- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Warisan Menenun Pua Kumbu

Must read

Pua Kumbu sememangnya tenunan yang indah, namun mempunyai tradisi dan pantang larangnya tersendiri dari tenunan sehingga cara pemakaiannya atau untuk ritual penyembuhan penyakit.

Menenun pua Kumbu, Puan Suzy Imbah anak Marudin berasal daripada Tawau, Ulu Baleh Kapit, mula belajar menenun sejak beliau berumur 12 tahun daripada nenek beliau.

Menenun pua kumbu mempunyai tata tertibnya tersendiri, menurut beliau, sebelum memulakan tenunan corak utama seperti buah rang jugah, buah merinjang, buah keleku dan buah baya berangal, mereka perlu mengadakan sesi ‘berpiring’.

Tujuan ‘berpiring’ ini adalah sebuah ritual bagi memastikan proses tenunan corak utama itu berjalan dengan lancar.

Selain itu, menurut nenek beliau, pada zaman dahulu orang muda dilarang untuk menenun pua kumbu untuk mengelak daripada musibah.

Antara pua kumbu yang dihasilkan oleh Puan Suzy Imbah sepanjang beliau dalam industri tenunan pua kumbu ini adalah baju, sirat (untuk ngepan), alas meja dan sebagainya.

Mengasah Kemahiran Menenun

Menjadikan menenun pua kumbu sebagai karier yang utama, Puan Suzy diminta untuk menyertai bengkel oleh Kraf tangan Sarawak di mana beliau belajar bagaimana untuk inovasikan produk di mana pua kumbu boleh dijadikan beg, kotak tisu dan kotak pensel.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mampu meneruskan secara serius kerana tidak mempunyai mesin jahit yang khas dan sesuai untuk membuat beg sandang wanita.

Puan Suzy Imbah anak Marudin berasal daripada Tawau, Ulu Baleh Kapit, menenun pua kumbu sejak beliau berusia 12 tahun

Tenunan pua Kkumbu ini dijual mengikut rumit mutu kerja untuk menghasilkan produk tersebut.

Contohnya, pua kumbu (4×8 kaki) boleh mencecah lebih daripada RM3,000.00 di mana ia mengambil masa dua hingga tiga (3) bulan untuk menyiapkan pua kumbu tersebut.

Malah, warna bahan digunakan juga adalah rumit kerana warna yang terdapat di tenunan pua kumbu adalah warna asli yang di ambil daripada tumbuh-tumbuhan bukan daripada warna tiruan yang menjadikan pua kumbu ini sangat berharga.

Bahan pewarna yang digunakan pada pua kumbu adalah daun mengkudu (merah), kini beliau menggunakan engkerabai untuk warna merah, tarum/rengat (hitam), kulit mangga (kuning).

Menurut Puan Suzy lagi, untuk pewarna merah, secara tradisionalnya adalah daun sebangki di mana suatu ketika dahulu mudah untuk dicari disebabkan oleh banyaknya kayu balak sebelum ini namun tidak lagi pada hari ini.

Permulaan Penjualan Pua Kumbu

Sebanyak lapan (8) helai pua kumbu adalah jualan pertama Puan Suzy Imbah yang dibeli oleh Pejabat Tanah dan Survei Kapit.

Tambah Puan Suzy, pada ketika itu beliau hanya mencuba sahaja menjual kepada pegawai yang beliau temui di pejabat dan bertanya sekiranya mereka berminat hendak membeli pua kumbu yang dijual pada harga RM15 ketika itu.

Jualan pertama ini menjadi pembuka peluang seterusnya kepada beliau apabila pihak Pejabat Tanah dan Survei Kapit telah mengesyorkan kepada pihak Majlis Kraf Sarawak tentang hasil kerja beliau.

Majlis Kraf Sarawak setelah melihat hasil tangan beliau meminta Puan Suzy untuk menghasilkan pua kumbu dengan lebih banyak untuk dijual di Kuching.

