- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Teknologi Atasi Masalah Dan Cabaran Dalam Bidang Pertanian

Must read

Tidak dinafikan bahawa kewujudan mesin, jentera moden dan teknologi baharu dalam bidang pertanian ini tidak hanya memberi kesan kepada hasil pengeluaran dan alam sekitar, tetapi juga kepada masyarakat terutamanya golongan petani.

Misalnya, penggunaan mesin-mesin yang canggih telah membantu para petani melakukan kerja dengan lebih produktif di mana mereka sudah mampu mengurus tanah yang lebih luas dengan tenaga kerja yang lebih sedikit di samping memperoleh lebih banyak hasil dalam masa yang singkat.

Penggunaan teknologi seperti sistem pengairan pintar dan analisis tanah untuk memastikan tanaman mendapatkan apa yang mereka perlukan untuk tumbuh dengan subur bukan saja berjaya meningkatkan kuantiti pengeluaran tetapi juga kualiti pengeluaran.

Dengan adanya teknologi ini, bukan hanya hasil pertanian yang meningkat, malah pendapatan petani dan peluang pekerjaan baharu dalam bidang teknologi pertanian turut meningkat sekali gus memberi sumbangan besar kepada ekonomi.

Ketika AgroFest 2023, RAKAN Sarawak telah mengadakan tinjauan ke tapak pameran yang telah diadakan bermula pada 22 September sehingga 1 Oktober 2023 di Dataran Perayaan, Jalan Stadium, Petra Jaya untuk melihat sendiri mesin dan teknologi yang ada dipamerkan.

Sehubungan itu, RAKAN Sarawak telah menemu bual beberapa individu untuk mendengar pandangan mereka tentang kewujudan teknologi-teknologi yang telah memberi impak kepada sektor pertanian khususnya di negeri Sarawak.

Salah seorang individu yang sempat ditemu bual ialah seorang Jentera dari Bahagian Kejuruteraan Pertanian, Jabatan Pertanian Sarawak, Puan Siti Adibah Bt. Zulkepli.

Puan Siti Adibah Bt. Zulkepli semasa ditemu bual RAKAN Sarawak
Peta Bahagian Kejuruteraan Pertanian, Jabatan Pertanian Sarawak

Menurut beliau, antara mesin dan teknologi baharu yang telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak adalah seperti traktor pertanian, mesin pembajak tanah, mesin jentuai lengkap, mesin pelerai padi dan mesin penggiling beras.

Mesin pembajak tanah
Mesin pengiling beras

Traktor pertanian yang mempunyai kuasa kuda traktor dari 15-100 HP dilengkapi dengan implemen yang bersesuaian untuk kegunaan membajak tanah dan kerja-kerja pengangkutan manakala

Mesin pembajak tanah pula digunakan di kawasan tanah lapang atau kebun untuk tujuan penyediaan kawasan atau tanah.

Contohnya, implemen yang dipasang di mesin pembajak adalah seperti mould plough, bajak piring dan bajak rotor untuk tujuan menggembur tanah.

Seterusnya, mesin jentuai lengkap yang mempunyai julat kuasa kuda dalam 15-105 HP dapat meningkatkan produktiviti pertanian dengan menuai hasil besar-besaran tanaman padi dan menjimatkan masa serta kos.

Mesin pelerai padi digunakan untuk melerai padi, menggantikan aktiviti manual seperti membanting padi dan ia mampu meleraikan padi dengan kapasiti lebih dari 1,500-kilogram dalam satu jam.

Mesin penggiling beras digunakan untuk mengisar sekam padi sehingga menjadi beras dan ia mampu menghasilkan pengeluaran besar sehingga 150-kilogram dalam masa satu jam.

Beliau memberitahu bahawa Jabatan Pertanian kini sedang bergerak mengikut saranan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg iaitu ke arah pendigitalisasi.

Salah satu teknologi baharu yang digunakan dalam sektor pertanian di Sarawak ialah teknologi dron yang kini dilihat semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan petani moden.

DJI Agras T10 yang berharga RM60, 000 adalah dron pertama yang dibeli oleh Jabatan Pertanian Sarawak untuk membantu meringankan kerja-kerja petani seperti meracun, menabur baja dan benih dalam masa yang sangat singkat.

Menurut beliau, kapasiti tank untuk dron DJI Agras T10 ini ialah 35-liter dan dapat menyembur selama 30 minit.

Buat masa ini, dron DJI Agras T10 belum digunakan secara rasmi kerana pihak jabatan masih membuat kajian untuk melihat sejauh mana keberkesanannya malah, mereka yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan dron ini perlu menjalani kursus terlebih dahulu.

