- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

‘SAVI3D’ Sedang Dibangunkan Untuk Kegunaan Umum

Must read

Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) sedang membangunkan sistem pemodelan bandar 3D, iaitu SAVI3D (Sarawak Virtual 3D City Modelling System) yang boleh diakses oleh orang awam hanya menggunakan pelayar web (web browser) tanpa perlu menggunakan perisian komputer yang khusus.

Tujuannya adalah supaya penggunaan data 3D melalui sistem berkenaan dapat dimanfaatkan oleh semua pengguna sebagaimana perkhidmatan digital yang lain seperti eLASIS dan Mobile LASIS yang telah pun ditawarkan oleh JTS pada masa kini.

Pembangunan SAVI3D bagi kegunaan umum adalah sebagai satu usaha JTS merealisasikan aspirasi Kerajaan Sarawak memajukan sektor ekonomi digital, seterusnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemegang taruh dalam memajukan Sarawak.

Sistem SAVI3D merupakan satu-satunya projek pemodelan bandar 3D atau lebih dikenali sebagai Digital Twin yang dibangunkan pada skala yang besar di Malaysia.

JTS sedang membangunkan sistem pemodelan bandar 3D yang dinamakan SAVI3D untuk dimanfaatkan oleh orang awam

Buat masa sekarang, data 3D yang dibangunkan oleh JTS hanya boleh diakses oleh kakitangan di Unit 3D Data Spatial dan Cawangan Perancangan di Ibu Pejabat JTS dengan menggunakan platform perisian ArcGIS Pro.

Inisiatif untuk mewujudkan SAVI3D bermula pada tahun 2012 sejurus selepas JTS mendapat anugerah Special Achievement in Geographic Information System (SAG) Award daripada Esri Inc. bagi projek LASIS (Land and Survey Information System) pada tahun yang sama.

Selanjutnya, pada tahun 2013, JTS telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji pembangunan sistem tersebut yang disusuli dengan lawatan ke Urban Redevelopment Authority (URA) Singapore pada 2014 sebagai proses penanda aras pembangunan sistem 3D yang dibangunkan di Singapura.

Pada tahun 2015, Unit 3D telah diwujudkan di Cawangan Perancangan, Ibu Pejabat JTS bagi merangka perancangan pembangunan model data 3D bagi bandar-bandar utama di Sarawak.

Unit 3D Cawangan Perancangan, Ibu Pejabat JTS ditubuhkan pada 2015 bagi merangka perancangan pembangunan model data 3D bagi bandar-bandar utama di Sarawak

Kemudian pada tahun 2016, satu projek perintis telah dijalankan melalui projek pembangunan model digital data 3D bagi keluasan 150-kilometer persegi bandar raya Kuching.

Lanjutan daripada kejayaan pada projek perintis tersebut, pada tahun 2017, projek kedua telah dijalankan untuk membangunkan model digital data 3D bagi 100-kilometer persegi bandar raya Miri.

Objektif pembangunan SAVI3D adalah bagi membantu perancang bandar di JTS untuk membuat penilaian permohonan pembangunan yang dikemukakan oleh pemaju, terutama sekali pembangunan bangunan tinggi.

Selain itu, penggunaan pemetaan 2D pada masa kini tidak mencukupi untuk membuat penilaian pada pembangunan dalam kawasan pusat bandar yang kompleks.

Oleh itu, teknologi 3D dapat memberi gambaran secara visual yang tidak dapat dicapai dengan pemetaan 2D.

Sistem 3D juga turut dapat membantu kerajaan dalam merangka perancangan pembangunan semula bandar selain dapat dimanfaatkan untuk melihat pelbagai senario pembangunan dengan lebih efisien.

Pembangunan sistem 3D berkenaan juga pada masa akan datang dapat dijadikan sebagai platform untuk agensi-agensi kerajaan bagi tujuan pelbagai kegunaan seperti perancangan lalu lintas, perancangan peletakan kamera litar tertutup (CCTV), pelancongan maya (virtual tourism) dan sebagainya.

Data 3D yang dibangunkan JTS turut akan dapat dimanfaatkan oleh firma arikitek, perancang bandar, IPT malah juga penggiat filem dan animasi

Secara amnya, pembangunan data 3D oleh JTS adalah selaras dengan inisiatif ekonomi digital Sarawak.

Hal tersebut dikatakan demikian kerana data 3D yang sedang dibangunkan oleh JTS bukan sahaja akan memberi manfaat kepada agensi-agensi kerajaan, malah juga dapat dimanfaatkan oleh pihak swasta seperti firma arkitek, perancang bandar, pembuat filem dan animasi serta turut dapat dimanfaatkan oleh pihak penyelidik seperti institusi pengajian tinggi (IPT) dan seumpamanya.

Di pihak kerajaan, data 3D boleh digunakan untuk merancang pembangunan yang boleh memaparkan visual pembangunan secara digital dan seterusnya dapat digunakan untuk membuat pelbagai analisis seperti View Shade Analysis, Line of Sight Analysis, Real Time Shadow Impact Analysis, Airflow Analysis, Skyline Analysis dan lain-lain lagi.

Selain itu juga, pada masa akan datang, data 3D berkenaan boleh menjadi sumber hasil baharu kepada Kerajaan Sarawak.

Bagi pihak swasta seperti firma arkitek, perancang bandar dan sebagainya, data 3D boleh digunakan untuk tujuan membuat simulasi reka bentuk dan perancangan pembangunan.

Para penggiat seni filem dan pembangun permainan digital juga dapat memanfaatkan data 3D dalam pembikinan filem-filem animasi termasuk permainan digital yang berlatar belakangkan bandar-bandar di Sarawak.

Di pihak IPT dan para penyelidik, mereka boleh menggunakan data 3D untuk pelbagai tujuan seperti membuat simulasi banjir, kecemasan, kesan pemanasan kawasan bandar dan sebagainya.

Sehingga akhir 2022, projek pembangunan data digital model 3D yang sedang dibangunkan oleh JTS telah merangkumi keseluruhan bandar-bandar utama di Sarawak.

Jumlah kawasan litupan model 3D berkenaan merangkumi kawasan seluas 849-kilometer persegi dengan kapasiti data sebanyak 67 gigabits (GB) dalam format Geodatabase (gdb).

Pihak JTS menjangkakan menjelang penghujung Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), kawasan yang tersedia dengan data digital 3D model akan merangkumi kawasan seluas 1,009-kilometer persegi.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article