- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Menukar Sisa Buangan Kepada Tenaga

Must read

Peningkatan populasi dunia dan urbanisasi ditambah dengan kenaikan taraf hidup telah menyumbang kepada dua (2) cabaran utama, iaitu peningkatan penggunaan tenaga per kapita serta pergantungan global terhadap bahan api fosil dan meningkatkan penjanaan sisa per kapita.

Matlamat Ke-7 dan Ke-11 dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyasarkan untuk mencapai Penggunaan Tenaga Bersih Berpatutan dan Bandar dan Komuniti Mampan bagi menangani dua (2) cabaran tersebut.

Teknologi Sisa Buangan-Kepada-Tenaga atau singkatannya WtE (Waste to Energy) adalah satu proses yang dilihat berpotensi untuk mencapai kedua-dua matlamat tersebut yang digariskan dalam SDGs.

WtE ialah satu proses penjanaan tenaga dalam bentuk elektrik atau haba yang terhasil daripada rawatan utama sisa buangan atau secara ringkasnya pemprosesan sisa menjadi sumber bahan api.

Kajian menjangkakan, sisa pepejal perbandaran (MSW) akan meningkat kira-kira sebanyak 2.6 bilion tan menjelang tahun 2025 berbanding dengan jumlah semasa, iaitu 2.4 bilion.

Oleh sebab itulah, dunia sangat memerlukan usaha pembangunan bandar yang mampan sebagai tindak balas terhadap permintaan tenaga yang tinggi dan peningkatan tahap pembuangan sisa pepejal.

Sweden adalah negara peneraju dalam perkembangan industri WtE. Menerusi strategi kitar semula yang inklusif, negara Eropah tersebut telah mengubah beban tinggi kos pengurusan sisa buangan kepada usaha yang memberi pendapatan pulangan yang menguntungkan.

Sweden bukan sahaja menjimatkan wang dengan menggantikan tenaga fosil dengan sisa buangan bagi menghasilkan tenaga, malah juga negara tersebut mampu menjana ASD100 juta setahun dengan mengimport sampah dan mengitar semula sisa yang dihasilkan oleh negara lain, antaranya United Kingdom, Norway, Ireland dan Itali.

Pusat pemprosesan sisa buangan kepada tenaga SYSAV (Sysav South Scania Waste) yang terletak di Malmo, Sweden

Melihat pada perkembangan ini, Sarawak mula mengorak langkah untuk menjalin kerjasama strategik dalam WtE dengan Sweden sebagai usaha negeri ini mengurus sisa buangan dan pelupusan sampah yang lebih mampan.

Lawatan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg dan rombongan ke Agensi Tenaga Sweden (SEA) di Stockholm, Swedenpada Ogos lalu menunjukkan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam meneroka industri WtE.

Keupayaan Sweden mengurus sisa buangan yang cekap dan menguntungkan melalui WtE telah menarik minat beliau untuk mengurus sisa buangan yang mampan selain mampu menjana pendapatan tambahan kepada Sarawak.

Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia yang memiliki pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui dengan populasi kira-kira 2.3 juta orang.

Bagi memastikan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan, sekarang adalah masa yang sesuai untuk Kerajaan Sarawak mengambil langkah memantapkan lagi sistem pengurusan sisa buangan dengan menjana tenaga baharu menerusi WtE, jelas beliau.

Di Sweden, hanya 1% daripada sampah dihantar ke tapak pelupusan sampah, 52% ditukar kepada tenaga dan 47% lagi dikitar semula.

Jumlah tenaga yang dijana daripada sisa buangan sahaja mampu menyediakan bahan untuk pemanasan rumah dan elektrik ke sekitar 250,000 kediaman.

Usaha Sweden menukar sisa kepada tenaga telah bermula seawal pertengahan abad ke-20 dan pelaksanaannya dilakukan dari semasa ke semasa yang seterusnya telah meningkatkan kadar kitar semula negara tersebut hingga meletakkannya sebagai peneraju dalam kitar semula di peringkat global.

WtE dilihat berpotensi mampu mencapai matlamat SDGs selain mendatangkan pendapatan tambahan kepada negara yang menceburi industri tersebut

Dianggarkan sebanyak 2.2 juta tan setahun pelepasan karbon dioksida berjaya dikurangkan oleh Sweden melalui usaha WtE yang dijalankan.

Sejak tahun 1990 sehingga 2006, pelepasan karbon di negara berkenaan telah menurun sebanyak 34%.

Kejayaan Sweden dalam mengurus pelupusan sampah serta program kitar semula turut didorong oleh didikan awal untuk kanak-kanak yang telah dijalankan.

Kanak-kanak di Sweden dididik tentang bagaimana kitar semula dijadikan sebagai sebahagian daripada cara hidup selain mengadakan hari sambutan khas peringkat kebangsaan dengan menghimpunkan kanak-kanak untuk sama-sama menjalankan aktiviti mengumpul sampah dan menjaga kebersihan di sekolah.

Guru-guru dan para pelajar terlibat dengan aktiviti praktikal seperti membuat kertas kerja serta melaksanakan dasar pembaziran di sekolah.

Lebih daripada itu, kitar semula di Sweden menjadi lebih mudah dan boleh diakses dengan meletakkan stesen kitar semula pada jarak 300 meter dari kawasan perumahan selain memberi insentif kepada rakyat sebagai ganjaran menggunakan mesin kitar semula yang disediakan.

Revolusi kitar semula Sweden telah menjadikan negara tersebut muncul sebagai perintis dalam industri WtE dan kitar semula.

Pada masa yang sama, Sweden juga telah mewujudkan ‘lautan biru’, teknologi bersepadu, tanggungjawab sosial serta berjaya mendatangkan keberkesanan kos melalui pengurusan sampah yang mampan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article