Di sini karya beliau berkembang, bila mana beliau meminta bantuan di rumah panjang untuk menghasilkan pua kumbu dalam kuantiti yang lebih banyak.

Dari detik itu Puan Suzy juga mula mengambil serius tentang tenunan pua kumbu ini sehingga dia kemudiannya dipertemukan dengan Kraftangan Sarawak, Sarakraft dan Jabatan Pertanian ekoran hasil tenunan beliau.

Selain menenun, beliau juga membuat manik di mana beliau mendapat tempahan daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk menghasilkan produk lanyard daripada manik mengikut warna tema mereka.

Landyard Sarawak Energy Berhad (SEB) yang dihasilkan daripada manik oleh Puan Suzy Imbah

Dari hasil usaha perniagaan Puan Suzy, pada tahun 2008, beliau telah dihadiahkan sebuah bangunan oleh pihak Jabatan Pertanian di Jalan Sibau, Kapit khas untuk beliau menenun pua kumbu.

Produk pua kumbu beliau bukan sahaja berada di pasaran tempatan, malah beliau berjaya menjual pua kumbu beliau di pameran antarabangsa di Taiwan dan Singapura ketika beliau berumur 30-an.

Pua kumbu beliau mendapat komen yang memberangsangkan.

Penjualan pua kumbu ini mampu membantu kos sara hidupnya walaupun pendapatan hanya bergantung kepada hasil jualan yang tidak tetap.

Tambah Puan Suzy Imbah, dengan menjual tenunan pua kumbu ini, beliau mampu mencapai pendapatan lebih daripada RM10,000.00 terutama sekali pada musim gawai.

Walaupun jualannya sangat memberangsangkan, mesin penenunannya masih lagi menggunakan stesen anyaman yang diwarisi daripada neneknya sehingga kini.

Kini, pua kumbu bukanlah sekadar lipatan kain yang memiliki corak tradisi, malah apa yang membuat pua kumbu beliau unik adalah beliau telah menjadikan pua kumbu tersebut kepada beberapa produk seperti beg duit, kotak pensel dan macam-macam lagi.

Hasil produk beliau berasaskan pua pumbu sebagai dompet

Bagaimana beliau masih mampu menjualkan pua kumbu walaupun persaingannya agak hebat adalah cara Puan Suzy mempromosikan produk di mana beliau menggunakan teknologi digital secara efisien.

Beliau menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan sebagainya untuk mempromosikan jualan bahkan mendapat pesanan daripada luar negara.

Dalam beliau mencari rezeki, Puan Suzy juga berkongsi rezeki kepada ahli keluarganya juga sekiranya mendapat tempahan yang banyak, beliau akan memberikan tempahan tersebut kepada ahli keluarganya yang tahu menenun pua kumbu.

Legasi Pua Kumbu Puan Suzy

Puan Suzy mempunyai lima (5) anak dan (4) cucu, beliau telah mengajar tiga (3) anak perempuannya cara menenun pua kumbu mengikut adat dan tradisi masyarakat Iban.

Tambah beliau, sebab beliau amat menitik beratkan tenunan pua kumbu ini kepada anak-anaknya agar tradisi menenun pua kumbu ini tidak pupus walaupun zaman sudah berubah.

Selain itu juga menenun pua kumbu ini bukanlah suatu yang popular dalam kalangan orang muda masa kini kerana tiada siapa yang mampu bertahan untuk duduk pada jangka masa yang lama untuk menyiapkannya.

Untuk menghasilkan pua kumbu ini memerlukan kesabaran yang tinggi dan perlu duduk dalam tempoh jangka masa yang lama untuk menghasilkan pua kumbu yang berkualiti.

Harapan Puan Suzy pada masa akan datang adalah untuk belajar lebih lagi untuk memperkembangkan perniagaannya dan mempelajari teknik yang sempurna untuk menghasilkan produk kasut daripada pua kumbu.

Puan Suzy Imbah bersama produk-produk yang dihasilkan oleh beliau antaranya pua kumbu, selampai, pouch, dan beg duit
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article