- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Inisiatif Pengurusan Dan Penjagaan Alam Sekitar BDA

Must read

Penyertaan kali pertama Lembaga Kemajuan Bintulu atau lebih dikenali dengan singkatan BDA (Bintulu Development Authority) dalam Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) Ke-10 2021/2022 secara tidak langsung memperlihatkan peningkatan produktiviti, kecekapan dan komitmen BDA yang positif dan signifikan terhadap kelestarian dan pengawasan alam sekitar.

PSEA dianjurkan bertujuan untuk mengiktiraf, menggalakkan sektor perniagaan, perindustrian, sektor swasta mahupun sektor awam di Sarawak agar mencapai kemajuan di samping mengutamakan pengurusan alam sekitar yang baik.

Dalam acara anugerah tersebut, BDA berjaya menerima Anugerah Emas di bawah kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut Pengurus Besar BDA, YBhg Datu Haji Muhamad Yakup bin Kari, kerjasama, komitmen serta kemahiran dan semangat berpasukan yang ditonjolkan oleh pegawai dan kakitangan yang terlibat telah membawa kejayaan kepada BDA melepasi kedua-dua saringan, iaitu di peringkat penilaian laporan Self-Evaluated Environmental Performance Report (SeEPR) dan penilaian di lapangan.

Beliau yang ditemu bual RAKAN Sarawak berkongsi tentang inisiatif alam sekitar seperti yang terkandung dalam laporan SeEPR yang disediakan oleh pihak BDA untuk penilaian PSEA Ke-10 2021/2022.

Jelas beliau, selaras dengan pelancaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 pada Julai 2021 bagi mencapai Sarawak maju menjelang tahun 2030, BDA segera mengorak langkah dengan menyusun program-program yang diaspirasikan dalam pelan strategi tersebut.

Memandangkan penilaian PSEA Ke-10 dibuat bagi tempoh dari tahun 2021 hingga 2022 berdasarkan laporan (SeEPR) dan penilaian di lapangan, BDA membuat persiapan dengan menubuhkan BDA Environmental Task Force bagi meneliti keperluan laporan, menyusun semula program dalam PCDS 2030 yang telah dijalankan serta menyediakan laporan lengkap bagi tujuan penyertaan PSEA Ke-10 mengikut format yang ditetapkan oleh jawatankuasa PSEA.

Laporan tersebut turut mengandungi Polisi Alam Sekitar BDA yang menyatakan komitmen pengurusan tertinggi BDA dalam hal pengurusan dan perlindungan alam sekitar.

Polisi alam sekitar yang ditetapkan menjadi hala tuju dan asas kepada kakitangan BDA dalam melaksanakan inisiatif kelestarian alam sekitar.

Di bawah polisi tersebut, BDA sebagai PBT berhasrat menjadikan Bintulu sebuah Bandar Mesra Perindustrian dan komited untuk menyediakan pembangunan terancang dan perkhidmatan perbandaran yang berorientasikan rakyat sambil memelihara alam sekitar.

Polisi Alam Sekitar BDA

Polisi Alam Sekitar BDA:

  • Menjimatkan tenaga, memelihara flora dan fauna dan lain-lain sumber dengan meningkatkan kecekapan dan penggunaan teknologi yang lebih baik.
  • Mengurangkan pencemaran tanah dan air melalui program komuniti mampan.
  • Mematuhi keperluan undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan perlindungan alam sekitar, mengawal pencemaran dan sumber semula jadi.
  • Memupuk budaya kerja melalui pendidikan berterusan dan latihan yang berkesan.

BDA akan sentiasa mengkaji semula polisi berkenaan supaya dapat diteruskan mengikut kesesuaian dan pelaksanaan yang berkesan.

Susulan itu, BDA memperkenalkan Program Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dengan mengenal pasti dan melaksanakan tiga (3) buah projek dan tiga (3) inisiatif alam sekitar untuk mencapai matlamat polisi alam sekitar yang telah ditetapkan.

Ringkasan Tiga (3) Projek EMP BDA:

  1. Projek Returns of Organic Waste

Projek dijalankan dengan objektif untuk mengurangkan dan mengitar semula sisa buangan di Pasar Utama Bintulu, membekalkan kompos organik dalam lingkungan kawasan operasi BDA dan bagi mendidik serta mewujudkan kesedaran dalam kalangan peniaga untuk bersama-sama mengurangkan pencemaran tanah dan air.

Sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan untuk mencapai pengurangan 70% sisa buangan dari pasar basah dan menghasilkan kira-kira 20-30% kompos organik.

Konsep menukar sisa organik menjadi kompos organik dengan menggunakan mesin khas dapat membantu mengurangkan pencemaran dan pelepasan gas tapak pelupusan (LFG) yang terhasil daripada tindak balas kimia dan aktiviti mikroorganisma semasa proses degradasi bahan buangan di pusat pelupusan sampah.

Proses pengumpulan sisa buangan dari pasar basah yang akan digunakan dalam penghasilan kompos organik

Proses tersebut didapati berjaya mengurangkan kira-kira 80% daripada sisa organik yang telah dimuatkan ke dalam mesin kompos dengan kapasiti muatan lebih 50 kilogram (kg) sehari.

