- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

150 Tahun Sri Aman

Must read

Sri Aman menyimpan sejarah penting kepada Sarawak apabila Deklarasi Sri Aman, iaitu satu perjanjian keamanan di antara Kerajaan Sarawak dengan Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) telah ditandatangani pada 21 Oktober 1973.

Bertitik tolak dari situ, Bandar Sri Aman mendapat nama kerana sebelum berlakunya deklarasi tersebut, Bandar Sri Aman dikenali sebagai Bandar Simanggang sejak tahun 1873.

Bangunan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman

Namun begitu, pada Oktober 2019, nama Bandar Sri Aman secara rasminya ditukar semula ke Bandar Simanggang manakala nama Bahagian pula dikekalkan sebagai Sri Aman.

Pertanian merupakan aktiviti ekonomi utama penduduk Sri Aman sejak dari dulu lagi. Masyarakat tempatan mengusahakan pengeluaran getah, lada, kelapa sawit dan penanaman padi.

Sistem pengairan dan saliran yang baik telah memberi kesan langsung kepada pelaksanaan pelbagai projek pertanian komersial berimpak tinggi di Si Aman dengan tumpuan diberikan kepada penanaman kelapa sawit secara komersial.

Selain itu, usaha pemodenan sektor penternakan turut dipertingkatkan melalui inisiatif kerjasama awam-swasta dengan menswastakan Stesen Ternakan Temudok yang bertujuan untuk mengeluarkan ternakan baka kambing ruminan yang berkualiti dan bebas penyakit.

Inisiatif lain termasuklah projek ternakan udang galah dan ikan dalam sangkar seperti ikan tilapia merah, jelawat, ikan tengadak dan ikan patin.

Usaha dalam pembangunan sektor pertanian dan penternakan telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat setempat sejak beberapa dekad yang lalu.

Sepanjang 150 tahun kewujudan Bahagian Sri Aman, penubuhan Sri Aman Development Agency (SADA) pada tahun 2020 bakal memberi sinar baharu dalam pembangunan bahagian tersebut secara keseluruhan.

SADA ditubuhkan sebagai satu inisiatif untuk mencapai matlamat kesejahteraan rakyat dan kelestarian ekonomi di Sri Aman melalui SADA Development Plan 2021-2030.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Mohamad Porkan bin Abang Budiman yang ditemu bual RAKAN Sarawak menjelaskan, pelan pembangunan tersebut menekankan beberapa fokus strategik yang turut memberi keutamaan kepada industri pertanian dan pelancongan.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Mohamad Porkan bin Abang Budiman

Kawasan di Gunung Lesong dan Batang Ai telah dikenal pasti sebagai hab eko pelancongan dan taman hidupan liar yang berteraskan komuniti yang bakal memberi peluang kepada penduduk meningkatkan taraf sosioekonomi selain melindungi sumber alam semula jadi dan budaya di kawasan yang terlibat.

Menurut beliau, tumpuan turut diberikan kepada projek pertanian komersial dan ekosistem pertanian dengan menambah baik dan mengekalkan infrastruktur pertanian (ekosistem) sedia ada selain mewujudkan hab pengeluaran makanan.

Projek ekosistem pertanian dijalankan bertujuan memberikan perlindungan kepada penduduk, harta benda, infrastruktur dan kawasan pertanian di sekitar Bahagian Sri Aman daripada bencana seperti banjir dan hakisan tebing sungai, terutama di kawasan Bakong, Seduku dan Ensurai.

Dari segi pembangunan infrastruktur, matlamatnya adalah bagi menyediakan akses dan kemudahan jalan raya yang lebih selamat dan selesa meliputi kawasan penempatan dan kawasan komersial.

Antara kerja-kerja fizikal yang akan dijalankan termasuklah membina struktur kawalan hakisan tebing sungai dan mengurangkan risiko banjir di kawasan-kawasan rendah.

Selain itu, penubuhan kampus Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak atau Sarawak Skills Cawangan Sri Aman turut dicadangkan di bawah pelan pembangunan SADA.

“Sudah tiba masanya Sri Aman memiliki sebuah kemudahan pendidikan tertiari dan latihan dalam usaha melahirkan pekerja mahir dan meningkatkan kemahiran individu,” tambah Abang Mohamad Porkan.

Projek-projek yang telah dikenal pasti dan dicadangkan di bawah SADA merupakan projek yang dilihat mampu memberikan impak yang besar terhadap sosioekonomi masyarakat di Sri Aman.

Secara keseluruhan, sejumlah RM1.2 bilion disalurkan untuk SADA melaksanakan beberapa projek pembangunan dan menurut beliau, projek pertama akan bermula pada suku kedua tahun ini.

Pelan Pembangunan SADA turut memberi tumpuan kepada perlindungan ekosistem pertanian

Setakat Januari 2023, Jawatankuasa Pemandu SADA telah meluluskan 53 buah projek yang merangkumi sektor infrastruktur, pertanian, ekonomi dan sosial.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak 40 projek dilaksanakan di Sri Aman, iaitu 32 daripada jumlah tersebut adalah projek peruntukan Kerajaan Sarawak manakala lapan (8) daripadanya pula adalah projek peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Daripada jumlah keseluruhan itu juga, 36 projek merupakan projek fizikal dan selebihnya adalah projek bukan fizikal.

