– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak April-June 2020 –
Kejadian bencana sering kali menjadi situasi yang akan mengancam nyawa. Menyiapkan rancangan kesiapsiagaan bencana ialah suatu tindakan yang wajar. Sungguhpun ramai dalam kalangan kita tahu usaha ini amat perlu namun sangat sedikit yang melakukannya.
Kesediaan menghadapi bencana merujuk kepada langkah-langkah yang diambil untuk mempersiapkan dan mengurangkan kesan bencana. Maksudnya usaha ini ialah untuk meramalkan dan jika boleh, mencegah bencana, mengurangi kesannya terhadap populasi dan memberikan respons yang efektif untuk menghadapi akibatnya.
Kesiapsiagaan bencana menyediakan platform untuk merancang perancangan yang efektif, realistik dan tersusun, mengurangkan pertindihan usaha dan meningkatkan keberkesanan keseluruhan masyarakat dan negara.
Kegiatan kesiapsiagaan bencana yang merangkumi langkah-langkah pengurangan risiko yang bermatlamat untuk menangani dan mencegah situasi bencana dan menyelamatkan nyawa dan mata pencarian semaksimum mungkin dengan harapan dapat membolehkan masyarakat atau populasi yang terkena bencana kembali menjalani kehidupan normal dalam jangka waktu yang singkat.
Kesiapsiagaan bencana ialah proses yang berterusan dan bersepadu hasil dari pelbagai aktiviti dan sumber bagi pengurangan risiko dan bukan hanya daripada aktiviti sektor yang tersendiri.
Ia memerlukan sumbangan dari berbagai bidang daripada peringkat latihan dan logistik, hingga perawatan kesihatan, pemulihan, penghidupan hingga pengembangan institusi.
Pusat Kesiapsiagaan Dan Tindak Cepat Krisis
Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (2005 – 2010) sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhan dalam kesediaan pengurusan yang berkesan bagi menghadapi bencana, wabak, krisis dan kecemasan (Disaster, Outbreak, Crisis, Emergency – DOCE) yang berkaitan dengan kesihatan.
Pada awal penubuhannya ia lebih berfungsi sebagai pusat kesiapsiagaan dan untuk menangani wabak penyakit berjangkit dan bencana.
Dengan perkembangan semasa, CPRC telah meluaskan aktivitinya kepada semua jenis dan kejadian yang melibatkan kesihatan awam seperti bencana alam, “mass casualty incident”, Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosives (CBRNe), keganasan dan percubaan rampasan kuasa.
CPRC berfungsi di dalam dua mod iaitu pasif dan aktif.
Semasa di mod pasif, aktiviti lebih bertumpu kepada penilaian risiko, kesiapsiagaan, pengawasan rapi, komunikasi risiko dan latihan.
Ketika ini juga, CPRC Mewujudkan polisi, garis panduan dan SOP berkaitan dengan kesiapsiagaan, tindakan cepat dan tindakan yang perlu diambil oleh pelbagai pihak dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum, semasa serta selepas menghadapi DOCE.
Manakala semasa di mod aktif, aktiviti CPRC lebih bertumpu kepada pusat arahan, tindakan dan koordinasi kejadian DOCE.
Dalam keadaan pasif, CPRC beroperasi selama 24 jam, dari jam 8 pagi ke 5 petang, operasi adalah di CPRC itu sendiri manakala selepas jam 5 petang semua panggilan akan dijawab oleh pegawai yang bertugas ke atas panggilan.
Dalam keadaan mod aktif pula, CPRC masih beroperasi selama 24 jam di mana aktiviti di CPRC bergantung pada keperluan wabak dan bencana semasa misalnya 7 pagi hingga 10 malam seperti semasa kejadian Banjir Besar tahun 2014.
Selepas waktu tersebut, semua panggilan ke CPRC akan dijawab oleh pegawai yang bertugas ke atas panggilan.
Secara amnya CPRC akan diaktifkan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah apabila:
- Kejadian wabak penyakit berlaku di lebih daripada satu negeri/daerah/satu okaliti
- Kejadian yang mempunyai morbiditi dan mortaliti yang tinggi.
- Kejadian kes yang berlaku secara berkelompok (cluster)
- Kematian atau kejadian kes luar biasa (satu atau lebih) akibat penyakit berjangkit yang tidak diketahui patogen penyebab.
- Kejadian yang ada kaitan dengan kejadian luar biasa di luar Negara/Negeri/Daerah
- Kejadian bencana alam sama ada semula jadi ataupun disebabkan oleh faktor manusia dalam skala yang besar
- Kejadian yang berkemungkinan berpunca daripada ancaman biologi (bioterrism)
Rujukan :
- KKM (2015). Kementerian Kesihatan Malaysia. 2015. Pelan Pengurusan Krisis dan Bencana Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia. Sektor Pengurusan Wabak dan Bencana, Bahagian Kawalan Penyakit
- Disaster preparedness, Working with communities to prepare for disasters and reduce their impact; International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies