- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Memanfaatkan Kekayaan Biodiversiti

Must read

Kelestarian Alam Sekitar diletakkan sebagai salah satu daripada tiga (3) tonggak utama Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 selain Kemakmuran Ekonomi dan Keterangkuman Sosial bagi mencapai aspirasi Sarawak maju menjelang 2030.

Di bawah PCDS 2030, matlamat kelestarian alam sekitar adalah bagi memastikan persekitaran yang bersih dan sihat untuk masa kini dan masa depan generasi melalui perkhidmatan pengurusan air dan sanitasi yang selamat termasuk pengurusan hutan yang lestari.

Untuk mencapai matlamat tersebut, inovasi dan teknologi baharu diterapkan yang juga merupakan satu usaha Sarawak menyokong komitmen negara mengurangkan intensiti KDNK pelepasan gas rumah hijau (GHG) pada tahap 45% menjelang 2030.

Sarawak dikenali sebagai salah satu kawasan di dunia yang paling kaya dengan pelbagai spesies sumber dan hidupan alam semula jadi.

Kawasan hutan hujan, tanah gambut serta kawasan pantai dan laut yang luas turut menyediakan kekayaan sumber biologi yang pelbagai.

Kekayaan biodiversiti di Sarawak perlu dimanfaatkan melalui teknologi dan inovasi dengan memberi tumpuan terhadap kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang

Lebih daripada itu, hutan hujan tropika dan iklim negeri mewujudkan persekitaran yang ideal untuk pelbagai jenis spesies berkembang.

Kekayaan biodiversiti Sarawak merangkumi 15,000 tumbuhan, 6,000 spesies tumbuhan unik kepada paya Pulau Borneo, hutan bakau, tanah pamah dan hutan pergunungan, 1,400 amfibia, burung, ikan, mamalia, reptilia dan serangga serta 1,000 kepelbagaian serangga pada satu dipterokarpa pokok.

Dari segi sumber asli, Sarawak memiliki rizab gas berjumlah 50 trilion kaki padu standard (tscf), 0.8 bilion jumlah rizab minyak yang diketahui, 1,104mm hingga 3,317mm hujan yang dicatatkan pada tahun 2019 dan 7.75 juta hektar tanah hutan (2018).

Selain itu, Sarawak juga memiliki 1.6 juta hektar ladang kelapa sawit, iaitu 27% daripada pengeluaran Malaysia dan empat (4) juta tan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM), iaitu 21% daripada pengeluaran Malaysia.

Sarawak turut memiliki 3,453 MW kapasiti kuasa hidro besar yang terpasang dengan 65% daripada kawasan keseluruhan dijana oleh tenaga bersih manakala 4.4 Waktu Puncak Matahari pula mampu memanfaatkan sumber yang banyak selain tenaga dan tanah yang belum digunakan untuk diterokai dan bakal mencipta peluang.

Kekayaan yang dimiliki negeri ini perlu diletakkan sebagai kepentingan untuk Kerajaan Sarawak memberi tumpuan terhadap pemuliharaan biodiversiti hutan hujan dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim, seterusnya mengurangkan risiko kemerosotan mahupun kehilangan biodiversiti.

Oleh yang demikian, PCDS 2030 menggariskan beberapa peluang dalam memulihara kekayaan biodiversiti Sarawak termasuklah dengan menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui bioprospek hutan hujan Sarawak yang menyediakan spesies unik yang berpotensi untuk digunakan dalam penjagaan kesihatan, pertanian dan industri.

Aktiviti R&D melalui bioprospek berpotensi untuk menemui penerapan baharu yang mempunyai komersialisasi dan faedah sosial seperti perlindungan terhadap penyakit baru muncul yang akan datang.

Antara lain, inovasi dalam pemuliharaan biodiversiti dan penerapan bioteknologi dalam pemuliharaan biodiversiti juga akan diterokai bagi membantu pengumpulan dan penguatkuasaan data seperti pemetaan udara menggunakan teknologi dron termasuklah mengaplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam analisis geospatial.

Penerapan inovasi dalam bioteknologi merupakan bidang yang sedang membangun yang mana Sarawak boleh melabur dalam keupayaan baharu untuk memenuhi keperluan negeri dan mungkin juga untuk memenuhi keperluan negara-negara lain.

Ketika berucap merasmikan Kongres Pemuliharaan Malaysia Pertama pada Mac 2022, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menekankan perlunya Sarawak mengambil perhatian terhadap kemerosotan pelbagai spesies dan ekosistem yang berlaku meskipun negeri ini masih mempunyai kawasan hutan yang luas berbanding dengan tempat-tempat lain di dunia.

Memetik Laporan Penilaian Global 2019 mengenai Biodiversiti dan Perkhidmatan Ekosistem, beliau memaklumkan bahawa kepelbagaian spesies dan ekosistem di dunia kini mengalami kemerosotan yang membimbangkan, selain 25% flora dan fauna sedang menghadapi kepupusan.

Laporan berkenaan tegas beliau adalah satu peringatan untuk penghuni dunia agar memastikan alam sekitar dijaga untuk generasi semasa dan akan datang.

Beliau turut memaklumkan, sumber semula jadi dan kawasan hutan Sarawak merupakan salah satu penyerap karbon utama dan kawasan panas biodiversiti di Malaysia.

Oleh itu, bagi menyokong komitmen negara mengekalkan sekurang-kurangnya 50% kawasan dilindungi hutan, pengurusan hutan yang bertanggungjawab amat penting dan Sarawak komited dalam memulihara enam (6) juta hektar tanah sebagai hutan kekal dan sejuta hektar sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA), tegas Premier Sarawak.

Sarawak juga komited dalam memastikan kelestarian alam sekitar yang menjadi sebahagian daripada teras utama inisiatif pembangunan negeri dengan menyasarkan amalan mesra alam seperti usaha penghijauan dan penguatkuasaan bagi meningkatkan usaha pemuliharaan alam sekitar negeri diteruskan.

Pada masa yang sama, Sarawak turut bercadang untuk mengutamakan kelestarian alam sekitar dan menyelaraskan laluan pembangunannya selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),

Strategi pembangunan melalui PCDS 2030 adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN SDG)

Dalam hal tersebut, pertumbuhan ekonomi yang seimbang akan diteruskan dengan mengambil pendekatan secara lebih bertanggungjawab ke arah pembangunan sumber asli negeri.

Sehubungan dengan itu, Rangka Tindakan Lestari Sarawak (Sustainable Sarawak Blueprint), akan dibangunkan bertujuan untuk membimbing semua agensi kerajaan, perniagaan dan komuniti mencapai matlamat kemampanan yang ditetapkan.

Rangka tersebut akan menggariskan beberapa insiatif dalam menangani kebimbangan berkaitan pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber asli termasuklah usaha pengurangan dan penyesuaian perubahan iklim.

Di samping itu juga, usaha mewujudkan persekitaran yang membolehkan infrastruktur moden bergerak seiring dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) negara turut akan dijalankan.

PCDS 2030 meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai salah satu daripada tonggak utama pembangunan bagi memacu Sarawak ke arah negeri maju menjelang tahun 2030

Sumber:

https://www.utusanborneo.com.my/2022/03/29/sarawak-perlu-ambil-perhatian-terhadap-kemerosotan-pelbagai-spesies-ekosistem

Post COVID-19 Development Strategy 2030: Study to Develop Key Indicators for the Economy- – Sarawak Government

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article