- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kerajaan Sarawak Komited Bangunkan Tapak ‘Dabai Belt’

Must read

Tidak dinafikan, Daerah Song dan Kanowit amat berpotensi untuk pembangunan aktiviti pertanian malah, kawasan tersebut mampu meningkatkan lagi sosioekonomi penduduknya jika ia diuruskan secara komersial dan sistematik.

Rentetan itu, kerajaan mencadangkan agar penanaman pokok dabai dan durian dibangunkan di kawasan tersebut kerana ia amat bersesuaian berdasarkan faktor tanah serta keadaan geografi.

Dabai antara spesies buah eksotik bermusim yang kian mendapat perhatian pengusaha tempatan dalam menghasilkan produk hiliran.

Buah dabai yang telah matang (Sumber:ibupertiwikusarawak.blogspot.com)

Kewujudan buah dabai ini telah membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk menghasilkan pelbagai produk inovasi berasaskan buahnya.

Sejak beberapa tahun yang lalu, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif untuk mengubah teknik dan jenis pertanian yang ingin dimajukan bagi meningkatkan pasaran yang lebih baik dan pendapatan yang terjamin dalam sektor pertanian di Daerah Kanowit dan Song.

Misalnya, kerajaan menerusi Jabatan Pertanian telah melaksanakan pelbagai program pembangunan pertanian seperti projek tanaman sayur sistem jejaring, tanaman kontan, ladang, penanaman buah-buahan bermusim dan tidak bermusim, tanaman sayur sistem terbuka dan sebagainya.

Antara produk-produk daripada buah dabai yang terdapat di booth jualan (Sumber: FB Jabatan Pertanian Sarawak)

Program pembangunan pertanian yang dilaksanakan ini adalah sebagai mekanisme untuk membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana menjana pendapatan mereka.

Salah satu keistimewaan Kanowit dan Song ialah, ia terkenal dengan buah dabai dan kebanyakan buah dabai yang dijual di pasar Sibu berasal dari kawasan ini dan sering mendapat permintaan tinggi kerana kelunakan isi dan rasanya yang lebih sedap berbanding dengan dabai dari tempat lain.

Kerana itu, Kerajaan Sarawak menerusi M-FICORD telah membuat keputusan untuk membangunkan tapak ‘dabai belt’ di kawasan ini.

Menurut Setiausaha Tetap M-FICORD, YBhg. Encik Sirai Daha, kementeriannya telah mengenal pasti kawasan seluas lebih 40,000 hektar di antara Daerah Song dan Ngemah di Kanowit untuk dijadikan sebagai tapak pembangunan ‘dabai belt’ kerana kawasan itu telah dikenal pasti sebagai kawasan yang menghasilkan buah dabai terbaik.

Tambah beliau, M-FICORD sudah mempunyai kajian Pelan Induk Song/Ngemah yang akan merangkumi tumbuhan lain yang sesuai untuk kawasan itu.

Menurut beliau, tidak semua tempat di Song atau Ngemah sesuai untuk tanaman dabai, kerana itu, pihak mereka sudah melantik Konsortium Malaysia sebagai perunding untuk mengendalikan kajian itu.

Kajian yang akan dijalankan selama enam bulan itu dijangka akan bermula pada Ogos atau September tahun ini.

Pada masa yang sama, beliau turut menyentuh tentang ‘tapah belt‘ di Binyo, Bintulu dan ‘empurau belt‘ di Katibas, Song, di mana fokus M-FICORD adalah untuk mewujudkan pusat penyelidikan spesies ikan asli tertentu mengikut asal-usul haiwan itu sendiri.

Jelas beliau, Kerajaan menerusi M-FICORD mahu membangunkan pusat yang terdapat banyak spesies ikan, contohnya di Binyo yang terdapat banyak ikan tapah.

Begitu juga dengan empurau yang terkenal di Batang Katibas, di mana sumber anak ikan empurau yang dibawa ke Stesen Pertanian Tarat adalah dari Batang Katibas dan Baram, justeru pusat penyelidikan wajar diwujudkan di situ bagi meningkatkan populasi ikan.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa beberapa kawasan akan terjejas akibat aktiviti perladangan, tetapi setelah ia diisytiharku sebagai ‘belt‘, maka kawasan tersebut akan dipulihara.

Maknanya, jika ada permohonan masyarakat untuk membangunkan kawasan tersebut yang boleh mengganggu persekitaran spesies ikan, kerajaan tidak mungkin menyokong permohonan tersebut.

Beliau memaklumkan perkara ini ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Pertanian menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Pegawai-Pegawai Kanan (Senior Officers’ Conference) 2023 anjuran Jabatan Pertanian Sarawak di Sibu pada 5 Julai 2023.

Setiausaha Tetap M-FICORD, YBhg. Encik Sirai Daha ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pegawai-Pegawai Kanan (Senior Officers’ Conference) 2023 (Sumber: FB Jabatan Pertanian Sarawak)

Persidangan yang bertemakan “Ke arah Agri-makanan Mampan” berlangsung dari 5 – 7 Julai 2023 merupakan platform untuk pembuat dasar, penyelidik, ahli akademik, pemain industri, agensi Kerajaan dan pengamal untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman, idea inovatif, pendekatan praktikal dan berkesan serta model perniagaan baharu untuk memajukan pembangunan sektor pertanian di Sarawak.

Kira-kira 300 pegawai Jabatan Pertanian Sarawak dan ketua 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Sarawak menyertai persidangan tiga (3) hari itu di mana 30 kertas kerja turut dibentangkan.

Kira-kira 300 pegawai DOA Sarawak dan ketua 28 PPK di seluruh Sarawak menyertai persidangan (Sumber: FB Jabatan Pertanian Sarawak)

PadaPersidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada 23 Mei 2023 (Selasa), Menteri M-FICORD, YB Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak melalui kementeriannya serius dalam usaha mewujudkan tapak dabai belt di Song Ngemah.

Selain mewujudkan tapak ‘dabai belt’, kawasan itu juga akan dijadikan hub penjualan buah dabai sebagai menyediakan peluang kepada pengusaha memberi fokus kepada produk hiliran lain yang boleh dihasilkan.

Setiausaha Tetap M-FICORD diiringi Pengarah Pertanian Sarawak melawat ke pameran produk-produk pertanian (Sumber: FB Jabatan Pertanian Sarawak)

Pembangunan dabai belt merupakan antara usaha untuk mengkomersialkan tanaman asal bernilai tinggi yang terdapat secara semula jadi di bahagian tertentu di negeri ini.

Wilayah Tengah Sarawak terutamanya di daerah Kapit, Song dan Kanowit telah dikenal pasti sebagai tapak cadangan untuk pembangunan dabai belt.

Wilayah tersebut mempunyai anggaran 13,000 pokok dengan purata pengeluaran sebanyak 650 tan metrik setiap musim.

Selaras dengan usaha itu, beliau memberitahu, Jabatan Pertanian Sarawak akan memulakan program berkaitan bagi memulihkan pokok dabai sedia ada di kawasan terlibat menjelang tahun 2024.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article