- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

IoT Asas Pembangunan Bandar Pintar

Must read

Konsep bandar pintar semakin mendapat tempat di kebanyakan negara kerana kemunculan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) seperti penyelesaian internet pelbagai benda (IoT), kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analisis data raya dan sebagainya.

Bandar pintar adalah trend pembangunan baharu yang dilaksanakan di banyak negara di seluruh dunia dan beberapa buah bandar yang aktif dalam melaksanakan strategi bandar pintar ini termasuklah Amsterdam, Barcelona, Seoul, Stockholm, Singapura, Phuket dan Jakarta.

Pembangunan bandar pintar yang terancang, bersepadu dan holistik amat penting bagi memastikan Malaysia khasnya dan Sarawak amnya sentiasa seiring dengan arus pembangunan perbandaran di peringkat global.

Secara dasarnya, Bandar Pintar menggunakan pelbagai jenis penderia pengurusan pengumpulan data elektronik untuk membekalkan maklumat yang digunakan bagi mengurus aset dan sumber dengan cekap.

Ia termasuk data yang dikumpulkan dari masyarakat, peranti dan aset yang diproses dan dianalisis untuk memantau dan mengurus sistem lalu lintas dan pengangkutan, loji kuasa, rangkaian bekalan air, pengurusan sisa, penguatkuasaan undang-undang, sistem maklumat dan sebagainya.

Hakikatnya, inilah yang diidam-idamkan oleh semua para pembangun konsep bandar pintar, iaitu suatu sistem yang menggabungkan pelbagai teknologi dan sistem canggih seperti Internet Benda (IoT) yang dapat menambah baik kualiti hidup rakyat.

Penggunaan teknologi Internet Benda (IoT) adalah asas penting kepada pembangunan bandar pintar

IoT adalah gabungan alat-alat pintar yang menghasilkan data melalui penderia-penderia untuk menghasilkan maklumat dan ilmu yang baharu justeru, IoT disifatkan sebagai suatu penyelesaian yang lengkap, dengan menggunapakai tiga teknologi teras, iaitu:

  1. Benda-benda yang terhubung melalui penderia
  2. Infrastruktur dan jalinan
  3. Analisis dan aplikasi

Dengan kata lain, IoT bermaksud setiap satu benda yang ada di sekitar kita adalah terhubung dengan manusia dan juga dengan lain-lain benda di dalam persekitaran. Setiap satu perhubungan ini menghasilkan data yang boleh dianalisis dan digarap untuk menghasilkan aplikasi-aplikasi pintar.

Dengan ketiga-tiga teknologi teras ini, akan terjalinlah perhubungan pintar antara manusia dan benda-benda di sekitarnya untuk saling bertukar maklumat dan menjana suatu penghasilan yang baharu.

Dengan IoT, sesebuah bandar pintar sentiasa menghasilkan data sama ada data dari telefon pintar, ataupun peranti-peranti pintar seperti jam pintar dan alat-alat peranti peribadi yang lain.

Penderia-penderia yang tertanam di sekitar kita juga mampu menghasilkan data yang mengukur pergerakan manusia, jumlah manusia di sesuatu tempat, jumlah tenaga yang sedang digunakan dan sebagainya.

Data yang terhasil dikumpulkan di atas sebuah pelantar perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia-penyedia pelantar seperti Telekom Malaysia atau mana-mana penyedia perkhidmatan yang lain.

Dengan proses penghasilan, pengumpulan, perkongsian, penggubahan dan penggunaan data dari bandar-bandar pintar yang diperkasakan dengan teknologi IoT, maka lengkaplah ekosistem bandar pintar ini.

Tetapi perlu ditekankan di sini bahawa faktor utama yang membolehkan data dihasil, dikumpul, dikongsi, digubah dan diguna adalah apabila data ini dapat dihantar ke pihak-pihak yang sepatutnya dengan pantas, efisien dan selamat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article