Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (Sarawak Digital Economy Blueprint 2030) telah dilancarkan secara rasmi sebagai usaha untuk memastikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 disokong dan dipacu oleh teknologi dan inovasi.
Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menjelaskan, pelan tersebut adalah satu dokumen yang akan mengubah keseluruhan ekonomi masyarakat negeri ini daripada ekonomi berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi berasaskan teknologi alam sekitar yang mampan.
Pelan tersebut juga dilancarkan untuk memastikan Sarawak tidak akan ketinggalan dalam ekonomi digital dan berada di landasan yang betul untuk muncul sebagai sebuah wilayah yang maju pada 2030 kelak.
Menurut beliau, matlamat utama Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 adalah untuk memberi inspirasi kepada komuniti perniagaan bagi menghasilkan idea baharu dan mengguna pakai idea tersebut, seterusnya menyesuaikan diri dengan model perniagaan kontemporari.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk membantu orang ramai menggunakan kemahiran mereka untuk berjaya dalam dunia digital dan mencipta sistem yang membolehkan semua orang mendapatkan manfaat daripada ekonomi digital.
Oleh yang demikian, Sarawak berhasrat untuk muncul sebagai kuasa besar ekonomi digital di rantau ini menjelang 2030 serta memastikan pertumbuhan ekonominya memberi manfaat kepada seluruh masyarakat di samping tidak menjejaskan alam sekitar dan dicapai dengan cara yang inklusif dan bertanggungjawab.
Beliau memaklumkan perkara tersebut ketika merasmikan World Congress on Innovation and Technology 2023 yang diadakan serentak dengan International Digital Economy Conference Sarawak 2023 (WCIT-IDECS 2023) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 4 Oktober 2023.
Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 akan memberi tumpuan kepada pembangunan Infrastruktur-Ketersambungan, Pembangunan Bakat, Pelaburan, Ekonomi Sektor Swasta, Keselamatan Siber dan Generatif Kecerdasan Buatan (AI) Sebagai Pemangkin Teknologi.
Dalam ucapan perasmian, Premier Sarawak turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak bercita-cita tinggi dan proaktif terhadap masa depan digital negeri ini dan beliau yakin bahawa keputusan yang dibuat pada hari ini akan memberi impak kepada kehidupan generasi sekarang dan masa akan datang.
Kerajaan Sarawak komited untuk mencapai matlamat ekonomi digital dan merealisasikan kemakmuran yang mampan demi masa depan rakyatnya.
Yakin dengan masa depan digital adalah jalan ke hadapan, matlamat Sarawak menurut beliau adalah untuk menjadi masyarakat dan ekonomi digital yang terkemuka menjelang 2030.
Premier Sarawak mengakui masih banyak yang perlu dilakukan, namun beliau yakin bahawa Sarawak telah mencapai ‘milestone’ yang signifikan setakat ini untuk memperkasa rakyatnya dan untuk mendepani cabaran yang mendatang.
Dalam perkembangan ini, beliau juga percaya bahawa Sarawak berada di landasan yang betul berikutan Bank Dunia baru-baru ini melaporkan bahawa Sarawak kini adalah sebuah negeri berpendapatan tinggi dengan hasil pendapatan pada tahun 2022 mencecah RM11.96 bilion.
Persidangan WCIT-IDECS 2023 yang berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober 2023 dilihat sebagai perhimpunan penting pakar-pakar inovasi dan teknologi dari lebih 80 buah negara yang menawarkan peluang untuk meneroka inovasi termaju di samping memupuk kerjasama dalam kalangan peneraju industri serta memperkasa individu untuk memacu perubahan positif dalam sektor teknologi dan ekonomi digital.
WCIT adalah acara terkemuka anjuran World Innovation, Technology and Services Alliance (WITSA) dan Sarawak dipilih menjadi hos pada tahun ini selari dengan penganjuran IDECS 2023.
WCIT-IDECS 2023 dianjurkan secara kolaboratif di antara Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) bersama-sama dengan Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Information Systems (SAINS).
Sepanjang persidangan, SDEC telah menyusun beberapa aktiviti seperti pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang berkaitan teknologi, ceramah, fireside chats, sesi perkongsian dan perbincangan oleh pakar-pakar dari SDEC termasuklah lawatan pelajar.
Turut diadakan ialah pameran produk dan perkhidmatan oleh 12 rakan kongsi ekosistem yang terdiri dari KARUNA (Sarawak), Aerodyne, Positive Mind, Cloud4Sea, WayPoint, LMR Technology, Plug & Farm, Weston Robot, Smart Modern Agriculture, Complete Human Network, TikTok Shop, dan Gadget Fusion.
Selain itu, pihak SDEC juga menyediakan perkampungan untuk syarikat pemula (Startup Village) dengan menampilkan 17 syarikat pemula, iaitu AI3D PLT, Entomal Biotech, The Learning Curve, EBTech, NEUON AI, Saraqube, Caliphs Digital Group, AgriSmartEye and BeyondHorizon, Formeta PLT, Migratesafe, Sinisana Technologies, Hexabyn Technologies, Arkod, Gearworks Technologies, Worming Up dan FutureLab.
Tujuh (7) pasukan penyelidikan terjemahan dari Swinburne Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak juga turut ikut serta di Strartup Village.