Penjawat awam merupakan barisan hadapan yang menggerakkan pelbagai perkara merangkumi pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.
Dalam menekankan peri pentingnya peranan penjawat awam, Tan Sri Datuk Amar Mohd Zuki Bin Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam ucapan aluan beliau pada Majlis Amanat Perdana Integriti MAP-i Dan Persidangan Integriti Kebangsaan (PiNK) 2023 pada 14 September 2023 di Kuching, memetik John Maynard Keynes di dalam bukunya Essays in Persuassion telah menyebutkan “no matter how powerful the economic engine is, it will not perform well as long as one crucial part is malfuctioning”, bermaksud tidak kiralah betapa kuatnya enjin ekonomi itu bekerja, ia tidak akan dapat berfungsi dengan baik selagi bahagian pentingnya rosak”.
“Dalam hal ini, enjin utama negara kita ialah perkhidmatan awam yang bertanggungjawab terhadap segala urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, tegas Tan Sri Datuk Amar Mohd Zuki.
KSN seterusnya menambah, “jika perkhidmatan awam lumpuh, atau kepercayaan rakyat terhadap penjawat awam terhakis kerana isu integriti dan rasuah, maka sudah pasti negara ini tidak akan dapat ditadbir dengan baik dan akan menatijahkan huru hara dan impak yang negatif kepada ekonomi negara.”
“Oleh sebab itu YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) pada 11 September 2023 yang lalu di Parlimen telah menggariskan dua (2) perkara teratas dalam 17 Anjakan Besar KSP RMK12 iaitu menyentuh soal tatakelola dan rangka kerja institusi serta perundangan berkaitan rasuah,” jelas lanjut KSN.
Tan Sri Datuk Amar Mohd Zuki seterusnya menyatakan, “iltizam kerajaan dalam menyokong anjakan besar ini akan dilaksanakan menerusi pemantapan struktur institusi untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memperkukuh tatakelola dan integriti bagi membina semula kepercayaan dan keyakinan rakyat.”
Kepemimpinan memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan kualiti dan kecemerlangan sesebuah institusi.
Kepemimpinan yang berintegriti sudah pastinya merujuk kepada keupayaan pemimpin yang mempunyai keselarasan dengan apa yang dikatakan dengan apa yang dilakukan; keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dan kepentingan umum.
Apa yang dilakukan oleh pemimpin ini perlu cepat, tepat, bermutu dan bertingkah laku konsisten dalam pelbagai segi.
Pemimpin berintegriti memiliki nilai dan etika yang menjadi piawai bagi tingkah laku mereka.
Apabila pemimpin ini bertindak atau bertingkah laku mengikut nilai dan etika, pemimpin ini dikatakan mempunyai integriti.
Kepentingan integriti kepada perkhidmatan awam adalah untuk mewujudkan pentadbiran dan perkhidmatan awam yang cekap dan berdisiplin menerusi penerapan nilai-nilai murni yang dapat mengatasi masalah dan kelemahan dalam pelbagai aspek pemerintahan seperti pengurusan kewangan, pengendalian kes-kes tatatertib, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.