Sekitar tahun 1962 hingga 1965 menyaksikan banyak hal di dalam Konfrantasi Indonesia-Malaysia yang turut merakamkan beberapa peristiwa hitam bagi Sarawak. Pada Ogos 1966, satu perjanjian keamanan telah ditandatangani antara Indonesia dan Malaysia sekali gus menghentikan segala isu berkaitan dengan peristiwa Ganyang Malaysia suatu ketika dahulu.
Sungguhpun demikian, keamanan masih belum tercapai sepenuhnya. Keselamatan dan keamanan Sarawak terus terancam apabila North Kalimantan Communist Party (NKCP/PARAKU) pula yang bermaharajalela melakukan serangan yang berlarutan sehingga 1973.
Kerajaan Sarawak dan Persekutuan mengambil beberapa langkah bagi mengekang penularan keganasan yang dilakukan oleh PARAKU.
Antaranya pelaksanaan beberapa operasi ketenteraan serta penubuhan satu zon penampan iaitu yang dikenali sebagai Rajang Area Security Command atau singkatannya RASCOM telah berjaya melemahkan ancaman PARAKU.
Pada Oktober 1973, ketua PARAKU ketika itu telah mengutus surat untuk berunding dengan Kerajaan Sarawak.
Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman bin Ya’kub telah berunding dengan ketua PARAKU dan pada tanggal 21 Oktober 1973, PARAKU telah bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Damai dengan Kerajaan Sarawak untuk menamatkan penentangan dan serangan mereka.
Perjanjian Damai ini telah dirundingkan dan ditandatangani di Rumah Rehat Kerajaan di Simanggang. Kini rumah rehat berkenaan lebih dikenali sebagai Rumah Sri Aman bagi memperingati peristiwa bersejarah itu.
Bagi memperingati tahun ke-50 peristiwa berkenaan, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah merasmikan Galeri Rumah Sri Aman pada 1 Oktober 2023.
Pameran di Galeri Rumah Sri Aman terdiri daripada empat tema keseluruhannya iaitu Rumah Atas Bukit, Era Rajah Putih, Pertempuran dan Perdamaian dan Air Pasang yang menempatkan tentang sejarah dan peristiwa yang ada di bahagian Sri Aman secara khususnya.
YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari berkata, rumah itu menjadi saksi kepada peristiwa yang pernah berlaku di kawasan Simanggang pada 1973.
“Ini adalah simbol perpaduan antara kita yang berbilang kaum, agama dan pendirian politik untuk meneruskan usaha membangunkan Sarawak,” nyata Premier Sarawak pada majlis perasmian galeri berkenaan.
“Selain itu bangunan ini akan menjadi simbol untuk kita saling mempertahankan keamanan,” tambah beliau lagi.
“Selepas termeterai perjanjian Sri Aman, pergolakan politik mulai aman dan kerajaan pimpinan ketika itu iaitu Allahyarham Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub sebagai Ketua Menteri dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan negeri,” katanya.
“Generasi muda, belajarnya daripada sejarah – yang baik dicontohi, yang tidak baik jangan diulang. Ini (pergolakan politik) jangan diulang lagi,” tegasnya.