Tidak dinafikan, projek perumahan memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat kerana rumah berfungsi sebagai tempat berlindung dan menyediakan persekitaran hidup yang akan mempengaruhi dan membentuk perilaku manusia, produktiviti dan pembangunan.
Kerajaan Sarawak melalui Skim Pembesaran Kampung (SPK) telah menyediakan seluas 23.5 hektar, terletak di Lot 170, 287 dan 290 Buan Land District Daerah Tatau bagi tujuan membina 87 unit rumah.
Projek ini secara dasarnya untuk menempatkan semula penduduk Kampung Baru dan Kampung Dagang bagi menampung pertambahan penduduk selain mengatasi masalah banjir yang kerap melanda kawasan tersebut.
Pada masa yang sama, projek tersebut juga bakal memberi manfaat khasnya kepada golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri pada kos yang rendah.
Selain 87 unit rumah, pusat komersial juga bakal dibina di Daerah Tatau bagi menampung keperluan semasa penduduk di kawasan berkenaan.
Penempatan terancang yang dilengkapi dengan infrastruktur asas, utiliti, kemudahan rekreasi, premis perniagaan dan sebagainya untuk pembangunan sosioekonomi penduduk setempat turut disediakan.
Dalam sidang media selepas lawatan kerja ke tapak projek perumahan tersebut pada Januari 2023, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menyifatkan projek ini adalah tepat pada masanya.
Hal ini adalah kerana, dalam jangka masa panjang, ia dapat membantu mengembangkan penempatan penduduk di kawasan Tatau sekali gus membesarkan pekan Tatau.
Tambah beliau lagi, pekan Tatau kini menjadi persinggahan orang ramai sama ada dari arah Sibu atau Bintulu, secara tidak langsung ia menjadikan Tatau sebagai salah sebuah pekan yang berkembang pesat di Bintulu.
Jelas beliau, inisiatif kerajaan ini merupakan salah satu cara terbaik bagi memastikan setiap warga negeri ini sama ada golongan B40 mahupun M40 untuk mempunyai kediaman sendiri dengan kadar harga berpatutan dan mampu milik.
Misalnya, deposit pembayaran bagi setiap lot rumah sebanyak RM10,000 akan dibayar oleh Kerajaan Sarawak, dan pembeli hanya perlu membayar sekitar RM300 sebulan kepada Mutiara Mortgage and Credits Sdn Bhd.
Manakala kos menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, lampu jalan dan saliran perparitan serta kerja-kerja menimbus tanah juga turut ditanggung oleh Kerajaan Sarawak dan apabila projek ini siap nanti, kos infrastruktur ini tidak termasuk dalam harga rumah.
Difahamkan, dana yang diperuntukkan bagi projek tersebut melibatkan dana kerajaan persekutuan sebanyak RM18.5 juta untuk kerja-kerja infrastruktur dan dana kerajaan negeri sebanyak RM15 juta untuk kerja-kerja perumahan.