- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Projek Pertanian Berimpak Tinggi di Sebuyau

Must read

Seperti yang kita sedia maklum, Jabatan Pertanian Sarawak memberi tumpuan terhadap lima (5) tanaman makanan utama iaitu pisang, kelapa, durian, nanas dan jagung namun, di Bahagian Samarahan, tanaman kontan seperti sayur-sayuran dan jagung lebih diberi perhatian.

Di daerah Sebuyau, fokus Jabatan Pertanian yang utama adalah terhadap tanaman kelapa dan pisang kerana Sebuyau adalah salah satu kawasan di bahagian Samarahan yang banyak mengeluarkan kelapa dan pisang selain daripada daerah Asajaya.

Perkara ini dinyatakan oleh Pegawai Pertanian Bahagian Samarahan, Encik Hamzah bin Abu Bakar ketika ditemu ramah oleh RAKAN Sarawak.

Pegawai Pertanian Bahagian Samarahan, Encik Hamzah bin Abu Bakar ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak

Menurut beliau, Jabatan Pertanian Samarahan akan membangunkan kembali tanaman kelapa di daerah Sebuyau di mana pokok-pokok kelapa lama yang telah tua akan digantikan dengan tanaman-tanaman pokok kelapa yang baharu.

Namun demikian, sekiranya pokok-pokok kelapa tua tersebut masih produktif untuk menghasilkan buah, pihak jabatan akan melakukan pemulihan terhadap kebun-kebun kelapa tersebut.

Projek utama yang dibangunkan di Daerah Sebuyau

Dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMKe-12), projek berimpak besar yang sedang dilaksanakan oleh Pejabat Pertanian Daerah Sebuyau ialah projek tanaman kelapa dan pisang.

Matlamat projek tanaman kelapa dan pisang ini adalah untuk memastikan bahan mentah mencukupi bagi menampung industri kelapa dan pisang yang sedang berkembang ketika ini.

Pisang kapok kini mendapat permintaan yang sangat tinggi

Projek tanaman kelapa dan pisang di daerah Sebuyau ini adalah selari dengan permintaan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika beliau mengadakan lawatan ke Sebuyau pada Ogos 2023.

Berkenaan Industri kelapa, beliau memberitahu bahawa industri itu semakin berkembang namun hasil kelapa semakin menurun.

Disebabkan itu, Jabatan Pertanian komited hendak membangunkan kembali tanaman kelapa bagi memenuhi keperluan industri selain untuk menambah pendapatan penduduk di kawasan yang ada menanam kelapa.

Pegawai pertanian mengadakan tinjauan di sebuah ladang kelapa di Kampung Menak, Sebangan

Jelas beliau, kelapa kian popular kerana harganya semakin naik misalnya, satu ketika dulu hanya RM0.50 sen sebiji, kini sudah mencecah RM1 hingga RM1.20 sebiji, justeru ini adalah suatu potensi yang baik untuk menggalakkan para peladang dan petani kelapa menanam kelapa secara komersial.

Di Sebuyau, terdapat pemborong-pemborong secara individu dan dua Syarikat swasta iaitu Syarikat Cocolin Industries Sdn. Bhd. dan Syarikat Agro yang membeli kelapa daripada para pekebun kelapa.

Menurut beliau, Syarikat Cocolin memerlukan sekurang-kurangnya 500 hingga 600 ribu biji kelapa tua sebulan manakala Syarikat Agro memerlukan 20 hingga 50 ribu biji sebulan dan ini belum lagi termasuk permintaan daripada empat atau lima individu yang membuat santan di mana mereka memerlukan 500 ke 700 biji sebulan.

Buah kelapa tua yang sudah dikutip akan dikumpulkan sebelum pemborong datang membeli

Sebelum ini, Jabatan Pertanian Samarahan pernah membuat kajian terhadap sepuluh (10) pengusaha yang memerlukan lebih kurang 12 juta biji kelapa tua setahun.

Beliau difahamkan, terdapat seorang pengusaha kelapa di Asajaya yang menghantar kelapa beliau ke sebuah syarikat di Semenanjung sebanyak satu kontena setiap minggu.

Menurut beliau, syarikat itu juga tidak mempunyai masalah apabila pengusaha tersebut dapat membekalkan dua atau tiga kontena setiap minggu namun bekalan kelapanya tidak mencukupi.

Dari sini kita lihat bahawa permintaan terhadap kelapa tua ini sangat tinggi, dan sesungguhnya Jabatan Pertanian Samarahan tidak perlu mendorong atau menggalakkan para petani mengusahakan tanaman kelapa kerana mereka kini sudah menunjukkan usaha mereka menanam kelapa.

Cuma perancangan jabatan buat masa ini adalah membangunkan tanaman kelapa di Tebelu lebih kurang 60 hektar untuk tanaman baru dan aktiviti pemulihan di kawasan seluas lebih kurang 70 hektar.

Apabila projek ini dilaksanakan nanti, ia akan memberikan peluang kepada para pengusaha kelapa di kawasan Sebuyau meraih pendapatan yang lumayan.

Disebabkan kawasan Sebuyau atau Samarahan tidak dapat menampung permintaan pembeli atau pemborong kelapa, syarikat dan individu-individu tersebut terpaksa mendapatkan bekalan kelapa tua daripada Maludam dan Kabong.

Berkenaan dengan industri pisang, beliau menyatakan bahawa industri itu turut mengalami situasi yang sama seperti kelapa di mana permintaan terhadap pisang semakin meningkat tetapi pengeluaran pisang semakin menurun.

Beliau difahamkan bahawa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memerlukan pisang (kapok dan tanduk) dua (2) kontainer seminggu untuk dihantar ke Semenanjung sedangkan di Sarawak sendiri pun permintaan terhadap pisang tidak dapat dipenuhi.

Jelas beliau, pelbagai cabaran dihadapi industri kelapa dan pisang pada masa kini yang menyumbang kepada pengurangan hasil antaranya produktiviti rendah dan pengurangan keluasan bertanam.

Kebun pisang yang diusahakan oleh penduduk di Kampung Menak, Sebangan

Pengeluaran kelapa dan pisang khususnya di daerah Sebuyau ini semakin merosot disebabkan banyak faktor termasuk pengurangan keluasan kawasan tanaman, pokok yang semakin tua, perubahan cuaca dan kekurangan benih.

Selain itu, kos pengeluaran yang semakin meningkat meliputi kos pembangunan, kos bahan input, tenaga kerja, kos pelbagai dan kos luar jangka.

Kos input seperti baja yang semakin meningkat dan penggunaan input pertanian tidak berkesan turut meningkatkan lagi kos pengeluaran.

Keadaan ini menyebabkan keuntungan dan pendapatan petani menjadi semakin merosot dan salah satu faktor peralihan petani kepada tanaman industri yang lain.

Kerana itu, Jabatan Pertanian Samarahan sentiasa bersedia untuk memberikan bimbingan kepada para petani atau pekebun kelapa dan pisang untuk menghasilkan produk tanaman yang berkualiti selain membangunkan penyelidikan benih kelapa untuk penanaman secara komersial.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article