- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Pameran Rumah Etnik Memartabatkan Warisan Dan Seni Budaya

Must read

Orang ramai berpeluang mengenali tradisi dan budaya 17 etnik yang terlibat menjayakan Pameran Rumah Etnik sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Tebingan Sungai Kuching dari 20 hingga 26 Mei 2023.

Elemen yang diketengahkan di rumah setiap etnik termasuklah adat perkahwinan, permainan serta alat muzik dan makanan tradisional.

Etnik-etnik yang menyertai pameran tersebut ialah Melayu, Lun Bawang, Jatti Miriek, Melanau, Kayan, Kenyah, Kajang, Cina, Iban, Bidayuh, Kedayan, India, Bugis, Vaie, Salako Rara, Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) dan Orang Asli Mah Meri.

Rumah etnik Lun Bawang misalnya mempamerkan pakaian tradisional lelaki dan wanita Lun Bawang, pakaian dan hantaran perkahwinan, peralatan untuk mengembara, alat muzik dan juga makanan tradisional.

Rumah etnik Lun Bawang
Penaram merupakan makanan ringan etnik Lun Bawang yang lazimnya dihidangkan untuk jamuan pagi dan petang

Encik Sakai Tagal dari Persatuan Lun Bawang, Lawas menjelaskan, masyarakat Lun Bawang yang berasal dari Long Semadoh suatu ketika dahulu gemar mengembara dengan membawa ‘samit,’ iaitu sejenis beg yang diperbuat daripada rotan untuk menyimpan pakaian.

Encik Sakai Tagal menerangkan tentang pakaian dan hantaran yang berupa pakaian tradisional lelaki dan wanita seperti topi dan sarung untuk pengantin lelaki menyimpan parang dalam adat perkahwinan Lun Bawang

Lun Bawang membawa maksud orang yang mendiami kawasan pedalaman. Suku kaum Lun Bawang kaya dengan kraf tangan halus seperti pembuatan aksesori seperti rantai, gelang, beg dan topi yang diperbuat daripada manik.

Pengunjung pameran turut berpeluang mengenali dengan lebih dekat tentang warisan dan budaya kaum Jatti Miriek yang juga berasal dari utara Sarawak.

Menurut Naib Presiden Persatuan Jatti Miriek Miri, Puan Rosiah binti Haji Ali, Jatti Miriek merupakan kumpulan etnik minoriti yang mengamalkan sikap terbuka dan sentiasa menerima kedatangan bangsa-bangsa lain.

Puan Rosiah (duduk) bersama salah seorang lagi peserta pameran menggayakan busana tradisional masyarakat Jatti Miriek
Antara alat muzik tradisional etnik Jatti Miriek yang dipamerkan

Kebanyakan masyarakat Jatti Miriek jelas beliau kini menetap di merata-rata tempat di Sarawak dan berkahwin campur.

Puan Rosiah bersyukur kerana pindaan Rang Undang-undang (RUU) Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tahun lalu telah mengiktiraf Jatti Miriek sebagai Peribumi Sarawak bersama 11 lagi etnik yang lain.

Antara rumah lain yang turut mendapat perhatian pengunjung ialah rumah Orang Asli Mah Meri yang menonjolkan adat perkahwinan termasuk pelamin tradisi dan peralatan meminang etnik berkenaan.

Pelamin tradisi Orang Asli Mah Meri

Yang menariknya, adat perkahwinan Mah Meri mempunyai banyak persamaan dengan adat perkahwinan Melayu.

“Kami juga ada adat merisik, hantar tanda, meminang dan persandingan,” jelas Puan Melati binti Jamil yang mewakili suku kaum Mah Meri dari Kuala Langat, Selangor.

Puan Melati (kiri sekali) bersama-sama ahli-ahli Persatuan Orang Asli Mah Meri Kuala Langat, Selangor yang lain merakam gambar di hadapan rumah yang dipamerkan
Demonstrasi anyaman produk kraftangan Orang Asli Mah Meri yang diperbuat daripada daun nipah

Turut dipamerkan di rumah tersebut ialah demonstrasi anyaman kraf tangan daripada daun nipah.

Pameran Rumah Etnik adalah segmen dalam acara Sambutan Minggu Perpaduan yang bertujuan untuk memartabatkan warisan seni dan budaya rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan.

Rumah Bugis yang menonjolkan keunikan pakaian dan hiasan pelamin perkahwinan tradisional Bugis
Rumah etnik Kadazan Dusun Murut Rungus dari Sabah
Peserta mempamerkan pelamin untuk majlis perkahwinan tradisi etnik Kedayan
Etnik Salako Rara yang majoritinya mendiami kawasan di wilayah selatan Sarawak turut mempamerkan warisan seni dan budaya menerusi Pameran Rumah Etnik sempena Sambutan Minggu Perpaduan
Dua orang wanita Bidayuh mempamerkan makanan tradisional masyarakat Bidayuh
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article