- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

PPES Ternak Pembekal Daging Lembu Halal Dan Segar Di Sarawak

Must read

PPES Ternak telah beroperasi selama 39 tahun sejak 1983 setelah mengambil alih syarikat Maju Ternak dan kini telah diiktiraf sebagai pembekal utama lembu di Sarawak.

Kompleks Halal Abattoir, Siburan yang dibangunkan di kawasan seluas 20 ekar

PPES Ternak beroperasi di Jalan Mersawa, Bintawa Industrial Estate dari 1983 sehingga 2019 dalam skala yang kecil (mini abattoir), kemudian dalam tahun 2019, PPES Ternak telah berpindah ke Kompleks Halal Abattoir, Siburan.

Menurut Pengurus Besar PPES Ternak, Encik Artino bin Arshad, Kompleks Halal Abattoir, Siburan adalah seluas 20 ekar namun hanya 10 ekar kawasan telah dibangunkan setakat ini.

Pengurus Besar PPES Ternak, Encik Artino bin Arshad ketika ditemu bual oleh RAKAN Sarawak

Antara kemudahan yang terdapat di Kompleks Halal Abattoir, Siburan ialah kuarters pekerja (single storey terrace) sebanyak empat (4) unit, bangunan pentadbiran, bangunan rumah sembelih dan fidlot.

Kapasiti penyembelihan pula adalah sebanyak 100 ekor lembu, 50 ekor kambing dan 50 ekor rusa sehari manakala, kapasiti fidlot adalah sebanyak 1,000 ekor lembu pada satu masa.

Pada 2021, pihak pengurusan telah mengenal pasti masalah untuk penyimpanan (storage) yang agak terhad dan akhirnya atas persetujuan ahli lembaga, kandang baharu telah dibina dengan kapasiti 800 ekor lembu, bermakna kapasiti fidlot di Kompleks Halal Abattoir Siburan kini adalah 1,000 ekor lembu.

Fidlot dengan kapasiti 1,000 ekor lembu pada satu-satu masa

Selain di Kompleks Halal Abattoir Siburan, beliau memberitahu, PPES Ternak juga memiliki ladang di Karabungan Miri seluas 580 ekar dengan kapasiti pegangan 800 ekor lembu.

Menurut beliau, ladang di Karabungan Miri berfungsi sebagai stesen induk lembu import dan aktiviti utamanya termasuk penggemukan serta menternak kambing dan rusa.

Ladang itu juga telah menjalankan pembekalan lembu di seluruh Sarawak terutamanya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) untuk integrasi lembu dan penjualan ternakan kepada pekebun kecil.

Dari segi penyembelihan, kapasiti PPES Ternak boleh menyembelih sehingga maksimum 100 ekor dalam masa satu hari.

Mesin penyembelihan lembu (crusher) yang digunakan di rumah penyembelihan Kompleks Halal Abattoir, Siburan

Biasanya penyembelihan dengan jumlah maksimum ini diadakan semasa Hari Raya Qurban, namun untuk hari biasa, penyembelihan lembu biasanya dilakukan pada hari Khamis dan Jumaat.

Penyembelihan lembu di Sarawak termasuk di Miri dan Kuching adalah dalam 50 ekor sementara Bintulu akan mendapatkan stok dari Miri.

Berkenaan dengan stok lembu, ia akan dibawa masuk ke Sarawak sebanyak dua (2) ke tiga (3) kali setahun dari Rosewood Station Pty Ltd, iaitu ladang milik Kerajaan Sarawak di Australia bergantung kepada permintaan.

Biasanya dalam bulan April atau Mei, PPES Ternak akan membuat tempahan untuk Hari Raya Qurban yang akan diadakan pada bulan Ogos dan sekiranya tidak ada baki lembu yang tinggal, PPES Ternak akan membuat tempahan baharu dari Rosewood Station Australia.

Menurut beliau, pada setiap hujung tahun, PPES Ternak akan membuat tempahan sebanyak 1,000 ekor khusus untuk Jabatan Veterinar bagi pelaksanaan skim Pawah.

Buat masa ini, PPES Ternak hanya menjual daging lembu segar dan beef patty burger, namun pada masa akan datang, PPES akan membuat chicken patty burger memandangkan sudah ada permintaan.

