- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

PPES Ternak Diakreditasi Dengan Tiga Pensijilan Penting

Must read

PPES Ternak Sdn Bhd adalah anak syarikat milik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC) yang menerima bekalan lembu yang bebas daripada penyakit Kaki dan Mulut (FMD) daripada ladang milik Kerajaan Sarawak di Australia iaitu Rosewood Station Pty Ltd.

PPES Ternak telah ditubuhkan pada 27 Julai 1983 dan mempunyai fungsi utama iaitu ‘feedloting’ lembu, penyembelihan lembu, pembiakan kambing dan rusa serta membekalkan daging lembu segar di seluruh negeri Sarawak.

Objektif asas penubuhan PPES Ternak adalah bagi meningkatkan jualan dan keberuntungan dalam memperkukuhkan rangkaian perniagaan serta mewujudkan kesedaran orang ramai tentang kewujudan PPES Ternak sebagai pembekal daging halal yang segar.

Antara skop produk dan perkhidmatan PPES Ternak ialah;

  1. Menyediakan lembu hidup, kerbau, kambing dan rusa
  2. Menyediakan daging lembu segar dan sejuk
  3. Menyediakan daging lembu beku
  4. Menyediakan daging lembu tua kering
Sara-Bif adalah jenama eksklusif milik PPES Ternak untuk mempromosikan daging lembu segar

PPES Ternak turut menyediakan perkhidmatan seperti;

  1. Kedai Daging Sarabif dan Western Grill yang terletak di;
    1. SEDC Plaza (Outlet Kuching)
    1. Permyjaya Mall (Outlet Miri)
    1. Margherita Plaza Hotel (Outlet Bintulu)
  2. Pembekal utama lembu untuk penternak lembu dan penternak kerbau
  3. Membekal daging lembu segar kepada pasar raya utama, hotel dan restoran
Pengurus Besar PPES Ternak, Encik Artino bin Arshad ketika ditemu bual oleh RAKAN Sarawak

Menurut Pengurus Besar, Encik Antino bin Arshad ketika ditemu bual RAKAN Sarawak, PPES Ternak telah diakreditasi dengan tiga pensijilan yang penting iaitu;

  1. Sistem Jaminan Rantaian Bekalan Pengeksport (ESCAS)
  2. Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP)
  3. Sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
HACCP adalah pensijilan yang diperkenalkan oleh KKM untuk memastikan produk yang dihasilkan selamat dan berkualiti

ESCAS yang dikeluarkan oleh Meat Livestock Australia (MLA) adalah satu piawaian yang telah ditetapkan oleh industri penternakan antarabangsa memandangkan lembu-lembu yang dipilih adalah daripada baka berkualiti dan diimport dari luar negeri.

ESCAS telah digubal oleh Kerajaan Australia bertujuan untuk menjaga kebajikan ternakan haiwan di semua rantaian pengimportan ternakan bermula daripada pengangkutan sehinggalah kepada penyembelihan ternakan.

Dalam hal ini, kedua-dua pihak (pengeksport dan pengimport) perlu memahami bahawa lembu dari Australia hanya akan disembelih selepas rumah-rumah penyembelihan dalam negara mendapat kelulusan pihak Australia.

Langkah-langkah untuk mendapatkan pensijilan ESCAS

Mengulas lebih lanjut, Encik Antino memberitahu bahawa, lembu-lembu yang dibawa daripada Australia, apabila tiba ke pelabuhan Bintulu, harus ada pengiring daripada Australia yang dikenali sebagai ‘auditor’.

Sebelum lembu dari Australia dihantar masuk ke Sarawak, pihak mereka akan menghantar auditor untuk memantau keadaan tempat untuk menternak lembu, memeriksa keadaan kandang penternakan, alatan yang digunakan dan sebagainya untuk keselesaan lembu.

Jika ada individu yang mahu mengimport lembu daripada Australia, dia harus mendapatkan kelulusan daripada ESCAS kerana tempat penyembelihan harus diaudit terlebih dahulu.

Menurut beliau, semua fidlot PPES Ternak telah mendapat pensijilan ESCAS kerana sebelum fidlot dibina, lakaran telah dihantar kepada Kerajaan Australia terlebih dahulu.

Tujuan lakaran tersebut dihantar ke Australia adalah untuk membolehkan auditor mengkaji cara lembu masuk; dalam satu kendang berapa ekor lembu; adakah makanan lembu mencukupi ataupun tidak; berapakah ketinggian pagar; pokoknya semua aspek perlu diambil kira.

