- Advertisement -spot_img
4,771
published news
and counting

Kerajaan Digital Realisasi Perkhidmatan Cemerlang Kerajaan

Must read

Tidak dinafikan bahawa perkhidmatan dan sumbangan Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) kepada rakyat dan sektor awam signifikan dalam menambah baik penyampaian perkhidmatan.

SMA adalah badan pengawalseliaan yang ditubuhkan menurut Seksyen 3 Ordinan Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak 2017 bertujuan untuk menerajui pembangunan komunikasi, multimedia dan inisiatif ekonomi digital di Sarawak.

Kerajaan Digital telah diklasifikasikan sebagai salah satu sektor yang diberi tumpuan bagi usaha kerajaan Sarawak untuk mencapai agenda ekonomi digital serta menambah baik penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Terdapat lima (5) prinsip yang diterapkan dalam inisiatif membangunkan kerajaan Sarawak sebagai Kerajaan Digital yang mengukuhkan kecekapan perkhidmatan awam.

Prinsip pertama adalah kerajaan terbuka. Kerajaan terbuka mewujudkan teknik inovasi dalam menangani konflik dalam pembangunan sektor awam dan ia berpotensi memperkasakan ketelusan perkhidmatan kerajaan.

Sarawak Rural Broadband Network (SRBN) merupakan salah satu program bagi meningkatkan penggunaan internet dalam kalangan rakyat luar bandar Sumber: Portal Rasmi SRBN

Prinsip ini telah membawa kepada penubuhan Portal Rasmi Sarawak Data sebagai one-stop-service-center dalam talian yang memberikan akses kepada rakyat untuk memuat turun set data kajian dan penyelidikan rasmi daripada kerajaan.

Muka depan laman web Sarawak Data untuk rakyat mengakses set data rasmi kerajaan Sumber: Portal Rasmi Sarawak Data

SMA turut berusaha untuk mewujudkan kerajaan berasaskan data sebagai prinsip kedua dalam inisiatif Kerajaan Digital untuk meningkatkan keberkesanan dasar dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Dengan kemunculan era data seperti Big Data dan Artificial Intelligence, ia menjadi mustahak bagi kerajaan untuk membuat keputusan dasar yang rasional dan saintifik berdasarkan analisis data.

Ia telah mempengaruhi kebergantungan agensi kerajaan terhadap data bagi mengurangkan kos, lebih cekap dalam pengurusan sumber dan bahkan menjamin keselamatan rakyat Sarawak.

Prinsip ketiga dalam inisiatif Kerajaan Digital adalah kerajaan inovatif yang menjadi penanda aras dalam memacu perubahan seperti memperkenalkan produk, perkhidmatan atau sistem baru yang lebih komersial untuk sektor awam.

Misalnya, kerajaan Sarawak telah menganjur Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) yang bertujuan untuk berkongsi idea dan cadangan untuk menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih efisien.

Sesi bergambar kesemua pemenang anugerah SCSICA 2022 bersama tetamu-tetamu kehormat Sumber: UKAS

Prinsip keempat pula adalah penyampaian perkhidmatan cemerlang. Program ‘High Performance Team (HPT) Retreat’ pada Disember 2022 yang melibatkan 208 penjawat awam merupakan inisiatif kerajaan untuk memastikan perkhidmatan sektor awam sentiasa relevan dengan situasi semasa.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dalam program tersebut turut menggesa penjawat awam untuk mengekalkan momentum yang sama supaya apa sahaja yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan segera.

Terakhir, inisiatif SMA untuk mewujudkan Kerajaan Digital juga berprinsipkan pentadbiran digital cemerlang yang mampu mengisi jurang yang wujud dalam pentadbiran terutamanya di kawasan luar bandar.

Program ‘High Performance Team (HPT) Retreat’ di sebuah hotel terkemuka di Langkawi, Kedah pada Disember 2022 Sumber: Portal Rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak

Contohnya, sistem Sarawak ID telah memudahkan rakyat berurusan secara jarak jauh melalui aplikasi dalam talian sebagai bentuk pengenalan digital yang digunakan untuk transaksi secara digital.

Sistem Sarawak ID bagi merealisasikan Kerajaan Digital berprinsipkan pentadbiran digital cemerlang Sumber: Portal Rasmi Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM)

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg menegaskan kepesatan ekonomi ketika ini memerlukan masyarakat negeri ini untuk berpindah daripada kaedah-kaedah konvensional kepada kaedah digital.

Oleh itu, agensi kerajaan memainkan peranan penting bagi menyampaikan perkhidmatan yang memiliki elemen digitalisasi kerana ianya akan menepati strategi kerajaan untuk berkembang dalam gelombang Revolusi Industri 4.0.

Justeru, inisiatif kerajaan Sarawak dalam menubuhkan SMA untuk mengawasi pembangunan digital di negeri ini merupakan pemangkin dalam usaha untuk agensi kerajaan menyampaikan  perkhidmatan yang cemerlang bagi kemakmuran rakyat Sarawak.

Maksud yang terdapat pada logo SMA Sumber: Portal Rasmi Sarawak Media Authority
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article