- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Tanaman Kelapa di Sebuyau

Must read

Kelapa adalah buah yang paling banyak kegunaannya kerana setiap bahagiannya bermula daripada isi, air, sabut, daun, dan batangnya dapat digunakan untuk menghasilkan berbagai produk dalam bentuk makanan atau bukan makanan.

Misalnya, isi kelapa bukan hanya digunakan dalam bentuk segarnya, tetapi juga diproses untuk menghasilkan berbagai produk lain seperti santan, minyak kelapa, tepung kelapa, gula kelapa, krim kelapa dan banyak lagi produk masakan dan makanan di rumah.

Sabut kelapa pula merupakan hasil buangan daripada buah kelapa yang dikupas kulitnya dan boleh diproses untuk pelbagai kegunaan dalam industri automotif dan pertanian.

‘Cocopeat’ misalnya diperbuat daripada sabut kelapa boleh dijadikan medium tanaman fertigasi dan ia mendapat permintaan tinggi kerana telah memudahkan kerja petani selain sifatnya yang mesra alam.

Tempurung kelapa pula dapat digunakan untuk menghasilkan arang aktif, bahan bakar dalam pembuatan ubat nyamuk dan bahan hiasan dalam industri kraf tangan manakala batang kelapa dapat diproses menjadi kayu berkualiti untuk kegunaan industri pembinaan dan perabot.

Pada hari ini, produk berasaskan kelapa khususnya santan dan minyak kelapa mendapat permintaan yang tinggi bukan saja pasaran dalam negara bahkan sampai ke luar negara

Namun demikian, pengeluaran kelapa di Sarawak khususnya di kawasan Samarahan ini masih belum cukup untuk memenuhi permintaan syarikat-syarikat tertentu.

Menurut Pegawai Pertanian Bahagian Samarahan, Encik Hamzah bin Abu Bakar ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak, Daerah Sebuyau merupakan pengeluar kelapa yang paling banyak di kawasan Samarahan selain daripada daerah Asajaya.

Pegawai Pertanian Bahagian Samarahan, Encik Hamzah bin Abu Bakar ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak

Justeru, fokus utama Jabatan Pertanian Bahagian Samarahan kini adalah terhadap tanaman kelapa selain daripada tanaman pisang serta tanaman kontan seperti jagung, sayuran, keladi dan sebagainya.

Menurut beliau, jabatan ini komited hendak membangunkan kembali tanaman kelapa di daerah Sebuyau dan semua pokok-pokok kelapa yang sudah tua dan lama akan digantikan dengan pokok-pokok kelapa yang baharu.

Kawasan pemulihan dan tanaman baharu kelapa di Tebelu, Sebuyau

Namun demikian, sekiranya pokok-pokok kelapa tua tersebut masih produktif untuk menghasilkan buah, pihak jabatan akan melakukan pemulihan terhadap kebun-kebun kelapa tersebut.

Dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMKe-12), projek yang sedang dilaksanakan oleh Pejabat Pertanian Daerah Sebuyau ialah projek tanaman kelapa dan pisang.

Projek tanaman kelapa dan pisang di daerah Sebuyau ini adalah selari dengan permintaan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika beliau mengadakan lawatan ke Sebuyau baru-baru ini.

Matlamat projek tanaman kelapa ini juga adalah untuk memastikan bahan mentah mencukupi bagi menampung industri kelapa yang sedang berkembang ketika ini.

Industri kelapa semakin berkembang tetapi hasil kelapa semakin menurun

Industri kelapa semakin berkembang tetapi hasil kelapa semakin menurun dan disebabkan itu, Jabatan Pertanian komited hendak membangunkan kembali tanaman kelapa bagi memenuhi keperluan industri selain untuk menambah pendapatan penduduk di kawasan yang ada menanam kelapa.

