- Advertisement -spot_img
4,771
published news
and counting

Sarawak Bangunkan Skim Tanaman Padi Berskala Besar

Must read

Bagi mengurangkan kebergantungan berlebihan Sarawak kepada beras import, bermula pada tahun lepas, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran beras.

Inisiatif-inisiatif tersebut ialah; Memulihkan dan meningkatkan infrastruktur di kawasan pengeluaran padi; Membangunkan kawasan baharu untuk penanaman padi; Perkongsian Awam-Swasta-Komuniti (PPCP); Penjenteraan dan automasi ladang; dan Menghasilkan benih padi berkualiti.

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg secara prinsipnya bersetuju agar kawasan penanaman padi di negeri ini dizonkan.

Sarawak kini mempunyai beberapa kawasan yang sudah dan akan dibuka untuk skim penanaman padi berskala besar antaranya di Banting (Sri Aman), Stumbin-Bijat (Sri Aman), Lubok Punggor (Gedong) dan Tanjung Purun (Lundu).

Sarawak pada masa kini hanya mempunyai 14 ribu hektar kawasan tanaman padi

Walau bagaimanapun, untuk membuka kawasan ini sebagai kawasan tanaman padi berskala besar, infrastruktur asas seperti parit dan tali air perlu dibina terlebih dahulu.

Tujuannya adalah untuk memastikan projek tersebut akan membuahkan hasil yang diharapkan, kerana bagi beliau, tanaman padi tidak akan menjadi sekiranya tiada parit dan tali air yang sempurna.

Oleh itu, beliau memberitahu bahawa Sarawak memerlukan peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina tali air bagi membangunkan kawasan skim penanaman padi ini.

Tambah beliau, pembukaan kawasan skim penanaman padi berskala besar ini juga adalah hasil perbincangan antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha hendak meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

Menurut beliau lagi, secara keseluruhan apabila dicampurkan, semua kawasan di Banting, Stumbin-Bijat, Lubok Punggur dan Tanjung Purun, luas kawasan yang dianggarkan adalah 5,000 hektar.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2023 di Dataran Perayaan, Petra Jaya pada 22 September 2022.

Premier Sarawak berucap semasa Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2023 di Petra Jaya pada 22 September 2022

Jelas beliau, buat masa ini, Kerajaan Sarawak masih mengkaji dua pilihan iaitu sama ada untuk dizonkan kawasan tertentu sebagai kawasan penanaman padi atau mewartakan tanah yang telah digunakan untuk menanam padi bagi mengekalkan tanaman itu.

Malah, Kerajaan Sarawak juga sedang bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menanam padi baka baharu yang boleh dituai tiga kali dalam tempoh 18 bulan.

Kerjasama ini baru sahaja dimulakan, namun perkara-perkara berkaitan dengan sistem perparitan perlu diselesaikan terlebih dahulu dan ianya melibatkan kos yang agak besar.

Kerana itulah, Kerajaan Sarawak sangat memerlukan penglibatan daripada Kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama dalam melaksanakan usaha ini.

Sementara itu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Negeri (M-FICORD), YB Datuk Seri Dr Stephen Rundi Anak Utom pada majlis yang sama menyatakan, terdapat keperluan sebenar untuk dizonkan kawasan penanaman padi supaya tanah itu kekal untuk penanaman padi.

Datuk Seri Dr Stephen Rundi Anak Utom berucap semasa Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2023

Beliau berkata demikian kerana mendapati sesetengah penanam padi menggunakan tanah mereka untuk menanam tanaman kontan atau tanaman lain yang dianggap lebih menguntungkan.

Antara faktor lain adalah disebabkan kekurangan infrastruktur ladang tertier padi, kos pengeluaran yang tinggi dan petani yang semakin tua.

Menurut beliau, ketika ini SSL beras berada pada 34% berbanding 42% pada 2020, dan 58% pada tahun 80-an, justeru usaha perlu dilakukan untuk memulihkan industri padi bagi mengelak daripada terus merosot.

Kerana kawasan padi ini lebih banyak digantikan dengan tanaman-tanaman yang lain seperti kelapa sawit, beliau berkata Kerajaan perlu melakukan gazet kawasan khas untuk tanaman padi sahaja.

Sarawak pada masa ini hanya mempunyai 14 ribu hektar untuk kawasan tanaman padi dan masih memerlukan sekurang-kurangnya 20 ribu hingga 30 ribu hektar tanah untuk tanaman padi.

Beliau memaklumkan, M-FICORD sedang membangunkan infrastruktur perparitan dan saliran di tiga kawasan baharu di Kampung Mujat di bahagian Serian (100 hektar), Selepong-Panggil dan Issu-Gayau di bahagian Sri Aman dengan anggaran keluasan 1,000 hektar sebagai kawasan penanaman padi.

Berbicara tentang perkara ini, beliau memberitahu, di peringkat Persekutuan, bagi menambah bekalan beras, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan pelbagai insentif pengeluaran dan ia termasuk insentif input dan Harga Minimum Terjamin (GMP).

Insentif input adalah seperti Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP); Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP); Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB); Skim Insentif Benih Padi Berkualiti manakala insentif keluaran disediakan di bawah Skim Subsidi Harga Padi (SSHP).

Dalam hal ini, beliau melihat dua aspek yang sangat penting iaitu, Insentif input bertujuan mengurangkan beban petani dalam pengeluaran padi manakala insentif output atau keluaran adalah untuk memotivasikan petani untuk meningkatkan pengeluaran dan produktiviti mereka.

Walau bagaimanapun, apa yang penting bagi beliau ialah, yang menerima insentif perlu bekerja keras untuk menjana pendapatan kerana sekiranya mereka tidak menghasilkan pendapatan yang tinggi, ia cuma sia-sia sahaja.

Beliau difahamkan, setakat ini M-FICORD menerusi Jabatan Pertanian Sarawak telah membantu kira-kira 45,000 petani.

Sehubungan itu, beliau mendorong agar petani-petani dan 177 ribu ahli-ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini mendaftar dalam sistem e-Tani kerana daripada sistem itu, Jabatan Pertanian akan dapat mengakses data bagi membolehkan insentif diberikan mengikut keperluan.

Premier Sarawak melawat tapak pameran produk pertanian sempena Sarawak Agrofest 2023
Premier Sarawak melawat tapak pameran produk pertanian sempena Sarawak Agrofest 2023
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article