Berkenaan Pensijilan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal atau Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) pula, beliau memberitahu PPES Ternak telah mendapat HACCP daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2022.

HACCP bertujuan untuk memastikan vendor mematuhi piawaian keselamatan makanan kerana apabila kita hendak mengimport produk, pengeksport perlu melihat HACCP, barulah mereka akan yakin untuk mengeksport produk kepada kita.

Merujuk EUROLAB Laboratory Services (www.belge.com), HACCP adalah berdasarkan prinsip saintifik dan sistematik, mengenal pasti bahaya dan langkah berjaga-jaga yang akan diambil untuk memastikan keselamatan makanan.

Sistem ini adalah alat yang menilai bahaya dan memberi tumpuan kepada langkah-langkah yang perlu diambil dan bukannya bergantung kepada ujian produk akhir.

Oleh itu, sistem HACCP merangkumi elemen yang berbeza seperti peningkatan dalam reka bentuk peralatan, prosedur proses atau penambahbaikan teknologi.

Standard HACCP menerangkan keperluan sistem pengurusan makanan yang selamat dan pada asalnya ia direka oleh NASA pada tahun 1960 untuk menghasilkan makanan yang sihat dan boleh dipercayai untuk tentera AS.

Pada 1963, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menerbitkan prinsip-prinsip pengeluaran makanan yang selamat berdasarkan piawaian ini.

Selepas itu, ia telah digunakan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) sebagai rujukan untuk audit undang-undang sejak tahun 1970, kemudian negara-negara Kesatuan Eropah dan negara-negara lain telah mula menerapkan piawaian HACCP.

Pada 1993, arahan Kebersihan Makanan dikeluarkan untuk negara-negara Kesatuan Eropah dan piawaian ini adalah mandatori dalam pengeluaran makanan.

HACCP ini boleh digunakan sepanjang rantaian makanan, dari pengeluaran primer hingga penggunaan akhir, dan risiko kepada kesihatan manusia diuruskan sepenuhnya oleh bukti saintifik.

Di samping meningkatkan keselamatan makanan, sistem ini turut membantu dengan audit oleh organisasi kerajaan dan mempromosikan perdagangan antarabangsa dengan meningkatkan keyakinan terhadap keselamatan makanan.

Sebagai pengusaha kilang makanan yang mahu memastikan produk adalah selamat daripada pencemaran bahan kimia, biologi dan fizikal, maka pensijilan HACCP daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah pensijilan terbaik untuk anda.

HACCP diberikan kepada produk makanan untuk meminimumkan atau mengurangkan bahaya keselamatan makanan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pekerja di Kompleks Halal Abattoir Siburan sedang melakukan pembersihan kandang lembu

Pensijilan ini akan mendapat keutamaan dalam permohonan Sijil Kesihatan bagi tujuan eksport dengan memendekkan tempoh pengeluaran sijil kepada tiga (3) hari bekerja sahaja.

Encik Antino turut memaklumkan bahawa PPES Ternak telah dianugerahkan sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

HALAL merupakan komponen yang penting dalam dunia perniagaan termasuk pasaran global

Halal merupakan faktor yang penting bagi umat Islam dalam pemilihan makanan dan adalah wajib bagi umat Islam untuk hanya makan makanan yang bukan sahaja bersumberkan halal, tapi ia juga baik dan bersih.

Pengiktirafan Halal JAKIM bukan hanya sekadar sijil dan logo halal, ia memberi jaminan kepada masyarakat Islam bahawa sesuatu makanan atau produk halal berikut mematuhi hukum syarak dan juga memberi impak yang cukup besar kepada pengusaha makanan halal dan sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Halal merupakan komponen yang penting dalam dunia perniagaan termasuk pasaran global dan bukan lagi sekadar keperluan dalam keagamaan.

Ini terbukti apabila negara bukan Islam seperti kebanyakan negara Eropah yang juga mengutamakan produk halal untuk pengguna mereka kerana aspek kualiti dan keselamatan makanan.

Halal pada hari ini telah menjadi satu sistem kualiti di peringat global yang dapat menarik bukan sahaja pelanggan muslim malah pelanggan yang bukan muslim.

Hal ini disebabkan piawaian yang ditekankan dalam piawaian makanan halal adalah tinggi dan ia adalah termasuk aspek kebersihan.

Pekerja di Kompleks Halal Abattoir Siburan sedang memberikan makanan lembu
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article