- Advertisement -spot_img
4,799
published news
and counting

Ombudsman Tingkatkan Aspek Semak Dan Imbang

Must read

Satu sistem perundangan ombudsman bakal dilaksanakan di Sarawak sebagai langkah untuk meningkatkan lagi aspek ‘semak dan imbang’ dalam pentadbiran negeri ini.

Menurut Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, sistem perundangan ombudsman telah lama diamalkan di Sweden dan kajian mengenainya akan dijalankan dalam usaha untuk mewujudkan sistem yang sama di negeri ini.

Sehubungan dengan itu, beliau bersama dengan pihak Peguam Negeri dan pihak berkepentingan akan melawat Sweden bagi mengkaji secara menyeluruh mengenai sistem berkenaan dan akan melaporkannya kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).

Cadangan tersebut disuarakan ketika beliau merasmikan Seminar Kolaborasi dan Pencegahan Jenayah Kewangan di Kuching pada Jun lepas.

Walaupun Sarawak sudah mempunyai sistem ombudsman di bawah seorang Timbalan Menteri dan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlatih, sistem yang lebih mendalam perlu diwujudkan, iaitu proses semak dan imbang dilakukan bukan di bawah satu jabatan sahaja, jelas beliau.

Hasil daripada kajian tersebut akan menjadi asas kepada Kerajaan Sarawak untuk merangka rang undang-undang berkaitan sistem perundangan berkenaan dan bakal dibentangkan pada Persidangan DUN Sarawak hujung tahun ini (2023).

Sistem perundangan ombudsman yang dicadangkan itu lebih bertanggungjawab dan mengambil pendekatan kesemua ahli DUN hendaklah bertanggungjawab dan tertakluk pada DUN.

Rang undang-undang yang mencadangkan penubuhan sistem perundangan ombudsman bakal dibentangkan pada Persidangan DUN Sarawak hujung tahun ini (2023)

Jelas Premier Sarawak, Sweden dijadikan negara contoh kerana sistem ombudsman di negara Scandinavia tersebut membolehkan amalan semak dan imbang dapat dilakukan oleh wakil rakyat tanpa mengira sama ada mereka penyokong kerajaan ataupun sebaliknya dan dapat mewujudkan pentadbiran kerajaan yang tidak berat sebelah.

Secara amnya, ombudsman adalah badan rasmi ataupun separa rasmi yang bertanggungjawab menerima dan menyiasat aduan daripada orang awam yang tidak berpuas hati dengan perkara yang melibatkan jentera kerajaan.

Dari segi definisi, ombudsman bermaksud pegawai atau badan rasmi ataupun separa rasmi yang bertanggungjawab menerima dan menyiasat aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan apa-apa perkara yang berkaitan dengan jentera kerajaan (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Sistem ombudsman di Sweden membolehkan amalan semak dan imbang dilakukan oleh wakil rakyat sama ada penyokong kerajaan ataupun sebaliknya

Ombudsman mula diperkenalkan di Sweden pada tahun 1809 apabila tertubuhnya Pejabat Ombudsman Parlimen yang berhubung kait dengan penggunaan instrumen kerajaan yang berkuatkuasa pada tahun yang sama.

Ombudsman Parlimen (JO) dilantik oleh Riksdag, (Parlimen) Sweden untuk memastikan pihak berkuasa awam dan kakitangan mematuhi undang-undang dan statut lain yang mengawal tindakan mereka.

Pada asalnya, jawatan ombudsman dicipta di Sweden pada tahun 1800-an. Parlimen Sweden melantik ombudsman untuk menyelesaikan masalah sukar tanpa kehadiran raja negara tersebut yang diculik pada suatu ketika.

Seterusnya, dalam pembaharuan perlembagaan Sweden pada 1809, pentadbiran negara tersebut memutuskan untuk menubuhkan seorang pegawai undang-undang tinggi yang dipilih oleh parlimen yang dipanggil ‘Ombudsman Tinggi’ bagi menyelia kesahihan aktiviti kerajaan dan pentadbiran awam secara amnya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article