- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Rakan Pemasar FAMA Bantu Memastikan Produk Agro Makanan Tersedia

Must read

Industri pertanian di Malaysia menyumbangkan lebih tujuh (7) peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada hari ini.

Pada peringkat dunia pula 2.6 bilion penduduk dunia bergantung kepada pertanian sebagai punca utama pendapatan.

Bekerja dalam bidang pertanian menawarkan pelbagai peluang di mana anda boleh memperoleh pendapatan yang lumayan. Dengan peningkatan penggunaan dan aplikasi teknologi di ladang, dalam loji dan dalam perniagaan pertanian di seluruh industri, lebih banyak pekerjaan industri pertanian tersedia yang merangkumi pelbagai bidang.

Namun, masyarakat kita masih mempunyai stigma bahawa pertanian adalah industri yang kecil dan golongan petani terdiri daripada golongan yang miskin dan duduk di luar bandar.

Sektor pertanian di negara kita merangkumi perladangan, penternakan dan penanaman secara besar dan kecil mempunyai potensi yang meyakinkan sekiranya hasil yang dituai menepati piawaian yang ditetapkan.

Sektor pertanian sejak dahulu dianggap sebagai sektor strategik. Sejak tahun 2020, telah ditubuhkan Jawatankuasa Kabinet mengenai Dasar Keselamatan Makanan Negara (FSCC) yang menerima pakai Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Negara 2021-2025, dan Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030.

Pelbagai usaha dan inisiatif digubal dan dilaksanakan meningkatkan hasil pertanian negara antaranya dengan menghubungkan institusi penyelidikan dengan pemain-pemain industri pertanian dalam negara.

Di samping itu, hasil pertanian negara dapat ditingkatkan dengan menambah baik kemudahan logistik di bawah rangkaian pemasaran dan penghasilan produk pertanian. Kualiti hasil pertanian dapat dikekalkan sekiranya proses daripada ladang ke pasar raya dititik berat dengan menggunakan kaedah terbaik.

Pada masa yang sama, hasil pertanian negara dapat ditingkatkan dengan meningkatkan tahap kebergantungan bekalan makanan negara terhadap hasil tempatan.

Kerajaan telah pun menubuhkan pelbagai agensi-agensi kerajaan untuk menguruskan industri pertanian di negara kita.

Sebagai contoh Jabatan Pertanian ditubuhkan untuk menguruskan program-program pertanian manakala FAMA (Federal Agricultural Marketing Authority) menguruskan hal ehwal pemasaran hasil pertanian dan MARDI (Malaysian Agricultural Research and Development Institute)  menjalankan penyelidikan khusus pada pertanian negara.

FAMA ditubuhkan pada 30 September 1965 di bawah Akta 141.

FAMA merupakan sebuah agensi pemasaran di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan bertanggungjawab dalam pemasaran produk agromakanan seperti sayur–sayuran, buah–buahan dan bunga-bungaan serta produk–produk industri makanan dan asas tani.

FAMA juga berperanan dalam memastikan produk pertanian dan industri makanan tersedia dan boleh diperolehi pada harga yang mampu dibayar oleh pengguna.

Untuk itu, FAMA menjalankan beberapa fungsi yang antara lainnya menyelaras aktiviti-aktiviti pemasaran pertanian sama ada yang melibatkan pihak swasta atau jabatan/agensi kerajaan.

FAMA juga menjalankan fungsi memperbaiki sistem pemasaran dan memperluas serta memajukan pasaran baharu bagi hasil-hasil pertanian Malaysia dan bekerjasama dengan pihak swasta dan jabatan/agensi kerajaan bagi mewujudkan pemasaran pertanian yang cekap dan berkesan.

FAMA juga bertindak membangun dan memajukan pengurusan yang cekap dalam industri pertanian berkaitan dengan aktiviti pemasaran atau pemprosesan hasil-hasil pertanian selain terlibat secara langsung dalam industri pertanian terutama aktiviti pemasaran.

Fungsi-fungsi FAMA itu telah diperkukuhkan melalui beberapa strategi untuk meningkatkan kecekapan di sepanjang rantaian pemasaran seperti pembangunan luang pasaran, pembangunan infrastruktur pemasaran, pembangunan keusahawanan, pembangunan pemasaran produk dan pembangunan regulasi pemasaran.

Pihak FAMA sentiasa memberi perhatian apa juga masalah yang dihadapi pekebun dan usaha membantu mereka dilakukan dengan apa cara bagi memastikan golongan pengeluar berkenaan tidak berhadapan kesukaran seterusnya kerugian.

FAMA dengan kerjasama usahawan akan memastikan ketersediaan bekalan agromakanan seperti telur ayam, ayam, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan komoditi lain akan mudah diperolehi oleh pengguna melalui rangkaian outlet peruncitan FAMA seperti di Pasar Tani, Agrobazaar Rakyat dan lain-lain, di mana akan dijual dengan harga berpatutan dan memastikan produk agro makanan tersedia.

Selain itu, sebanyak lebih 700 infrastruktur pemasaran terkumpul juga disediakan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada kumpulan sasar.

