- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

T-Mega Tanjung Manis sebagai Nadi Pembangunan Wilayah Tengah di Sarawak

Must read

Tanjung Manis yang telah dijadikan sebagai Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-Mega) oleh Kerajaan Sarawak telah menjadi sebuah hub pembangunan industri keutamaan yang bersifat inklusif dalam evolusi pembangunan di Sarawak menjelang 2030.

Rancangan pembangunan infrastruktur keseluruhan oleh kerajaan negeri Sarawak yang diselaraskan dengan projek T-Mega menjadi kayu ukur untuk melengkapkan usaha pembangunan oleh pelbagai agensi dalam pembangunan kawasan tersebut.

Pembangunan T-Mega kini fokus pada pembangunan industri perhutanan yang akan membantu negeri Sarawak berdiri secara kompetitif dalam pasaran domestik dan luar negara.

Penduduk Tanjung Manis mendapat pelbagai manfaat daripada pelaksanaan T-Mega di kawasan tersebut berikutan pembangunan yang inklusif Sumber: Laman Web RECODA

Zon Selatan Tanjung Manis yang mempunyai kawasan perindustrian berasaskan kayu untuk syarikat berasaskan kayu menyokong agenda membangunkan perusahaan di luar bandar secara besar-besaran.

Oleh itu, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) adalah badan yang bertanggungjawab sebagai perancang, pemudah cara dan pelaksana dasar pembangunan kerajaan di Tanjung Manis (Basah, 2023).

Dengan itu PUSAKA juga telah diamanahkan untuk mengembangkan industri buluh di Sarawak sebagai bahan mentah dalam aktiviti perkayuan bagi mencapai tahap minimum kebergantungan terhadap kayu balak.

Selain itu, wilayah tengah di Sarawak yang semakin berkembang ini termasuk Hub Halal Tanjung Manis yang berkeluasan 77,00 hektar dan terletak berhampiran delta Sungai Rajang di Sarawak.

Hab Halal Tanjung Manis  telah membantu dalam pembangunan perniagaan pengeluaran makanan yang berkembang pesat yang merangkumi industri hiliran (akuakultur dan pertanian), industri huluan (pemprosesan makanan) serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurut Portal Rasmi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) (2023), terdapat tiga (3) insentif yang disediakan di Hab Halal Tanjung Manis:

  1. Insentif Penghasilan Makanan Halal
  2. Insentif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).
    1. Insentif untuk Pemain Industri Halal
    1. Insentif untuk Pengusaha Logistik Halal
  3. Potongan Dua Kali Ganda untuk Perbelanjaan Mendapatkan Pensijilan Halal dan Pensijilan Sistem Kualiti dan Piawaian.
Industri yang berpotensi tinggi dalam pelaksanaan Hab Halal Tanjung Manis Sumber: Portal Rasmi MINTRED Sarawak

Pelabuhan Bersepadu Tanjung Manis termasuk Jeti Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Pelabuhan Tanjung Manis serta Jeti Minyak, Gas dan Kimia membantu industri perkapalan di Tanjung Manis menjadikan ia berkemampuan untuk memenuhi permintaan pelabur dan Sarawak mampu memanfaatkan sumber dan peluang sedia ada bagi membangunkan Tanjung Manis.

Fasiliti dan kemudahan yang terdapat di terminal utama Pelabuhan Bersepadu Tanjung Manis Sumber: Laman Web Tanjung Manis Integrated Port Sdn Bhd.
Industri perkapalan di Tanjung Manis tidak ketinggalan untuk berkembang dalam menyokong aktiviti pelaburan di kawasan Tanjung Manis

Tambahan pula, pembangunan T-Mega di Tanjung Manis turut mempunyai dermaga Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Bersepadu sepanjang 600 meter yang selari dengan Sungai Rajang dan ini turut menyumbang kepada aktiviti kejuruteraan marin yang dinamik di kawasan Tanjung Manis (The Regional Corridor Development Authority (RECODA), n.d.).

Pembangunan inovatif di kawasan pelabuhan Tanjung Manis telah menjadi wadah dalam mempromosikan industri yang mampan di Sarawak terutamanya dalam bidang perkapalan serta pengoperasian.

Tanjung Manis akhirnya akan berkembang menjadi pintu masuk import ke wilayah tengah Sarawak, yang merangkumi seluruh delta Sungai Rajang serta tempat-tempat lain.

Inovasi pembangunan pelbagai industri utama di kawasan T-Mega mencerminkan kemampuan Sarawak dalam mencapai projek berimpak tinggi selaras dengan sasaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).

Cadangan Jualan Unik T-Mega Tanjung Manis (Unique Selling Proposition)

Rujukan

Basah, B. A. (2023, Mac 11). Pembangunan T-Mega bersifat inklusif:Hashim. Borneo Post Online Sdn Bhd. Diperoleh pada Ogos 14, 2023, daripada https://www.utusanborneo.com.my/2023/03/11/pembangunan-t-mega-bersifat-inklusif-hashim

Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (2023). Hub Halal Tanjung Manis. Diperoleh pada Ogos 14, 2023, daripada http://mid.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?lang=bm&mod=webpage&sub=page&id=100&menu_id=21&sub_id=129

The Regional Corridor Development Authority (2023). Tanjung Manis Economic Growth Area (T-Mega). Diperoleh pada Ogos 14, 2023, daripada  https://recoda.gov.my/sarawak-corridor-of-renewable-energy/tanjung-manis-economic-growth-area-t-mega/        

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article