- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Fasa Pertama SSLR Dijangka Siap Pada Januari 2026

Must read

Projek Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR) akan mewujudkan rangkaian jalan raya berturap yang menghubungkan Sarawak dengan Sabah.

Pembinaan jalan tersebut bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya satu rangkaian jalan raya akan menyediakan laluan terus di antara Sarawak dan Sabah tanpa perlu melalui negara Brunei Darussalam.

Buat masa sekarang, laluan sedia ada bagi perjalanan darat yang menghubungkan Sarawak dengan Sabah serta perjalanan antara kawasan-kawasan di utara seperti Limbang dan Lawas perlu melalui negara Brunei.

Dalam ucapan tahun baharu semasa Perhimpunan Bulanan Bersama Kementerian Kerja Raya pada Januari lepas, Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi memaklumkan bahawa pembinaan SSLR fasa pertama dijangka siap sepenuhnya pada 8 Januari 2026.

Pelan jajaran rangkaian SSLR

Kerja-kerja pembinaan yang bermula sejak 9 Ogos 2021 mengambil masa selama 53 bulan untuk disiapkan mengikut kontrak dengan kos RM1.2 bilion.

Fasa pertama SSLR melibatkan pembinaan jalan sepanjang 77 kilometer (km) dari Lawas ke Persimpangan Long Lopeng.

Seterusnya pada Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof juga telah memaklumkan tentang perkembangan pelaksanaan fasa kedua dan fasa ketiga projek tersebut yang kini dalam proses pengurusan dan penilaian harga.

Dato’ Sri Haji Fadillah yang merupakan mantan Menteri Kerja Raya telah diberikan amanah oleh Perdana Menteri untuk membantu Kementerian Kerja Raya untuk memastikan pembangunan infrastruktur di Sarawak dapat dilaksanakan secepat mungkin, termasuklah memantau perkembangan projek SSLR dan juga projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB).

Projek SSLR merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke11 (RMK-11) Rolling Plan 3 yang diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia sebagai kementerian pelanggan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dilantik sebagai agensi pelaksana dan turut berperanan sebagai pengurus program manakala penyeliaan di peringkat pembinaan pula telah diserahkan kepada JKR Sarawak selaku pengarah projek.

Secara dasarnya, pembinaan projek SSLR bermatlamat untuk mewujudkan satu rangkaian jalan raya berturap yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara Brunei Darussalam.

Apabila siap kelak, jalan berkenaan akan membolehkan kawasan pedalaman di sekitar memiliki hubungan jalan raya yang lebih selamat dan selesa berbanding dengan menggunakan jalan balak sebagai jalan utama buat masa sekarang.

Pembinaan SSLR bakal meuwjudkan laluan terus di antara Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara jiran Brunei Darussalam

Bagi fasa pertama projek SSLR, skop utama projek melibatkan kerja-kerja fizikal seperti berikut:

  • Jalan baharu sepanjang 77 km dari Lawas ke Persimpangan Long Lopeng berasaskan jalan tunggal dua (2) lorong dua (2) hala (T1-1) mengikut piawaian JKR R3 bagi aspek formasi (dari aspek geometrik mengambil kira topografi sedia ada dan pemuliharaan alam sekitar;
  • Membina jambatan dan viaduct baharu;
  • Kerja-kerja turapan dan penambahbaikan turapan jalan sedia ada;
  • Membina sistem perparitan dan pembetung;
  • Memasang perabot jalan;
  • Memasang lampu jalan;
  • Pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik;
  • Pelaksanaan Environmental Impact Assessment dan Environmental Protection Work;
  • Penyiasatan tanah dan kerja penyiasatan tapak;
  • Kerja geoteknik;
  • Kerja ukur dan pengambilan balik tanah; dan
  • Pengalihan dan perlindungan utiliti
  • Reka bentuk jajaran jalan ini adalah selari dengan rancangan pembangunan

Selain memudahkan perjalanan dengan rangkaian jalan yang selesa, projek SSLR juga dijangka akan meluaskan jaringan jalan persekutuan ke kawasan pedalaman dan seterusnya menjana ekonomi baharu yang boleh dikembangkan seperti eko-pelancongan dan agro-pelancongan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article