Dalam usaha pembangunan usahawan, salah satu program yang dilaksanakan ialah usahawan bimbingan agro yang juga dikenali sebagai Rakan Pemasar yang mana usahawan yang terlibat bekerjasama dengan FAMA memasarkan hasil-hasil pertanian petani peserta ladang kontrak FAMA.

Objektif utamanya ialah untuk membantu usahawan dan petani yang menghadapi kekangan dalam pemasaran hasil pertanian mereka.

Di Sarawak setakat ini FAMA Sarawak telah melantik tiga (3) Rakan Pemasar iaitu masing-masing seorang di kawasan Kuching, Betong dan Miri.

Pegawai FAMA Sarawak, Encik Jackson Ramon Anak Asan memaklumkan bahawa usaha yang FAMA jalinkan dengaan Rakan Pemasar FAMA adalah bertujuan untuk memastikan bekalan hasil pertanian tempatan dapat dipasarkan dnegan cekap selain membaantu menstabilkan bekalan di pasaran

Sebelum diperkenalkan inisiatif Rakan Pemasar ini, peserta ladang kontrak FAMA mahupun petani lain akan menjual terus kepada FAMA, namun ada ketikanya kapasiti pihak FAMA agak terhad.

Oleh yang demikian, dengan adanya Rakan Pemasar, bilangan atau jumlah hasil pertanian yang boleh dikutip dan dipasarkan kini lebih besar memandangkan Rakan Pemasar mempunyai keupayaan dan ruang (jangkauan) pemasaran yang lebih besar.   

Di Kuching, Encik Ho Boon Heng (37), pemilik Chang Hong One Enterprise telah dilantik sebagai Rakan Pemasar FAMA Sarawak memberitahu bahawa penglibatan syarikat beliau ini dengan program Rakan Pemasar FAMA telah banyak mendapat ilmu dan pengalaman baharu selain bimbingan yang telah membuka ruang peningkatan dalam usaha niaga beliau.

Dalam sehari, Rakan Pemasar FAMA Sarawak, Chang Hong One Enterprise mampu mengedar dan memasar kira-kira enam (6) tan sayur-sayuran dan buah-buahan
Kemudahan ruang pengeredan dan pembungkusan
Encik Ho Boon Heng (kiri), bersama pengurusnya sentiasa melakukan pemeriksaan produk pertanian yang syarikaat mereka edar dan jual

Usaha niaga Encik Ho kini mampu mengedar dan memasar kira-kira enam (6) tan sayur-sayuran dan buah-buahan sehari.

Menurut Encik Ho, sejak lebih empat (4) tahun Chang Hong One Enterprise beroperasi, pihak beliau kini  dapat menambah bilangan kebun sayuran yang mereka usahakan di sekitar Kuching (Moyan, Jalan Semaba) dan Kota Samarahan (30 ekar).

Selain daripada peserta ladang kontrak FAMA, pihak FAMA Sarawak juga memadankan petani-petani lain di sekitar Bahagian Kuching yang ingin memasarkan hasil mereka dengan Encik Ho (Chang Hong One Enterprise) Rakan Pemasar mereka.

Usaha ini telah dapat membantu meningkatkan bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan selain berupaya memberikan kepada petani harga yang lebih baik.

Rakan Pemasar FAMA Sarawak, Chang Hong One Enterprise sentiasa memberi perhatian membantu petani/pekebun memasarkan hasil tani yang berkualiti
Hasil pertanian yang siap dipunggah dari lori untuk proses pengeredan sebelum diedar atau dipasarkan

Pendekatan FAMA melalui Rakan Pemasar ini bukan sahaja membolehkan petani atau pengeluar menerima harga yang munasabah dan menguntungkan malah dapat menjadi pemangkin kepada jaminan bekalan yang berkualiti dengan harga berpatutan.

Kaedah yang diperkenalkan ini ternyata berhasil dan seharusnya para petani dan Rakan Pemasar dan pemborong pertanian menggunakan ruang dan peluang ini untuk meningkatkan lagi hasil dan jangkauan edaran dnegan bertindak aktif dan pro aktif meningkatkan hasil pengeluan dan edaran dengan menggunakan kaedah yang lebih efektif dan efisien.

Sektor pertanian di Malaysia kini tidak lagi harus diligat semata-mata sektor huluan dan tradisional. Era digital dan inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan di Sarawak harus dijadikan pendorong kepada para pemain sektor ini untuk keluar dari kepompong kerangka pemikiran lama dan mempertingkatkan pengeluaran makanan dengan lebih sistematik dalam bertindak balas terhadap gangguan rantaian dan bekalan makanan global.

Usaha mengupayakan sektor ini perlu difokuskan untuk melestarikan jaminan makanan dengan meningkatkan pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Ini bertujuan merevolusikan industri pertanian negara seperti berjaya dilaksanakan Thailand, Vietnam, China dan Poland yang juga bertindak sebagai serampang dua mata iaitu mengatasi isu kemiskinan dan keselamatan makanan negara.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article