Sebab utama yang dapat dikenal pasti menjadi punca penurunan hasil kelapa di daerah Sebuyau, salah satunya adalah kerana petani kita semakin tua dan kebanyakan generasi baharu ini tidak berminat dengan aktiviti pertanian.

Ringkasan Projek Pembangunan Pertanian RMKe-12 (2021-2023) Bahagian Samarahan

Kedua, tanaman seperti kelapa ini juga sudah tua menyebabkan pengeluarannya semakin berkurang malah kawasan tanaman kelapa juga semakin kecil kerana ianya terbiar ataupun sudah dibangunkan dengan tanaman lain seperti kelapa sawit.

Secara tidak langsung, kelapa tidak lagi diberi perhatian menyebabkan hasilnya semakin kurang, ataupun ada hasil tetapi tidak dikutip kerana tidak ada orang yang menjaga kebun kelapa tersebut.

Pada tahun lepas, projek tanaman kelapa mula dilaksanakan dan usaha ini diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan yang diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan dan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).

Menurut beliau, projek kelapa di Sebuyau dibahagikan kepada dua iaitu projek menanam baru pokok kelapa dan projek pemulihan kebun kelapa yang sudah lama dan tidak dijaga sebelum ini tetapi masih produktif.

Pada masa ini, harga kelapa semakin tinggi, dan para petani sudah mula memulihara pokok-pokok kelapa mereka dan sambil itu, pihak Jabatan Pertanian akan membantu mereka dari segi pemulihan.

Sabut-sabut kelapa yang sudah dikopek akan dijual untuk diproses menjadi cocopeat

Pemulihan yang dimaksudkan adalah dari segi pemberian baja dan racun untuk memulihkan pokok kelapa mereka yang mungkin sudah lama tidak dijaga ataupun diberi baja dengan harapan pengeluaran kelapa tersebut akan bertambah.

Untuk permulaan, ada beberapa kawasan di Sebuyau yang sedang dan akan dilakukan pemulihan di mana perancangan telah dibuat pada tahun lepas dan tahun ini adalah pelaksanaannya.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu pihak jabatan berdepan dengan beberapa kekangan dalam melaksanakan projek tersebut terutama di kawasan Tebelu kerana kawasan itu dimasuki air masin.

Kawasan pemulihan kebun kelapa seluas 32 hektar di Kampung Segali, Sebuyau

Buat masa sekarang, pihak mereka hanya menunggu benteng yang dibina oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak siap dibina, baharulah projek tanaman baru kelapa di kawasan tersebut dapat dilaksanakan.

Tambah beliau, petani yang mengusahakan projek dalam skala besar memerlukan infrastruktur seperti jalan ladang, perparitan dan benteng laut.

Untuk pekebun kecil, Jabatan Pertanian masih menyalurkan bantuan dari segi pembekalan baja dan racun tetapi impaknya tidak besar.

Dengan harapan, apabila infrastruktur ini sudah siap sepenuhnya, mungkin tanaman lain yang akan menyusul kemudiannya dapat membantu dan meningkatkan pengeluaran.

Sekiranya tebatan atau benteng air laut tidak dapat siap dalam masa terdekat ini, tanaman lain pun terpaksa ditangguhkan kerana air laut yang memasuki kawasan tanaman akan memberi kesan buruk kepada tanaman.

Jadi, infrastruktur yang dilaksanakan oleh JPS ini amat penting untuk membolehkan pihak Jabatan Pertanian melaksanakan projek-projek pertanian terutama tanaman kelapa.

Dalam perancangan, Jabatan Pertanian Samarahan akan membangunkan tanaman kelapa baru di kawasan seluas 60 hektar lebih dan melakukan pemulihan kebun kelapa di kawasan seluas 70 hektar.

Apabila sudah dilaksanakan nanti, ia akan dapat meningkatkan pengeluaran kelapa selain memberi peluang kepada para pengusaha kelapa di kawasan Sebuyau meraih pendapatan lumayan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article