapit mempunyai jumlah ahli peladang sebanyak 8,181 orang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article