Selain itu, Bahagian Sri Aman juga menerima sebanyak 18 projek di bawah peruntukan Projek Rakyat (Peruntukan Alternatif) dan sebanyak 67% daripada projek tersebut telah siap sepenuhnya.

Projek pembinaan hospital baharu Sri Aman yang dinamakan Hospital Sri Aman II merupakan antara projek RMK-12 yang berimpak tinggi di bahagian berkenaan.

Pembinaan Hospital Sri Aman II merupakan antara projek berimpak besar di Bahagian Sri Aman

Hospital tersebut yang mula beroperasi pada 15 September 2022 dilengkapi dengan 108 unit katil dan menawarkan tujuh (7) perkhidmatan kepakaran, iaitu perubatan am, pediatrik, pembedahan am, perbidanan dan sakit puan, ortopedik, radiologi serta anestesiologi.

“Pengoperasian Hospital Sri Aman II akan memberi peluang kepada penduduk untuk menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik dan menyeluruh,” ujar Abang Mohamad Porkan.

Beliau turut memaklumkan perkembangan pelaksanaan projek sekolah daif di bawah peruntukan RM1 bilion Fasa Pertama.

Jelas beliau, pembinaan bangunan baharu SK Melugu, Sri Aman telah siap sepenuhnya pada 25 September 2022 dan projek pembinaan 20 asrama dan lapan (8) unit rumah guru baharu termasuk kemudahan-kemudahan lain di SK Pulau Seduku, Sri Aman telah siap pada 28 Mac 2022.

Bangunan baharu SK Melugu, Sri Aman

Mengulas mengenai pelaksanaan projek sekolah daif di Sri Aman, Abang Mohamad Porkan berpendapat, penyediaan pusat pembelajaran yang kondusif memainkan peranan yang signifikan kepada pelajar dan guru, terutamanya dalam usaha meningkatkan fokus dan mengekalkan minat pelajar dalam bidang akademik.

Selain itu juga, pembangunan semula sekolah juga dapat memastikan kemudahan dan fasiliti sekolah sentiasa berada dalam keadaan selamat dan selesa.

Perkembangan projek pembangunan utiliti juga tidak kurang impaknya terhadap kesejahteraan hidup masyarakat di Sri Aman.

Pada Disember 2021, kerja-kerja naik taraf Loji Rawatan Air Bayai oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Sri Aman telah siap dilaksanakan sepenuhnya.

Loji Rawatan Air Bayau yang telah dinaik taraf mampu meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 33.3 juta liter sehari kepada 53.3 juta liter sehari

Impak daripada projek tersebut, kapasiti bekalan air dari Loji Rawatan Air Bayai telah meningkat daripada 33.3 juta liter sehari kepada 53.3 juta liter sehari.

Peningkatan tersebut jelas memberi impak yang signifikan kepada penambahbaikan serta konsistensi bekalan air ke seluruh Bandar Simanggang dan kawasan sekitar.

Suasana petang di sekitar Tebingan Sungai Sri Aman yang merupakan tapak Pesta benak dan lokasi tumpuan pengunjung
Replika buaya menjadi mercu tanda baharu Tebingan Sungai Sri Aman

Satu lagi projek kendalian JBALB Bahagian Sri Aman, iaitu di kawasan Batu Lintang telah memberi manfaat kepada lebih kurang 3,600 orang penduduk di kawasan berkenaan.

Sri Aman amat terkenal dengan Pesta Benak yang merupakan pesta tahunan sempena fenomena benak di Sungai Batang Lupar.

Sehubungan dengan itu, Tebingan Sungai Sri Aman yang merupakan tapak utama Pesta Benak dan tarikan pengunjung telah dinaik taraf dan siap sepenuhnya pada 2022 sebagai usaha mnambah baik prasarana pelancongan di bahagian tersebut.

Turut dinaik taraf ialah Tebingan Singai Lingga yang menjadi tumpuan dan lokasi kegemaran penduduk sekitar untuk mengadakan aktiviti riadah.

Pemandangan dari udara Tebingan Sungai Lingga yang telah dinaik taraf

Melangkah ke hadapan, besar harapan masyarakat tempatan untuk melihat Sri Aman terus maju dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan agar setanding dengan bahagian-bahagian lain selari dengan aspirasi Sarawak maju menjelang 2030.

Oleh yang demikian, Abang Mohamad Porkan selaku Residen berharap supaya pembangunan yang direncanakan untuk Bahagian Sri Aman demi meningkatkan sosioekonomi penduduk dan ekonomi bahagian tersebut secara keseluruhan harus diambil peluang oleh masyarakat setempat.

Kelihatan seorang peniaga menjual hasil pertanian di Pasar Tamu Sri Aman

“Saya juga ingin melihat penduduk Sri Aman supaya lebih berdaya saing dalam ekonomi seperti dalam bidang perniagaan dan keusahawanan dengan memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan,” tambah beliau.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article