- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Melahirkan Guru Terlatih Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Must read

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah menegaskan bahawa kualiti guru memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk pendidikan yang berkualiti untuk kanak-kanak.

Bagi membentuk pendidikan yang berkualiti untuk kanak-kanak peringkat awal atau prasekolah, bakal-bakal guru bukan hanya perlu dilatih dengan betul, malah mereka harus mempunyai kelayakan sama ada dari segi ilmu mahupun kemahiran.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Swinburne University of Technology, Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) pada 19 Jun 2023 (Isnin).

YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah semasa berucap pada Majlis Pelancaran Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Swinburne University of Technology pada 19 Jun 2023 (Isnin)

Sehubungan itu, beliau memberi saranan kepada Swinburne agar menyediakan kursus pada hujung minggu atau semasa cuti sekolah kepada guru yang belum memperoleh diploma atau ijazah sarjana muda tetapi ingin melanjutkan pengajian mereka.

Dengan cara ini, mereka dapat menghadiri kelas pada hujung minggu atau semasa cuti sekolah tanpa perlu meninggalkan pekerjaan mereka.

Beliau mencadangkan inisiatif ini kerana menyifatkan tawaran diploma berkenaan merupakan satu lagi kemudahan yang pastinya ditunggu-tunggu oleh guru-guru tadika yang sedang berkhidmat.

Sesungguhnya beliau amat memahami situasi keadaan di mana adanya pengusaha atau penyelia taska dan tadika yang sukar melepaskan guru-guru mereka untuk meninggalkan tempat kerja pada waktu bekerja.

Justeru, satu-satunya cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menyediakan kursus pada hujung minggu atau cuti sekolah untuk memberi peluang kepada mereka mengambil pengajian sekali gus untuk membolehkan mereka memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak ini.

Pro Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak, Ir Profesor Lau Hieng Ho menyampaikan uacpan alu-aluan

Tambah beliau, dari segi bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian tersebut, terdapat kemudahan yang disediakan kepada pemohon yang berminat iaitu menerusi Yayasan Sarawak.

Beliau amat pasti bahawa kesemua warga pendidik khususnya guru tadika mempunyai impian untuk memiliki sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Kerana itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) mempunyai objektif yang jelas, dan salah satunya adalah untuk memastikan semua kanak-kanak di negeri Sarawak mendapat akses yang sama kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti.

Oleh itu, beliau sangat gembira apabila adanya peluang kerjasama antara Swinburne Sarawak KPWK yang dianggap selari dengan matlamat tersebut.

Melalui program dan kerjasama inovatif mereka dengan penyedia pendidikan awal kanak-kanak ini, Swinburne Sarawak akan mencapai kemajuan besar dalam menyediakan guru terlatih yang boleh menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan pelajar muda kita.

Pensyarah ECE, Ting Mee Ling memberi penerangan ringkas berkenaan Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Beliau turut memuji Swinburne Sarawak atas dedikasi mereka menyokong inisiatif KPWK dengan menawarkan program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang komprehensif.

Menurut beliau, program ini bukan sahaja menyediakan pengetahuan teori tetapi juga melengkapkan bakal guru dengan kemahiran praktikal yang penting dalam memupuk minda anak-anak kita.

Inisiatif seperti ini memastikan bahawa pendidik awal kanak-kanak Sarawak bersedia untuk masa depan serta mampu menyampaikan pendidikan dan penjagaan yang terbaik kepada anak-anak kita.

Sehubungan itu, beliau mendedahkan, sehingga 30 Mei 2023, terdapat sebanyak 2,803 Tadika (Kindergartens) dan 222 Pusat Jagaan Kanak-Kanak (TASKA) yang berdaftar di Sarawak.

Jadual menunjukkan statistik Tadika dan Taska di Sarawak

Untuk Tadika, terdapat 4,861 warga pendidik di mana 2,507 (51.57%) daripadanya memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak manakala untuk TASKA, sebanyak 200 daripada 710 penjaga (28.17%) memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Beliau optimis bahawa SeDidik akan dapat mencapai sasaran 100% guru-gurunya mendapat kelayakan dengan memiliki dengan sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang 2025.

Jadual menunjukkan pecahan peratusan Diploma Pendidikan Kanak-Kanak di Sarawak

Dalam perkara berkaitan, beliau mendedahkan sebanyak lima (5) orang tenaga pengajar Tadika SeDidik Penan bakal menamatkan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak mereka pada suku pertama 2025.

Kelima-lima mereka telah memulakan pengajian mereka di Universiti Terbuka Malaysia (Open University) sejak September 2022 di mana pembiayaan pengajian mereka adalah ditanggung sepenuhnya oleh SeDidik yang merupakan sebuah agensi di bawah KPWK.

Tadika SeDidik Penan sebelum ini adalah dikenali sebagai Program Pendidikan Komuniti (Penan) Kawasan Apoh/Tutoh Tajaan PETRONAS.

Tadika SeDidik Penan tajaan PETRONAS ini merupakan program berbentuk ‘community-based’ iaitu pengasuhan, bimbingan dan pendidikan yang memberi keutamaan kepada penglibatan dan penyertaan komuniti setempat.

Sehubungan itu juga, beliau turut memaklumkan sebanyak lima (5) buah tadika yang telah dibina di Long Leng, Long Jenalong, Long Kerangan, Long Kawa dan Ba Selulong di bawah program ini sudah siap sepenuhnya sejak 2019.

Kesemua tadika berkenaan kini mendapat bekalan elektrik daripada jana kuasa dan menggunakan tadahan air hujan.

Bagaimanapun, mereka bakal menikmati Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) dan Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak tidak lama lagi.

Pada awal Julai 2023, beliau memaklumkan bahawa Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg akan merasmikan Tadika SeDidik Penan di Long Leng.

YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah melakukan simbolik pelancaran Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Swinburne University of Technology pada 19 Jun 2023
YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah dan Ir Profesor Lau Hieng Ho semasa Pelancaran Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Swinburne University of Technology pada 19 Jun 2023 (Isnin)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article