- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Roti Canai Goreng Hidangan Istimewa Hanya di Kapit

Must read

Roti canai goreng merupakan makanan yang unik dan memang popular dalam kalangan penduduk di Bahagian Kapit.

Makanan ringan tersebut yang lazimnya dinikmati ketika waktu sarapan hanya terdapat di Kapit dan telah menjadi hidangan istimewa atau ‘signature dish’ di bahagian tersebut.

Oleh yang demikian, kunjungan ke bandar Kapit terasa seperti tidak lengkap jika pengunjung tidak merasai roti canai goreng.

Puan Nurbaizura binti Abdullah merupakan salah seorang daripada pengusaha roti canai goreng generasi keempat yang mewarisi perniagaan keluarga daripada nenek beliau yang kini telah meninggal dunia.

Puan Nurbaizura binti Abdullah

Beliau memulakan aktiviti perniagaan harian seawal pukul 4 pagi untuk menyediakan bahan jualan dan bertolak selepas subuh ke Gelanggang Kenyalang, iaitu pusat makanan dan peniaga-peniaga kecil yang terletak di bandar Kapit.

Di situlah satu-satunya gerai di mana beliau menjual roti canai goreng sambil dibantu oleh dua orang anak beliau dan seorang pembantu.

Menurut Puan Nurbaizura, perniagaan roti canai goreng yang beliau usahakan turut mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian Sarawak.

Bantuan yang diterima adalah dalam bentuk peralatan seperti mesin pengadun tepung dan peti sejuk.

Beliau amat bersyukur kerana bantuan yang diterima sedikit sebanyak membantu beliau dan keluarga mengembangkan perniagaan apabila mereka mampu menghasilkan roti canai goreng dalam kuantiti yang lebih banyak jika dibandingkan dengan dahulu sebelum beliau mendapat bantuan berkenaan.

Roti canai goreng unik kerana hanya terdapat di Kapit
Roti canai goreng enak dinikmati bersama kari ayam dan sambal

“Dahulu, saya dan arwah nenek mengadun tepung menggunakan tangan dan hanya mampu mengadun sebanyak 5 hingga 6 kilogram tepung sehari untuk menghasilkan bahan utama roti canai.

“Sekarang, melalui bantuan peralatan yang diterima daripada Jabatan Pertanian Sarawak, kami mampu mengadun 30 kilogram tepung sehari dan dapat menghasilkan roti canai goreng dalam jumlah yang lebih banyak,” jelas beliau.

Selain daripada bantuan peralatan, pihak Jabatan Pertanian Sarawak juga membantu beliau dari segi promosi dan pasaran.

Beliau pernah dijemput untuk mempromosi roti canai goreng beliau di Kuching ketika berlangsungnya acara Sarawak AgroFest pada 2018.

Jelas Puan Nurbaizura, keunikan roti canai goreng adalah berdasarkan pada teksturnya yang rangup, tidak berminyak dan memerlukan bahan adunan yang tepat, terutama dari segi jenis tepung yang digunakan.

Roti canai yang digoreng di dalam kuali berisi minyak panas menghasilkan tekstur yang rangup

Setakat ini, beliau hanya menggunakan satu jenama tepung untuk menghasilkan bahan utama roti canai kerana melalui pengalaman beliau, tidak semua tepung yang ada di pasaran sesuai diadun dan digoreng bagi menghasilkan roti canai goreng.

Untuk menghasilkan roti canai goreng yang rangup, adunan tepung perlu digoreng di dalam kuali berisi minyak yang panas, jelas Puan Nurbaizura.

Selama berniaga, gerai beliau menawarkan dua (2) jenis roti canai goreng, iaitu roti canai goreng kosong dan roti canai goreng telur yang dihidangkan sekali dengan kari ayam serta sambal pedas masam-masam manis.

Beliau berhasrat untuk mempelbagaikan lagi campuran ke dalam adunan tepung untuk menghasilkan roti canai goreng pelbagai perisa.

Walau bagaimanapun, setelah beberapa kali mencuba, Puan Nurbaizura masih tidak berjaya menghasilkan roti canai goreng berperisa lain selain daripada digoreng kosong dan digoreng dengan telur.

Jelas beliau, sukar untuk menghasilkan roti canai goreng dengan campuran bahan lain misalnya keju dan mentega kacang kerana kaedah menggoreng roti tersebut berbeza dengan roti canai biasa yang dibakar di atas kuali rata dan leper berbanding dengan roti canai goreng yang perlu dimasak di dalam kuali (deep fry).

Suasana pagi pada hujung minggu di Gelanggang Kenyalang Kapit yang dipenuhi pengunjung

Dari segi sambutan, gerai beliau sentiasa dipenuhi pelanggan, terutama ketika hujung minggu. Ada dari kalangan pelanggan luar yang sudah mengenali beliau membuat tempahan lebih awal sebelum berkunjung ke gerai beliau, tambahan pula Bahagian Kapit kini sudah boleh dihubungi melalui jalan raya berbanding dahulu kerana hanya dapat dihubungi dengan pengangkutan sungai.

Roti canai goreng juga telah mendapat sambutan daripada pengunjung dari luar oleh kerana keunikan dan keenakan rasanya yang rangup dan hanya boleh didapati di Kapit.

Tidak hairanlah gerai beliau sentiasa dipenuhi pelanggan sehingga ada yang terpaksa menunggu tempat duduk untuk merasai roti canai goreng beliau.

Berdasarkan sambutan pelanggan yang begitu menggalakkan, Puan Nurbaizura serta anak-anak dan pembantunya mampu menghabiskan hasil jualan dalam tempoh yang singkat.

Biarpun terpaksa memulakan aktiviti harian seawal sebelum subuh, operasi perniagaan yang dijalankan setiap hari biasanya berakhir pada awal tengahari.

“Biasanya apabila hasil jualan laris, kami sudah boleh balik ke rumah pada awal tengahari seterusnya dapat menyediakan bahan jualan untuk keesokan hari,” ujar Puan Nurbaizura.

Dalam menjalani kehidupan sebagai pengusaha dan peniaga kecil, Puan Nurbaizura mengakui terdapat cabaran yang beliau telah lalui, terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila pandemik COVID-19 melanda dalam tempoh tiga (3) tahun lepas.

Ketika itu, beliau hanya menjalankan perniagaan dari rumah dan bergantung pada permintaan daripada pelanggan selain berdepan cabaran untuk merentas daerah bagi membeli bahan keperluan perniagaan dan penghantaran produk jualan disebabkan oleh PKP.

Puan Nurbaizura juga bersyukur kerana wujudnya jalan raya yang kini dapat menghubungkan Kapit ke bandar-bandar lain telah membolehkan beliau mendapatkan bahan mentah dan keperluan perniagaan yang lebih murah, terutama di Sibu.

“Saya bersyukur kerana adanya jalan raya, mudah untuk saya mendapatkan keperluan bahan perniagaan yang lebih murah di Sibu berbanding di Kapit yang disebabkan oleh kos pengangkutan yang tinggi ke sini,” ujar beliau.

Menerusi perniagaan yang dijalankan dan diwarisi dari keluarga, kehidupan beliau sekeluarga lebih selesa dan beliau amat bersyukur dengan apa yang beliau miliki kini walaupun hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Namun begitu, Puan Nurbaizura dan anak-anak beliau mempunyai impian dan cita-cita untuk membuka cawangan di luar Kapit seterusnya mengembangkan lagi perniagaan roti canai goreng yang diusahakan sejak lebih empat (4) dekad yang lalu.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article