- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Program Pementoran Pertingkat Kecekapan Perkhidmatan Awam

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak January – March 2020 –

Program Pementoran Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) mula diperkenalkan kepada penjawat awam negeri pada tahun 2013.

Tujuan program tersebut dilaksanakan adalah bagi memberi bimbingan, sokongan dan bantuan oleh mentor kepada mentee untuk meningkatkan kecekapan kerja berdasarkan tugas dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

Unit Sumber Manusia Negeri Sarawak (USMN) ialah Urus Setia Program Pementoran PANS melalui pegawai dari Seksyen Pembangunan Pekerja, Bahagian Sokongan di unit berkenaan.

Setelah diperkenalkan, USMN telah mengedarkan satu garis panduan, iaitu Garis Panduan Pelaksanaan Program Pementoran dalam PANS yang telah pun disemak semula dengan menambah elemen kepimpinan untuk menjelaskan skop, konsep, mekanisme pelaksanaan, kaedah penilaian serta pelaporan program berkenaan.

Matlamat utama garis panduan berkenaan adalah untuk memberi kefahaman dan menyeragamkan prosedur pelaksanaan Program Pementoran di semua peringkat termasuk Kementerian, Jabatan, Unit serta Agensi dalam PANS.

Program Pementoran PANS mampu melahirkan penjawat awam yang berintegriti serta berdaya saing

Program Pementoran PANS dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Program Pementoran Asas untuk pegawai lantikan baharu dan Program Pementoran Kepimpinan, khusus untuk pegawai yang berada di gred kenaikan pangkat.

Dalam Program Pementoran Asas, seseorang mentor yang cekap bertanggungjawab dalam melaksanakan pemindahan atau penyampaian pengetahuan kerja atau pengalaman yang dimiliki di samping menggalakkan mentee melaksanakan tugas kendiri dengan menekankan pada kemahiran peribadi dan hubungan sesama manusia, kompetensi profesional dan pembudayaan Enam Nilai Bersama PANS.

Manakala, Program Pementoran Kepimpinan pula bertujuan untuk memberi bimbingan, sokongan dan bantuan secara profesional oleh mentor bagi memperkasa keupayaan mentee yang berpotensi sebagai pemimpin dalam organisasi melalui kaedah ‘coaching’ dan ‘mentoring’.

Dalam Program Pementoran Asas, seseorang mentor yang cekap bertanggungjawab dalam melaksanakan pemindahan atau penyampaian pengetahuan kerja atau pengalaman yang dimiliki

Daripada segi pelaksanaan, pelantikan mentor untuk Program Pementoran Asas adalah di kalangan pegawai-pegawai berdasarkan skim perkhidmatan atau kekananan atau gred seseorang di dalam sesebuah organisasi dan mentee ialah semua pegawai lantikan pertama di gred lantikan (Gred 11, 19, 29 dan 41).

Bagi pelaksanaan mentoring dalam Program Pementoran Kepimpinan, Ketua Jabatan atau pegawai-pegawai dilantik secara automatik berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam garis panduan.

Mentee terdiri daripada pegawai yang berada di gred kenaikan pangkat (Gred 44, 48, 52 dan 54) yang menepati syarat yang telah ditetapkan juga dalam Garis Panduan Pementoran PANS.

Program Pementoran PANS dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Program Pementoran Asas untuk pegawai lantikan baharu dan Program Pementoran Kepimpinan, khusus untuk pegawai yang berada di gred kenaikan pangkat

Skop pementoran dalam PANS meliputi kaedah seseorang mentor berkongsi pengetahuan serta sokongan kepada perkembangan mentee yang berada di gred lantikan baharu atau kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam negeri.

Tempoh pelaksanaan Program Pementoran Asas adalah selama setahun untuk setiap kumpulan dan program akan bermula sejurus selepas mentee melaporkan diri di jabatan masing-masing manakala Program Pementoran Kepimpinan pula boleh dilaksanakan pada bila-bila masa.

Semua pegawai lantikan baharu dalam tempoh percubaan untuk mengikuti Program Pementoran Asas.

Skop pementoran dalam PANS meliputi kaedah seseorang mentor berkongsi pengetahuan serta sokongan kepada perkembangan mentee

Tempoh pelaksanaan bagi Program Pementoran Kepimpinan adalah selama setahun. Kekerapan pegawai menjadi mentee dalam program ini adalah satu hingga tiga kali bergantung pada gred semasa dan keperluan pegawai.

Semua kementerian, jabatan atau agensi dalam perkhidmatan awam negeri adalah bertanggungjawab dalam memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan, penilaian serta pelaporan sebagai mana yang ditetapkan dalam garis panduan.

Penyertaan pegawai dalam Program Pementoran mesti dimasukkan sebagai salah satu aktiviti dalam Sasaran Kerja Tahunan (SKT) pegawai pada tahun dinilai, iaitu wajaran markah ialah sebanyak lima peratus bagi penglibatan pegawai dalam program pementoran pada tahun yang dinilai.

Kejayaan pelaksanaan Program Pementoran PANS memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat termasuklah mentor, mentee, pegawai psikologi, urus setia negeri dan urus setia di peringkat Kementerian, Unit dan Agensi.

Di akhir pelaksanaan Program Pementoran dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, mentee akan dapat: –

(a) Memperkasa keupayaan dan pembangunan diri sebagai pemimpin,

(b) Meneladani gaya kepimpinan mentor untuk diterapkan secara lestari dalam organisasi,

(c) Memahami pandangan dunia seseorang pemimpin yang berkemahiran mengurus peribadi dalam membangunkan kerjaya pegawai untuk mencapai kecemerlangan organisasi,

(d) Mempertingkatkan kompetensi diri untuk menjadi pemimpin pelapis bagi organisasi; dan

(e) Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

Sumber:

  1. Pekeliling Perjawatan Negeri sarawak Bilangan 2 Tahun 2019 (Ruj. 20 /JKM/SHRU/EA/100-2/1 JLD.1 Bertarikh 11 Januari 2019
  2. Garis Panduan Program Pementoran Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Unit Sumber Manusia Negeri
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article