Hasilnya, Pasar Utama Bintulu mampu membekalkan 20-30% daripada jumlah kuantiti input sisa organik yang dapat menghasilkan kompos organik untuk dijadikan baja semula jadi dan makanan pembuka selera untuk haiwan.

  • Projek Back to Nature

Projek Back to Nature dilaksanakan bertujuan untuk memperkaya kandungan organik dan meningkatkan kesuburan tanah bagi tujuan pengindahan landskap dan tumbuhan yang sihat, menambah baik persekitaran semula jadi dengan menghasilkan produk daripada bahan buangan serta bagi menjaga kebersihan bandar Bintulu melalui penggunaan daun kering yang didapati di sepanjang jalan dan di taman untuk dikitar semula.

Para pekerja perbandaran sedang mengisar daun kering menggunakan mesin pengisar bagi menghasilkan campuran baja organik untuk kegunaan di tapak semaian
Campuran tanah dan kompos

Menerusi projek ini, BDA menyasarkan untuk menghasilkan 800kg jumlah minimum kompos daun kering setahun yang mampu memperkayakan tanah dan mengimbangi ketumpatan tanah.

Pelaksanaan projek tersebut telah berjaya menghasilkan 1,000 kg kompos daun kering di tapak semaian.

Bahan kompos digunakan pada anak benih di tapak semaian selain menambah kesuburan tanah untuk pokok yang ditanam di sekitar bandar Bintulu. Penjimatan kos di tapak semaian juga dapat dilakukan hasil daripada pelaksanaan projek berkenaan.

  • Projek Nature-Based Fertilizer and Animal Appetizer

Projek ini dilaksanakan bagi mengekalkan amalan baik pengurusan alam sekitar menerusi proses pengurangan dan kitar semula sisa perbandaran serta mengurangkan perbelanjaan baja komersial dan makanan haiwan.

Kakitangan-kakitangan BDA yang terlibat dalam projek Nature-Based Fertilizer and Animal Appetizer mengadakan lawatan di lapangan

Selain itu, projek berkenaan juga bertujuan untuk meningkatkan prestasi pertumbuhan tanaman dan haiwan berdasarkan pada kaedah penghasilan bahan buangan menjadi bahan kompos di samping mewujudkan kesedaran awam terhadap produk BDA yang berasaskan kelestarian alam sekitar.

Melalui projek tersebut, BDA menyasarkan pengurangan 50% kebergantungan terhadap baja komersial dan dalam membangunkan projek, kerjasama daripada kepakaran universiti tempatan akan dijalankan bagi mengenal pasti komposisi nutrien yang terkandung dalam kompos selain mempelbagaikan produk yang boleh mengurangkan kebergantungan terhadap baja komersial dan makanan haiwan di kawasan operasi BDA.

BDA berhasrat untuk meneruskan projek berkenaan pada masa akan datang dalam usaha memperkenalkan jenama produknya yang berasaskan alam semula jadi selain mewujudkan kesedaran dalam kalangan komuniti Bintulu.

Inisiatif Alam Sekitar BDA

  1. Program Penanaman Pokok dan Penjagaan Landskap

BDA menyasarkan menanam 500 pokok setahun dengan objektif untuk mengurangkan aliran air deras daripada hujan lebat, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam penanaman pokok dan pemeliharaan tanah.

Pengurus Besar BDA, Datu Haji Muhamad Yakup bin Kari turut serta dalam program menanam pokok anjuran BDA di sekitar bandar Bintulu
  • Program Pengurusan Pembersihan Sisa Pepejal dan Longkang

Pungutan sampah domestik di kawasan kediaman dan komersial dilakukan dua (2) kali seminggu. Pasukan khas digerakkan ke kawasan-kawasan yang memerlukan perhatian yang lebih untuk pungutan sampah secara pukal.

Inisiatif ini dijalankan bagi memastikan pungutan sampah dilakukan dengan lancar, mengikut jadual dan prosedur operasi standard (SOP) di samping mengurangkan aduan awam dengan menyediakan perkhidmatan pungutan sampah yang berkualiti.

Pihak BDA turut menjalankan pembersihan longkang monsun dan longkang perimeter untuk membuang serpihan sisa pepejal yang terperangkap hingga menyebabkan longkang tersumbat, seterusnya mendatangkan bau busuk yang akan memberi kesan terhadap kesihatan awam.

Penglibatan komuniti, pemain industri termasuk NGO dalam aktiviti pembersihan secara gotong-royong dan aktiviti kitar semula bersama BDA juga giat dijalankan.

  • Program Tumbina (TUMbuhan dan BINAtang)

Taman Tumbina memainkan peranan penting kepada BDA dalam memulihara pembangunan flora dan fauna, hidupan liar dan haiwan dalam kawasan pentadbiran BDA.

Aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan dalam Taman Tumbina

Pewujudan Taman Tumbina telah meningkatkan kesedaran orang awam tentang kecintaan terhadap flora dan fauna dan sumbangan komuniti dalam perlindungan alam sekitar.

