- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

‘Service Sarawak’ Mudahkan Urusan Rakyat

Must read

Service Sarawak telah dilancarkan secara rasmi pada 12 Disember 2018 dan ia merupakan salah satu usaha ke arah ekonomi digital dan sebagai inisiatif untuk memudahkan penduduk di kawasan bandar dan luar bandar berurusan dengan jabatan atau agensi kerajaan.

Pusat Service Sarawak telah dilancarkan secara rasmi pada 12 Disember 2018

RAKAN Sarawak sebelum ini pernah mengadakan tinjauan ke Pusat Service Sarawak Miri untuk mendapat pandangan orang awam tentang inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ini, dan rata-rata pengguna gembira serta menyahut baik inisiatif ini.

Salah seorang pengunjung Pusat Service Sarawak Miri yang sempat ditemu bual ketika itu ialah Encik Steward anak Wan Jok yang hendak membuat pembayaran bil utiliti.

Encik Steward anak Wan Jok

Beliau amat bersyukur dengan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan Sarawak pada hari ini seperti pusat Service Sarawak yang telah dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih pantas dan cepat tidak seperti sebelum ini, dimana beliau perlu berbaris dan menunggu terlalu lama.

Individu seterusnya yang sempat ditemu bual ialah Encik Osman Empu yang juga hendak membayar bil utiliti pada masa itu. 

Encik Osman Empu

Beliau berasa lega kerana tidak perlu lagi membuang masa dan tenaga untuk menyelesaikan pembayaran bil elektrik, bil air dan gas di lokasi yang berlainan kerana ia kini boleh dilakukan di bangunan dan tempat yang sama iaitu di Pusat Service Sarawak.  

Sementara itu, bagi Encik Justin Setamin pula,beliau yang pada masa itubaru mengetahui kewujudan Pusat Service Sarawak berasa kagum dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak apabila mengetahui ada perkhidmatan bayaran bil utiliti lain turut disediakan.

Encik Justin Setamin

Berkongsi pengalaman beliau, sebelum ini, dia hanya membayar cukai taksiran dan bayaran saman pihak berkuasa tempatan sahaja di bangunan ini.

Apa yang lebih menariknya ialah, Pusat Service Sarawak tidak hanya menawarkan perkhidmatan dari kaunter, malahan melalui portal rasmi, aplikasi telefon pintar, dan eKiosk sebagai usaha menyantuni keperluan dan kehendak rakyat.

Kepelbagaian saluran perkhidmatan ini bertujuan untuk memberi kemudahan kepada rakyat dalam membuat pilihan pembayaran yang menyenangkan mereka.

Platform pembayaran digital seperti ini merupakan sebahagian daripada landskap besar inovasi dan revolusi dalam bidang teknologi kewangan yang menyaksikan urus niaga tanpa tunai tidak lagi terbatas kepada penggunaan pindahan wang melalui e-perbankan, kad kredit atau kad debit.

Infografik (Sumber: FB Service Sarawak) menunjukkan 26 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ada menawarkan perkhidmatan pada Kiosk Service Sarawak

Service Sarawak memberikan pengalaman yang lebih baik kepada orang ramai kerana perkhidmatan yang disediakan ini adalah percuma dan pelanggan boleh membuat pembayaran kepada semua penyedia perkhidmatan yang melanggan perkhidmatan Service Sarawak.

Melihat kepada kepentingan dan kepantasan dalam melakukan urusan pembayaran secara digital ini bahkan untuk memperkasakan lagi urus niaga pembayaran digital ini, kelompok yang perlu diyakinkan tentang manfaat pembayaran digital adalah pengguna.

Infografik (Sumber: FB Service Sarawak) menunjukkan panduan untuk pengguna yang menggunakan Portal dan Aplikasi Mudah Alih Service Sarawak

Usaha ini perlu disokong dengan program kesedaran, pendidikan, insentif dan sokongan daripada pihak kerajaan atau pemain utama dalam teknologi kewangan.

Hal ini kerana, sebarang inisiatif yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan harus disambut baik oleh orang ramai kerana jika tidak, maka inisiatif yang dilaksanakan tentu tidak akan berjaya.

Pihak kerajaan harus memaklumkan tentang manfaat sistem pembayaran digital ini kepada orang ramai berkenaan keselamatan, kepantasan, tujuan perekodan dan dari segi kos.

Orang ramai perlu diyakinkan bahawa, pembayaran secara digital membolehkan mereka membuat pembayaran dengan pantas.

Selain itu, mereka perlu difahamkan bahawa pembayaran digital akan memudahkan mereka merekodkan urusniaga yang berlaku, sekali gus mengatasi masalah seperti keciciran dokumen, kehilangan bukti urus niaga atau simpanan dokumen bercetak yang banyak.

Pusat Service Sarawak telah dapat meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat

Hal ini dikatakan demikian kerana semua rekod ini disimpan secara digital dan boleh dicapai oleh mereka pada bila-bila masa apabila diperlukan.

Manfaat yang ketara daripada pembayaran digital ini ialah penjimatan kos kerana pembayaran melalui platform Service Sarawak tidak mengenakan sebarang caj kepada pengguna.

Pembayaran bil utiliti kini boleh dilakukan di bangunan dan tempat yang sama

Hal ini dapat menjimatkan kos kepada pengguna berbanding dengan pembayaran seperti wang pos, pindahan wang, dan kad kredit yang mengenakan yuran urus niaga kepada pengguna.

Kesimpulannya, Service Sarawak merupakan kaedah pembayaran kepada perkhidmatan kerajaan secara elektronik dengan menggunakan mod bayaran tanpa tunai seperti kad kredit, kad debit dan lain-lain melalui pelbagai saluran bayaran seperti eKiosk, portal dan aplikasi telefon pintar.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article