Antara pengangkutan yang digunakan untuk membawa stok lembu dari Miri

Di Kuching, PPES Ternak akan membekalkan daging segar di Pasaraya Mydin, Boulevard dan Everrise dengan harga jualan adalah diantara RM45 hingga RM105 sekilo bergantung dengan keratan daging manakala, jualan lembu hidup adalah RM24 sekilo.

Dalam perkembangan lain, PPES Ternak akan mengeluarkan produk daging kisar dalam tin (corned beef) di bawah jenama Sara-Bif apabila kilang pemprosesan yang kini sedang dibangunkan di Kompleks Halal Abattoir, Siburan siap.

Kilang pemprosesan itu telah mula dibina pada penghujung tahun 2022 dengan kos sebanyak RM16 juta dan dijangka siap pada Disember 2023.

Apabila kilang pemprosesan daging kisar itu mula beroperasi, ia bakal menyumbang kepada peluang pekerjaan dan sebagai pertambahan kepada kepelbagaian produk keluaran dari Sarawak.

Berkenaan dengan penyembelihan lembu, Encik Artino memberitahu, setiap kali penyembelihan lembu hendak dilakukan, PPES Ternak mesti ada sekurang-kurangnya 200 ekor lembu dalam satu-satu masa.

Sekiranya jumlah lembu adalah kurang daripada 200 ekor, PPES Ternak akan membuat tempahan dari Rosewood Station di Australia dengan jumlah minimum tempahan adalah 1,000 ekor kerana apabila tempahan adalah kurang daripada 1,000 ekor, akan menyebabkan kos tambang semakin tinggi.

Pengangkutan yang digunakan untuk menghantar daging lembu segar ke pasaraya dan hotel

Tambah beliau, perjalanan daripada Australia ke pelabuhan Bintulu mengambil masa selama 10 hari dan sebelum lembu sampai ke Bintulu, PPES Ternak perlu menyediakan pengangkutan kerana kapal hanya memberi tempoh 24 jam untuk mengosongkan kapal tersebut.

Dalam hal ini, pengurusan logistik harus efisien di mana pihak PPES Ternak harus mengurus pengangkutan sebulan lebih awal sebelum kapal tiba di pelabuhan.

Dalam tempoh sebulan itu, PPES harus menyediakan permit import (permit import original perlu dihantar ke Australia untuk membolehkan permit eksport dibuat), pengangkutan dan makanan lembu yang secukupnya.

Dari pelabuhan Bintulu, lembu-lembu tersebut akan dibawa ke Miri untuk dikuarantin dalam masa dua minggu sebelum dibawa ke Kuching.

Logistik dari pelabuhan Bintulu ke ladang Karabungan melibatkan kos sebanyak RM150 untuk seekor lembu bergantung kepada saiz, dan dari Miri ke Kuching, kos untuk seekor lembu adalah bernilai RM250 bergantung dengan saiz (lebih besar lembu, maka lebih mahal harganya).

Jumlah lembu yang dibawa ke Kuching (sekurang-kurangnya 30 ekor) adalah bergantung kepada permintaan dan apabila lembu baharu sampai ke Kompleks Halal Abattoir, ia tidak boleh disembelih kerana perlu diberi rehat dalam masa dua (2)  ke tiga (3) hari.

Pengurus Operasi, Encik Zulyman bin Usup sedang meninjau persekitaran fidlot

Sekiranya terus disembelih, ia akan menyebabkan lembu-lembu tersebut ‘stress’ sehingga akan memberi impak negatif terhadap kualiti daging.

Oleh itu, lembu yang akan disembelih haruslah dalam keadaan tenang, dan apabila lembu tersebut sudah dimasukkan ke dalam mesin penyembelihan lembu (crusher), ia harus segera disembelih.

Proses penyembelihan lembu tidak boleh dilengahkan kerana ia boleh menyebabkan lembu ‘stress’ dan akhirnya akan menyebabkan darah lembu naik seterusnya memberi kesan ke atas kualiti daging.

Selepas lembu disembelih, ia harus disejukkan di dalam mesin penyejuk (chiller) selama 24 jam kerana dalam tempoh tersebut, enzim lembu akan turun menyebabkan dagingnya menjadi lembut, kemudian barulah lembu tersebut boleh dipotong mengikut bahagian.

Beliau mengingatkan bahawa, lembu yang baru disembelih, apabila terus dimasak dan dijual tidak mempunyai kualiti yang bagus kerana kandungan darahnya masih banyak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article