- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

BDA Rancang Pelan Pembesaran Bandar Yang Progresif

Must read

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah menzahirkan rasa penghargaan terhadap Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang berjaya merancang pelan pembesaran bandar yang cukup progresif di pekan Tatau.

Beliau menzahirkan rasa penghargaan itu pada sidang media selepas lawatan kerja ke tapak projek perumahan di Lot 170, 287 dan 290 di Buan Lot District, Tatau pada  Januari 2023.

Secara ringkasnya, Tatau merupakan sebuah Daerah Kecil yang terletak di bawah pentadbiran Daerah Bintulu sebelum diisytiharkan menjadi daerah penuh pada 2 April 1989.

Peta Bahagian Bintulu

Pada 06 Julai 1975, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah ditubuhkan untuk menggerakkan Pembangunan Bintulu dan Tatau (terletak bersempadan dengan Daerah Bintulu dan Daerah Selangau).

Pusat Pentadbiran Daerah adalah di Pekan Tatau yang terletak 60 km dari Bandar Bintulu dan terletak antara sempadan Daerah Bintulu dan Daerah Selangau.

Pejabat Daerah Tatau telah mula diwujudkan sejak 1906 dalam Pemerintahan Brooke.

Pejabat Daerah Tatau yang ketika itu merupakan bangunan separuh batu (Semi Concrete) bertentangan dengan Sungai Batang Tatau mempunyai seramai tujuh (7) orang kakitangan yang diketuai oleh seorang Penolong Pegawai Tadbir.

Pada 25 September 1995, Pejabat Daerah Tatau telah berpindah ke Bangunan baharu yang lebih moden dan mempunyai pelbagai kemudahan dan bilangan kakitangan pejabat bertambah ke 18 orang.

Keluasan Daerah Tatau adalah kira-kira 4,945.85 kilometer persegi dan pada dasarnya, Daerah Tatau juga terbahagi kepada kawasan-kawasan seperti Pekan Tatau, Sangan, Anap Ulu, Anap Tengah, Anap Hilir, Kakus, dan Kuala Tatau.

Statistik penduduk di Daerah Tatau pada tahun 2021 (Sumber gambar: UKAS)

Kaum majoriti Daerah Tatau adalah kaum Iban, dan diikuti oleh masyarakat Orang Ulu seperti Punan, Beketan, Tatau, dan Melanau.

Manakala, pekerjaan utama penduduk Tatau adalah sebagai petani atau pekebun, pekerja ladang, pekerja kilang, berniaga, dan juga sebagai kakitangan kerajaan dan swasta.

Perubahan arus semasa telah membawa Tatau bertukar wajah.

Terdapat banyak bangunan lama telah diganti dengan bangunan baharu dan moden malah, pembangunan tanah juga bertambah kerana banyak Syarikat Perladangan telah membuka ladang-ladang, secara tidak langsung telah memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di Daerah Tatau.

Selain itu, kilang-kilang kayu juga terdapat di Daerah Tatau dan sehingga kini Tatau telah mengalami perubahan pertumbuhan pembangunan yang begitu cepat dan dijangka akan terus maju dan berkembang di bawah naungan BDA.

Dalam perkembangan terbaharu, dimaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan membina 87 unit rumah di kawasan seluas 23.5 hektar, terletak di Lot 170, 287 dan 290 Buan Land District Daerah Tatau menerusi program Skim Pembesaran Kampung (SPK).

Secara dasarnya, projek Ini merupakan inisiatif berterusan kerajaan untuk memastikan kesejahteraan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat selaras dengan hala tuju Sarawak Maju menjelang 2030.

Premier Sarawak melihat pelan pembinaan 87-unit rumah yang akan dibina di Buan Lot District, Tatau (Sumber gambar: UKAS)

Antara objektif utama pelaksanaan projek seperti ini adalah untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat dengan menyediakan rumah mampu milik yang selesa dan teratur.

Sehubungan itu, projek pembinaan 87 unit rumah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pekan Tatau itu secara dasarnya adalah untuk menempatkan semula penduduk Kampung Baru dan Kampung Dagang bagi menampung pertambahan penduduk selain mengatasi masalah banjir yang kerap melanda kawasan tersebut.

Selain 87 unit rumah, pusat komersial juga bakal dibina di Daerah Tatau bagi menampung keperluan semasa penduduk di kawasan berkenaan.

Gambar menunjukkan rumah jenis A (Reka bentuk Sungai Bedaun) yang akan dibina (Gambar: Sumber UKAS)
Gambar menunjukkan rumah jenis B (Reka bentuk Sungai Bedaun) yang akan dibina (Gambar: Sumber UKAS)

Justeru, ia merupakan satu kawasan penempatan yang terancang kerana akan turut dilengkapi dengan infrastruktur asas, utiliti, kemudahan rekreasi, premis perniagaan dan sebagainya untuk pembangunan sosioekonomi penduduk setempat.

Dalam jangka masa panjang, ia dapat membantu mengembangkan penempatan penduduk di kawasan Tatau sekali gus membesarkan pekan Tatau.

Seperti yang kita sedia maklum, pekan Tatau kini menjadi persinggahan orang ramai sama ada dari arah Sibu atau Bintulu, secara tidak langsung ia menjadikan Tatau sebagai salah sebuah pekan yang berkembang pesat di Bintulu.

Dilihat bahawa inisiatif kerajaan ini merupakan salah satu cara terbaik bagi memastikan setiap warga negeri ini sama ada golongan B40 mahupun M40 dapat memiliki kediaman sendiri dengan kadar harga berpatutan dan mampu milik.

Misalnya, deposit pembayaran bagi setiap lot rumah sebanyak RM10,000 akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak manakala, pembeli hanya perlu membayar sekitar RM300 sebulan kepada Mutiara Mortgage and Credits Sdn Bhd.

Sementara kos menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, lampu jalan dan saliran perparitan serta kerja-kerja menimbus tanah juga turut ditanggung oleh Kerajaan Sarawak dan apabila projek ini siap nanti, kos infrastruktur ini tidak termasuk dalam harga rumah.

Difahamkan, dana yang diperuntukkan bagi projek tersebut melibatkan dana kerajaan persekutuan sebanyak RM18.5 juta untuk kerja-kerja infrastruktur dan dana kerajaan negeri sebanyak RM15 juta untuk kerja-kerja perumahan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article