Selain itu, hubungan di antara BDA dengan orang awam dan badan-badan korporat juga dapat ditingkatkan melalui penganjuran aktiviti berkaitan pemuliharaan alam sekitar di taman berkenaan.

Taman Tumbina mempunyai keluasan kira-kira 57 hektar dan telah diisytiharkan sebagai Kawasan Khas di bawah Ordinan Taman Awam dan Hijau, 1993 pada 17 Jun 1993.

Lokasinya juga strategik, iaitu terletak di sebuah tapak yang menghadap Laut China Selatan, pusat bandar dan kawasan perindustrian Tanjong Kidurong.

Amalan Baik Dalam Pengurusan dan Pelaksanaan Projek

BDA secara dasarnya adalah sebuah agensi yang ditubuhkan di bawah Ordinan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) 1978 sebagai agensi utama yang menyelaras projek-projek pembangunan dan pada masa yang sama boleh melaksanakan projek-projek sendiri.

Di bawah ordinan tersebut, BDA menjaga perancangan fizikal dan pembangunan di Bintulu, meliputi keseluruhan Bahagian Bintulu yang seluas 12,757 kilometer (km) persegi termasuk 5 km di luar pantai Bintulu.

Dalam menjalankan tanggungjawab di bawah bidang kuasanya, BDA menerapkan elemen pengurusan dan amalan baik alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam melaksanakan projek-projek pembangunan yang dikendalikan.

Jelas Datu Haji Muhamad Yakup, amalan baik dalam pengurusan projek bermula dari perancangan awal projek melalui Jawatankuasa Perancangan Projek (PPC) yang diadakan setahun sekali dan setiap projek baharu akan dibentangkan oleh jawatankuasa tersebut.

Projek yang dibentangkan telah melalui proses seperti dialog, surat permohonan dan juga isu-isu yang dipohon oleh penduduk setempat.

Proses yang seterusnya ialah tapisan oleh pihak pengurusan untuk dimasukkan ke dalam senarai projek yang akan dilaksanakan oleh BDA untuk tahun berikutnya.

Di peringkat seterusnya, Jawatankuasa Pemantauan Projek akan memastikan projek yang dirancang dilaksanakan mengikut perancangan.

Jawatankuasa berkenaan akan memastikan projek yang dianugerahkan kepada kontraktor dilaksanakan mengikut jadual mengikut skop dan bajet yang telah ditetapkan.

Setelah projek dianugerahkan, mesyuarat bersama pihak kontraktor akan diadakan secara berjadual selain pemantauan di lapangan semasa projek sedang berjalan.

Dari segi pelaksanaan projek, BDA menurut Datu Haji Muhamad Yakup turut mengguna pakai elemen bangunan hijau seperti Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH), penggunaan lampu solar serta lampu LED di taman-taman permainan kanak-kanak termasuklah menyediakan dan mengekalkan kawasan landskap di sekitar Bintulu.

Di peringkat tersebut, BDA akan merujuk pada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memastikan sama ada sesuatu projek memerlukan penilaian EIA (Environmental Impact Assessment) dan mendapatkan khidmat nasihat Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak untuk Environmental Management Plan (EMP) termasuk Environmental Monitoring Report (EMR).

Peta menunjukkan keseluruhan kawasan pentadbiran BDA

Perancangan Masa Depan

Mengenai perancangan masa depan, BDA bakal membangunkan pelan Bandar Pintar Bintulu pada tahun 2024 selain membangunkan pelan strategi baharu yang merangkumi cadangan visi, misi baharu dan strategi ke arah mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar yang selari dengan PCDS 2030.

Pelan strategi baharu tersebut adalah hasil daripada penganjuran sesi pre-retreat pada 3 dan 4 Disember 2022 dan disusuli dengan retreat di peringkat dalaman organidasi pada pada 10 hingga 14 Februari 2023.

Tambah Pengurus Besar BDA, rancangan masa depan BDA yang lain termasuklah mengadakan lebih banyak kolaborasi dengan pihak industri, agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mempertingkatkan lagi usaha dalam memelihara bandar Bintulu dan memastikan kelestarian alam sekitar turut dipraktikkan di organisasi masing-masing.

Selain itu, BDA juga merancang untuk menyusun semula prosedur dan polisi berkaitan kelestarian dan pengawasan alam sekitar.

Mengenai Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA)

Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) yang dahulu dinamakan Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak (CMEA), diperkenalkan pada 2001 oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) dengan kerjasama Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).

Acara penganugerahan yang diadakan setiap dua (2) tahun sekali bertujuan untuk mengiktiraf, menggalakkan sektor perniagaan, perindustrian, sektor awam serta swasta di Sarawak agar mencapai kemajuan di samping mengutamakan pengurusan alam sekitar yang baik.

Majlis penyampaian anugerah PSEA Ke-10 (2021/2022) telah diadakan pada Disember 2022 dengan tema ‘Redefining Sustainability in Environmental Stewardship’.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article