- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

LHDNM Sasar Pelaksanaan Mandatori E-Invois Menjelang 2027

Must read

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bercadang untuk melaksanakan e-invois secara berperingkat dalam usaha mencapai pelaksanaan mandatori e-invois untuk semua perniagaan menjelang tahun 2027.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) (LHDNM), Encik Hisham bin Rusli, perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan melebihi RM100 juta setahun akan menjadi kumpulan sasaran pertama yang terlibat dengan pelaksanaan e-invois secara berperingkat mulai tahun 2024.

Seterusnya pada 2025, LHDNM menyasarkan pelaksanaan mandatori bagi perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan RM50 juta setahun diikuti RM25 juta setahun bagi tahun 2026 sebelum menyasarkan pelaksanaan mandatori e-invois kepada kesemua perniagaan pada tahun 2027.

Pelaksanaan e-invois merupakan salah satu usaha pentadbiran cukai negara ke arah Compliance-by-Design bagi meningkatkan tahap pematuhan cukai secara menyeluruh dan automatik yang dibangunkan berdasarkan pengalaman dan amalan terbaik pentadbir percukaian antarabangsa.

Beliau memaklumkan mengenai perkara tersebut pada Sesi Libat Urus Pelaksanaan E-Invois Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Zon Sarawak di Kuching pada 26 Jun 2023.

Sesi tersebut yang dihadiri seramai hampir 200 orang peserta dianjurkan sebagai usaha berterusan LHDNM memberikan kefahaman mengenai pelaksanaan sistem e-invois kepada para pengamal percukaian, badan profesional dan media.

Taklimat mengenai pelaksanaan e-invois LHDNM (Foto LHDNM)
Sesi dialog (Foto LHDNM)

Secara umumnya, pelaksanaan e-invois di Malaysia dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mengurangkan kos pematuhan kepada pembayar cukai serta meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.

Antara kepentingan e-invois ialah dapat menjimatkan kos kepada pembayar cukai dari segi kos penyimpanan dan pengurusan dokumen yang dapat mengurangkan risiko kehilangan dokumen, meningkatkan ketepatan dan kecekapan perniagaan, menjimatkan masa transaksi selain meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada pembayar cukai.

Pelaksanaan e-invois juga memudahkan proses percukaian dan memudahkan pembayar cukai dari aspek perniagaan dan termasuk dalam menjalankan tanggungjawab percukaian.

Dalam konteks percukaian, pelaksanaan e-invois dapat memperkemaskan sistem percukaian negara, meningkatkan ketelusan, menyediakan penilaian risiko yang lebih tepat dan seterusnya menyokong hasrat kebanyakan negara ke arah pendigitalan pentadbir cukai.

Selain itu, pelaksanaan e-invois juga berupaya memerangi isu ekonomi bayangan dalam urus niaga dan transaksi perniagaan yang menyebabkan ketirisan hasil cukai negara dan pada masa yang sama menyokong penggunaan nombor pengenalan cukai (TIN) yang telah dilaksanakan di Malaysia sejak 2022 bagi memperluaskan asas pembayar cukai.

Untuk tujuan rujukan dan persediaan oleh pembayar cukai, LHDNM akan menyediakan garis panduan berkenaan pelaksanaan e-invois pada akhir Julai 2023.

Pelaksanaan e-invois telah diperkenalkan secara berperingkat dalam pembentangan Bajet 2023 dalam usaha memastikan kecekapan pengurusan pentadbiran percukaian negara yang selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) 2021 dengan tumpuan diberikan kepada pengukuhan infrastruktur perkhidmatan digital, seterusnya ke arah pendigitalan pentadbiran cukai.

Susulan itu, LHDNM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi tujuan kerjasama strategik pelaksanaan inisiatif e-invois Kebangsaan.

Sesi libat urus berkenaan pelaksanaan e-invois LHDNM di Kuching merupakan siri yang ketiga selepas diadakan di Lembah Klang pada 22 Mei 2023 dan di Pulau Pinang pada 9 Jun 2023 yang lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDNM, Encik Hisham bin Rusli serta pegawai-pegawai kanan LHDNM bergambar bersama para peserta setelah selesai Sesi Libat Urus Pelaksanaan E-Invois Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Zon Sarawak di Kuching pada 26 Jun 2023 (Foto LHDNM)

Taklimat mengenai pelaksanaan e-invois di LHDNM juga telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Operasi Cukai LHDNM, Dr. Rasyidah binti Che Rosli yang disusuli dengan sesi dialog.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Operasi Cukai LHDNM, Encik Shaharrudy Othman, Pengarah Jabatan Penyelidikan Strategik LHDNM, Dr. Gunasegaran a/l Muthusamy serta beberapa orang pegawai kanan LHDNM.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article