Khazanah pertanian di Sarawak yang melimpah ruah berpotensi untuk dibangunkan dengan aktiviti agropelancongan yang boleh membuatkan pelancong menghargai inti pati sebenar tanah, masakan dan tradisi masyarakat tempatan.
Menurut Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, potensi yang dimiliki Sarawak dalam agropelancongan juga dapat dilengkapi dengan ekopelancongan yang boleh memperkayakan lagi pengalaman para pelancong.
Jelas beliau, agropelancongan bukan sahaja mampu menarik kedatangan pelancong, malah juga dapat meningkatkan kehidupan masyarakat dan memudahkan usaha pembangunan luar bandar.
Pelancongan berasaskan komuniti yang merupakan bahagian penting dalam agropelancongan dapat memperkasa penduduk tempatan dengan melibatkan mereka secara langsung dalam aktiviti pelancongan.
Selain daripada membawa faedah ekonomi, penglibatan penduduk dalam agropelancongan juga dapat mengukuhkan nilai dalam memelihara persekitaran pertanian, ekologi dan budaya setempat serta membolehkan penggunaan tanah secara mampan.
Beliau memaklumkan perkara tersebut melalui teks ucapan yang dibacakan oleh YB Datuk Amar Douglas Uggah anak Embas, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II dan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, pada Majlis Perasmian Persidangan dan Ekspo Agropelancongan Sarawak (SatCE) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Persidangan yang berlangsung dari 28 hingga 30 Ogos 2023 menghimpunkan pakar-pakar dari dalam dan luar negara yang berkongsi dan membincangkan topik seperti trend global dan dasar serantau dalam agropelancongan, pelancongan regeneratif, pengeluaran makanan berasaskan komuniti, pelancongan ladang dan petunjuk kemampanan.
Dalam teks ucapan tersebut, Premier Sarawak turut menekankan betapa perlunya komitmen dalam sektor pertanian diutamakan sebelum mengenal pasti kawasan yang boleh dijadikan sebagai destinasi agropelancongan.
Beliau menjelaskan, dengan memastikan sebahagian besar pendapatan yang datang terus daripada hasil pertanian, asas yang kukuh untuk pertumbuhan yang mampan boleh diwujudkan sebelum sektor pelancongan disegerakan dan dipromosikan.
Tatkala Sarawak menceburi sektor agropelancongan, peluang keusahawanan juga dibuka melalui perkhidmatan perhotelan seperti inap desa, pemandu pelancong dan produk pertanian hiliran.
Kesemua aktiviti berkenaan bakal mewujudkan ekosistem pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat bukan Sahaja kepada pelawat, malah juga kepada usahawan dan komuniti tempatan.
Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030, agropelancongan memainkan peranan penting dalam inisiatif tersebut yang memberi tumpuan kepada keterangkuman sosial dan memacu faedah ekonomi dan sosial untuk seluruh rakyat Sarawak.
Menerusi usaha mempelbagaikan aliran pendapatan dan meneroka peluang perniagaan hiliran dalam agropelancongan, Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan kemiskinan.
Tambah beliau, biarpun agropelancongan bukanlah sektor baharu, potensinya di rantau ini kekal berada di peringkat awal.
Sarawak mempunyai ladang, infrastruktur dan kemudahan sedia ada yang boleh dipromosikan secara strategik untuk meletakkan negeri ini berada di hadapan dalam agropelancongan.
Melalui produk pelancongan tersendiri dan unik yang ditawarkan, Premier Sarawak yakin bahawa agropelancongan dapat meingkatkan pengiktirafan Sarawak melebihi tawaran biasa dalam promosi pelancongan.
Menyentuh mengenai penganjuran SatCE 2023, persidangan tersebut mampu menggalakkan pelaburan dalam ekosistem agropelancongan, selain menggalakkan pembangunan infrastruktur baharu, pusat penginapan, pengeluaran makanan hiliran, perkhidmatan pelancongan dan banyak lagi.
Selain itu, agropelancongan bukan sahaja membawa keuntungan dan faedah ekonomi, malah juga mampu membangunkan luar bandar dengan penyertaan masyarakat serta membuka peluang pekerjaan, tambah beliau.
Majlis perasmian SatCE 2023 turut dihadiri oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, YB Dato Sri Dr Stephen Rundi anak Utom.