Beliau memberitahu dalam masa terdekat ini, Jabatan Pertanian akan membuat uji kaji penggunaan dron di Stumbin, iaitu salah satu kawasan penanaman padi yang besar di Sarawak.

Jika dilihat dari segi fungsinya, dron jenis DJI Agras T10 ini tidak jauh bezanya dengan dron jenis DJI Agras T20.

Merujuk maklumat daripada laman sosial Syarikat Sanyeong Agricultural Solutions Sdn Bhd (https://www.facebook.com/sanyeongagriculture/videos/511068289868494/), DJI Agras T20 ini mampu meracun, menabur baca dan benih dalam masa yang sangat singkat.

DJI Agras T20 mampu membawa 20-liter muatan dan meliputai 12 hektar sejam secara efisein selain mempunyai sistem aliran empat (4) saluran untuk memastikan semburan yang lebih sekata manakala injap tekanan pintar memudahkan penyingkiran udara.

Sistem radar ‘omnidirectional’ pada DJI Agras T20 ini memberi gambaran 3D dan pandangan 360 darjah membolehkan dron mengelak halangan walaupun dalam penglihatan yang terhad sekali gus menjamin operasi yang selamat pada waktu siang dan malam.

Manakala, alat kawalan yang baharu dilengkapi dengan model Real Time Kinematic (RTK) untuk penerbangan dalam ketepatan sentimeter dan dengan hanya satu butang, DJI Agras T20 dapat menjalankan kerja secara automatik.

Gambar hiasan: DJI Agras T10 berharga RM60, 000 adalah dron pertama yang dibeli oleh Jabatan Pertanian Sarawak

Sistem penaburan baharu DJI Agras T20 memastikan penaburan yang sekata bagi benih, baja dan lain-lain bahan pepejal pada kadar sehingga 10-kilogram seminit.

T20 boleh menyembur tanaman secara selektif untuk menjimatkan air serta mengurangkan dos racun dan ia boleh terbang secara tepat sepanjang laluan penerbangan dalam pelbagai aplikasi dan keadaan.

Untuk menyasarkan tanaman di kawasan yang bercerun atau berbukit, pengguna boleh memilih kaedah ‘Free Flight Paths’ untuk menjimatkan bateri.

Di kawasan pergunungan, fungsi semburan berterusan membolehkan DJI Agras T20 terbang dengan selamat dan mengurangkan penggunaan tenaga.

DJI Agras T20 yang berkuasa dan bertepatan tinggi telah berjaya mengatasi cabaran dalam penyemburan tanaman dan membuka lebih banyak peluang untuk masa hadapan bidang pertanian.

Eksekutif Pembangunan Produk di Syarikat Behn Meyer AgriCare (M) Sdn Bhd, Encik Mohd Almuhsen Karim antara individu yang sempat ditemu bual RAKAN Sarawak.

Encik Mohd Almuhsen Karim semasa ditemu bual RAKAN Sarawak

Menurut Encik Mohd Almuhsen, dalam mengendalikan penerbangan dron ini, paling penting adalah kita perlu tahu cara menggunakan alat kawalan (remote) malah, petani perlu dilatih terlebih dahulu untuk mengendalikan dron.

Walaupun sudah mempunyai pengalaman selama dua tahun dalam pengendalian dron, beliau masih lagi belum menguasai penggunaan dron dengan lebih mendalam kerana di Sarawak ini masih belum banyak pendedahan diberikan berbanding di Semenanjung.

Pada pandangan beliau, kurangnya pendedahan ini boleh menghalang kemasukan teknologi baharu ke Sarawak, menyebabkan petani kita kekal menggunakan kaedah baharu dalam bidang pertanian.

Bagi beliau, penggunaan dron ini penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi pertanian mapan selain membantu meningkatkan status pendapatan petani, nelayan, penternak dan usahawan tani.

Dengan adanya teknologi dron, kita tidak perlu lagi runsing memikirkan tenaga kerja yang ramai kerana sudah mampu melakukan kerja-kerja penyemburan baja dan racun yang lebih banyak dalam satu hari tanpa bantuan daripada orang lain, malah kerja tersebut juga menjadi lebih cepat.

Bila kerja kita lebih cepat, kita juga dapat menikmati hasil yang lebih cepat dengan memperoleh hasil yang lebih berkualiti dengan bantuan teknologi baharu masa kini.

Infografik menggambarkan industri pertanian di masa depan (Sumber: https://inixindojogja.co.id/smart-farming-industri-agrikultur-di-masa-depan/)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article